[UPDATE] Go Kyung Pyo Mohon Maaf Secara Terbuka, Hentikan Sementara Aktiviti Hiburan Susulan Insiden Pemanduan Mabuk

Pelakon Korea Selatan, Go Kyung Pyo tampil memohon maaf secara terbuka selepas terlibat dalam insiden pemanduan di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar sebuah lori pembersihan di Seoul pada awal pagi 14 November lalu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram pada 15 November, pelakon berusia 36 tahun itu mengakui kesalahannya dan menyifatkan tindakannya memandu selepas mengambil minuman beralkohol sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh mengakibatkan kecederaan serius.

“Saya ingin sekali lagi memohon maaf kepada mereka yang berada dalam bahaya akibat tindakan saya ketika mereka sedang bekerja pada awal pagi. Kesalahan memandu selepas minum alkohol sepenuhnya berpunca daripada saya,” tulisnya.

Go Kyung Pyo turut menjelaskan bahawa selepas melanggar lori berkenaan, dia mencari tempat untuk memberhentikan keretanya sebelum segera meminta maaf kepada dua pekerja pembersihan yang terlibat. Menurutnya, kedua-dua pekerja tersebut memaklumkan bahawa mereka sudah menghubungi pihak polis.

Pelakon itu berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis serta bertanggungjawab terhadap segala kerosakan yang berpunca daripada kemalangan tersebut.

Dalam kenyataan sama, Go Kyung Pyo mengumumkan keputusan untuk membatalkan semua aktiviti yang telah dijadualkan. Dia turut memohon maaf kepada rakan sekerja dan kru produksi yang terpaksa berdepan kesukaran susulan insiden berkenaan.

“Saya benar-benar memohon maaf kepada semua rakan sekerja dan anggota produksi,” katanya.

Susulan pengumuman itu, sesi bertemu peminat yang dijadualkan berlangsung pada 21 November turut dibatalkan. Pihak produksi beberapa program televisyen yang menampilkan Ko juga dilaporkan sedang menyunting kemunculannya sebelum episod disiarkan.

Terdahulu, Go Kyung Pyo terlibat dalam kemalangan sekitar jam 3.30 pagi pada 14 November di Donggyo-dong, Mapo-gu, Seoul apabila keretanya melanggar sebuah lori pembersihan. Seorang pekerja yang memandu lori berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Perkembangan mengenai kesan insiden tersebut terhadap beberapa program hiburan yang menampilkan Go Kyung Pyo turut dilaporkan dalam artikel KMania sebelum ini: [BACA LAPORAN TERDAHULU DI SINI].

Sumber : 1 | 2 | 3