Annyeong, chinguyaa~
November 2026 bakal menyajikan pelbagai pilihan K-drama menarik, daripada kisah cinta dan konflik dunia korporat hinggalah thriller jenayah, misteri pembunuhan serta epik sejarah yang sarat dengan perebutan kuasa.
Bulan ini turut menyaksikan kemunculan barisan pelakon popular seperti Shin Min Ah, Ju Ji Hoon, Lee Jong Suk, Park Min Young, Jang Na Ra dan Lee Min Ki menerusi kisah yang mengetengahkan percintaan, rahsia tersembunyi, persaingan sengit serta perjuangan menentukan masa depan. Peminat komedi romantik juga boleh menantikan kisah cinta dengan sentuhan supernatural, manakala penggemar aksi dan penyiasatan bakal disajikan dengan kes-kes yang mencabar.
Jadi, jom semak 11 drama Korea terbaharu yang bakal menghiasi November 2026 dan pilih drama yang wajib masuk watchlist korang!
1. The Remarried Empress

- Tarikh Tayangan: 4 November 2026
- Penyiar: Disney+
- Genre: Fantasy, Romantik
- Barisan Pelakon: Shin Min Ah, Ju Ji Hoon. Lee Jong Suk, Lee Se Young
Cinta, nafsu dan perebutan kuasa bakal menguji nasib sebuah kerajaan menerusi epik romantik The Remarried Empress.
Diadaptasi daripada novel web popular, drama ini mengikuti kisah Navier (Shin Min Ah), maharani Empayar Timur yang bijaksana dan anggun. Kehidupannya berubah apabila suaminya, Maharaja Sovieshu (Ju Ji Hoon), membawa Rashta (Lee Se Young), seorang hamba yang melarikan diri, ke istana sebagai perempuan simpanannya dengan hasrat untuk menggantikan Navier sebagai maharani.
Enggan menerima penghinaan tersebut, Navier memilih untuk bercerai dengan Sovieshu dan berkahwin semula dengan Putera Heinrey (Lee Jong Suk), pewaris Kerajaan Barat yang telah jatuh cinta kepadanya. Namun, ketika hubungan diraja terjerat dalam kepentingan politik dan perebutan kuasa, Navier perlu mempertahankan maruah serta menjamin masa depannya.
2. Francesca Next Door

- Tarikh Tayangan: 6 November 2026
- Penyiar: Wavve | K-Plus Asia Astro Ch 396 & Astro Go, unifi TV
- Genre: Komedi romantik remaja, supernatural
- Barisan Pelakon: Han Su A, Lee Seung Gyu, Kim Hyun Jin
Hampir 20 tahun selepas sitkom Korea Hello, Francesca menamatkan tayangannya, dunia vampire unik itu kembali menerusi siri spin-off terbaharu, Francesca Next Door, yang menggabungkan komedi romantik remaja dengan unsur supernatural.
Berlatarbelakangkan sebuah sekolah menengah di Korea Selatan pada tahun 2026, drama ini mengikuti Pi Na Young (Han Su Ah), seorang vampire muda yang cuba menyembunyikan identiti sebenarnya sambil menjalani kehidupan seperti pelajar biasa. Namun, kehidupannya mula berubah apabila dia bertemu Jang Woo Joo (Kim Hyun Jin), pelajar cemerlang yang bercita-cita memasuki sekolah perubatan, serta Yoo Hyul (Lee Seung Gyu), vampire misteri yang muncul secara tiba-tiba.
Drama ini turut membawa kembali beberapa pelakon daripada siri asal, termasuk Shim Hye Jin sebagai Francesca, Park Seul Gi sebagai Sophia dan Park Hee Jin sebagai Anseongdaek. Dengan gabungan cinta pertama, persahabatan dan kehidupan vampire yang luar biasa, Francesca Next Door dijangka menghidupkan semula dunia Hello, Francesca untuk generasi baharu.
3. One of a Kind Romance

- Tarikh Tayangan: 9 November 2026
- Penyiar: TVING | Viu Malaysia
- Genre: Romantik,
- Barisan Pelakon: Joy, Kim Hyun Jin, Shin Hyun Soo, Kang Na Eon
Diadaptasi daripada webtoon, One of a Kind Romance mengisahkan Gong Yu Il (Joy daripada Red Velvet), seorang pencari kerja yang tidak sengaja menjadi pengurus kepada Tak Mu I (Kim Hyun Jin), pelakon popular yang menyimpan luka emosi akibat gangguan penghendap. Walaupun Yu Il mengimpikan kehidupan biasa, dia sebenarnya menyembunyikan identitinya sebagai penulis novel Star and Half-Moon, sebuah karya yang pernah memberikan kekuatan kepada Mu I ketika melalui saat sukar.
Mu I yang mengalami keresahan dan insomnia akibat ancaman penghendap mula menaruh minat terhadap Yu Il selepas mengetahui wanita itu ialah penulis novel yang sering dibacanya. Dalam masa yang sama, Shin Hyun Soo membawakan watak Kang Hee Soo, cef terkenal yang menjadi sumber sokongan kepada Yu Il, manakala Kang Na Eon memegang watak Joo Da Hong, bekas pelakon kanak-kanak yang sudah lama meminati Mu I dan berusaha memenangi hati pelakon tersebut.
Menggabungkan percintaan, sokongan emosi dan hubungan antara empat watak dengan personaliti berbeza, One of a Kind Romance bakal menampilkan kisah cinta yang berkembang di sebalik rahsia dan cabaran kehidupan.
4. Happy Anding

- Tarikh Tayangan: 11 November 2026
- Penyiar: tvN
- Genre: Komedi, drama, kehidupan (slice of life)
- Barisan Pelakon: Kang Hoon, Cho Hyun-Chul, Kim Jung-Jin, Lee E-Dam
Happy Anding mengetengahkan kisah tentang cabaran mengejar impian, nilai persahabatan dan peluang memulakan langkah baharu apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Kisahnya berpusat pada Kang Tae Gu (Kang Hoon), ketua kumpulan komedi Asura yang masih belum dikenali meskipun sudah 10 tahun berusaha mencapai kejayaan. Bersama dua rakan sekumpulannya, Kim Nam Il (Cho Hyun Chul) dan Han Jun Seo (Kim Jung Jin), dia berjuang untuk menjadikan minat mereka terhadap dunia komedi sebagai kerjaya yang mampu menjamin kehidupan.
Kehidupan mereka berubah tanpa diduga apabila bertemu dengan Go Eun Young (Lee Yi Dam), seorang peminat setia Asura yang selama ini banyak mengasingkan diri daripada dunia luar. Pertemuan itu bukan sahaja mengubah perjalanan kumpulan komedi tersebut, malah mendorong Eun Young untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupannya sendiri.
5. What A Boss Want

- Tarikh Tayangan: 11 November 2026
- Penyiar: MBN
- Genre: Romantik, komedi, drama
- Barisan Pelakon: Sung Hoon, Oh Se Young, Lee Jung Shin
Kehadiran seseorang yang tidak dijangka mampu mengubah kehidupan yang selama ini tersusun rapi. Itulah premis drama romantik What a Boss Wants, lakonan Sung Hoon, Oh Se Young dan Lee Jung Shin.
Diadaptasi daripada novel web dengan judul yang sama, drama ini mengisahkan Kwon Do Hyuk (Sung Hoon), pewaris konglomerat yang mengutamakan logik dan ketelitian dalam setiap aspek kehidupannya. Namun, dia berdepan masalah insomnia dan kehilangan deria rasa, sebelum berusaha mencari wanita di sebalik suara yang didengarinya menerusi sebuah album. Wanita itu ialah Lee Eun Chae (Oh Se Young), seorang pencari kerja yang menyimpan impian untuk menjadi penyanyi dan merupakan vokalis kumpulan muzik indie India Red.
Eun Chae yang ceria dan spontan mula mengganggu rutin Do Hyuk yang serba teratur, sekali gus membuka ruang kepada perubahan dalam hidupnya. Dalam masa yang sama, Moon Tae Kyung (Lee Jung Shin), seorang doktor kanak-kanak yang penyayang dan mudah didekati, turut terlibat dalam kisah ini menerusi perasaannya terhadap Eun Chae, menambah dimensi kepada hubungan antara mereka.
6. Sword and Silence

- Tarikh Tayangan: 14 November 2026
- Penyiar: KBS 2
- Genre: Sejarah, aksi, politik, perang
- Barisan Pelakon: Lee Hyun-Wook, Jang Hyuk, Kim Kang-Woo, Park Sung-Woong
Berlatarbelakangkan abad ketujuh, Sword & Silence mengisahkan perjuangan kerajaan Silla untuk menyatukan Tiga Kerajaan Korea ketika berdepan kuasa Goguryeo, Baekje dan Dinasti Tang. Dibintangi Lee Hyun Wook, Jang Hyuk, Kim Kang Woo dan Park Sung Woong, drama epik sejarah ini menggabungkan peperangan, percaturan politik dan persaingan antara tokoh berpengaruh yang bakal menentukan masa depan Semenanjung Korea.
Lee Hyun Wook membawakan watak Kim Beom Min, putera Silla yang bercita-cita melindungi kerajaannya dan mencapai penyatuan. Dia pada awalnya tidak bersetuju dengan pendekatan diplomasi bapanya, Kim Chun Chu (Kim Kang Woo), yang lebih mengutamakan strategi politik untuk memperkukuh kedudukan Silla. Namun, pelbagai cabaran yang dihadapi membawa mereka ke arah matlamat yang sama. Dalam perjuangan tersebut, mereka turut bergantung pada kekuatan ketenteraan Kim Yu Shin (Park Sung Woong), seorang jeneral berpengaruh yang memainkan peranan penting di medan perang.
Sementara itu, Goguryeo berdepan pergolakan dalaman apabila Yeon Gaesomun (Jang Hyuk), seorang panglima perang yang berpengaruh, berusaha memperluas kuasanya sehingga mencetuskan pertentangan dengan pemerintah kerajaan itu. Ketika cita-cita peribadi, perebutan kuasa dan ancaman perang semakin meruncing, setiap tokoh perlu menentukan pendirian masing-masing dalam pergolakan sejarah yang bakal mengubah nasib kerajaan mereka.
7. Crash 2

- Tarikh Tayangan: 16 November 2026
- Penyiar: ENA, Genie TV, Disney+
- Genre: Aksi, Jenayah, Komedi
- Barisan Pelakon: Lee Min-Ki, Kwak Sun-Young, Heo Sung-Tae, Lee Ho-Cheol, Moon-Hee
Drama Korea Crash kembali dengan musim kedua yang menyaksikan pasukan Siasatan Jenayah Trafik (TCI) berdepan kes yang lebih mencabar serta penjenayah yang semakin berbahaya. Kali ini, skop penyiasatan mereka diperluas melangkaui sebuah balai polis, membolehkan mereka menangani pelbagai kes di seluruh negara.
Cha Yeon Ho (Lee Min Ki), penyiasat yang terkenal dengan kebolehan analisisnya, kembali berganding bahu dengan Min So Hee (Kwak Sun Young), Jung Chae Man (Heo Sung Tae), Woo Dong Ki (Lee Ho Cheol) dan Eo Hyun Kyung (Moon Hee). Selepas pasukan mereka disusun semula sebagai unit penyiasatan wilayah di bawah Pejabat Siasatan Kebangsaan, mereka kini mempunyai kuasa untuk memburu penjenayah di seluruh negara.
Penyiasatan mereka bukan lagi terhad kepada kemalangan jalan raya biasa. Sebaliknya, mereka perlu membongkar motif tersembunyi, menjejaki penjenayah yang melakukan kesalahan serius dan merungkai rancangan jenayah yang semakin rumit. Dengan cabaran baharu serta skop tugas yang lebih luas, pasukan TCI perlu menggabungkan kepakaran masing-masing untuk menyelesaikan kes yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya, malah turut membahayakan nyawa mereka sendiri.
8. Good Partner 2

- Tarikh Tayangan: 20 November 2026
- Penyiar: SBS | Viu Malaysia
- Genre: Perundangan, drama keluarga, kehidupan
- Barisan Pelakon: Jang Nara, Kim Hye Yoon
Good Partner kembali untuk musim kedua dengan Jang Na Ra mengulangi wataknya sebagai Cha Eun Kyung, seorang peguam pakar kes perceraian. Musim baharu ini memperkenalkan rakan sekerja baharu serta kes-kes rumit yang menguji mereka di mahkamah.
Selepas meninggalkan firma guaman Daejung, Eun Kyung membuka firma sendiri, Libom, dan merekrut Kang Hye Seong (Kim Hye Yoon), seorang peguam yang komited dalam membela anak guamnya. Namun, perbezaan pendekatan mereka mencetuskan ketegangan ketika mengendalikan kes perceraian yang kompleks. Eun Kyung lebih mengutamakan kecekapan dan hasil, manakala Hye Seong berusaha memahami keadaan serta emosi individu yang terlibat.
Ketika belajar menyesuaikan diri dan bekerjasama, kedua-duanya perlu menangani cabaran membina firma guaman sendiri sambil berdepan pelbagai konflik peribadi di sebalik kes perceraian yang dikendalikan.
9. The Blue Road

- Tarikh Tayangan: 20 November 2026
- Penyiar: Netflix
- Genre: Jenayah, thriller, misteri
- Barisan Pelakon: Son Suk-Ku, Eita Nagayama
Penemuan mayat dengan mesej misteri yang ditulis menggunakan darah mencetuskan siasatan pembunuhan bersiri merentasi Korea Selatan dan Jepun menerusi drama jenayah The Blue Road.
Diarahkan oleh Han Jun Hee dan diadaptasi daripada komik Peureungil, drama ini mengikuti detektif Jepun Inose (Eita Nagayama) dan detektif Korea Kim Seok (Son Suk Ku) yang bekerjasama selepas penemuan mayat di Tokyo dan Korea Selatan dengan mesej berdarah dalam bahasa negara masing-masing. Kedua-dua kes dipercayai mempunyai kaitan, mendorong mereka menjejaki pembunuh bersiri di sebalik jenayah tersebut.
Ketika mengikuti petunjuk yang penuh teka-teki, mereka perlu mengatasi perbezaan bahasa, prosedur penyiasatan dan bidang kuasa antara kedua-dua negara. Namun, setiap penemuan baharu menimbulkan lebih banyak persoalan tentang motif pembunuh, menjadikan usaha membongkar kebenaran semakin berbahaya.
10. The Substitute

- Tarikh Tayangan: 23 November 2026
- Penyiar: TVING | HBO Max Malaysia
- Genre: Thriller jenayah, misteri, drama remaja
- Barisan Pelakon: Bay Hyun Seong, Cha Kang Yoon
Drama thriller jenayah The Substitute mengisahkan tiga anak muda yang terjerat dalam satu jenayah pada hari peperiksaan kemasukan universiti, sekali gus mempertaruhkan masa depan mereka.
Dibintangi Bae Hyeon Seong, Cha Kang Yoon dan Park Yoon Ho, drama ini mengikuti Kang Geon Tae (Cha Kang Yoon), pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah yang mendapat biasiswa untuk belajar di sekolah menengah swasta berprestij. Berharap untuk melepaskan diri daripada kemiskinan, dia terpaksa menerima tawaran menduduki peperiksaan bagi pihak orang lain apabila kelemahannya diketahui seseorang.
Keputusan itu mengheret Geon Tae ke dalam situasi berbahaya yang turut melibatkan Nam Jae Yeop (Bae Hyeon Seong), pelajar daripada keluarga berada yang kehidupannya mula hilang kawalan, serta Joo Hee Dong (Park Yoon Ho), sahabat Geon Tae yang mengaguminya. Apabila rahsia terbongkar dan kepentingan masing-masing mula bertembung, hubungan mereka semakin tegang dan membawa kepada pilihan yang tidak boleh ditarik balik.
11. Nine To Six

- Tarikh Tayangan: 25 November 2026
- Penyiar: SBS | Prime Video Malaysia
- Genre: Romantik, komedi, drama tempat kerja
- Barisan Pelakon: Park Min Young, Yook Sung Jae, Go Soo
Park Min Young kembali menerusi drama romantik Nine to Six, sebuah siri berlatarbelakangkan dunia korporat yang turut dibintangi Yook Sung Jae dan Go Soo.
Drama 12 episod ini mengikuti Kang Yi-ji (Park Min Young), seorang pengurus kanan di jabatan undang-undang Chronic Motors yang bijak, rasional dan mengutamakan kerjaya berbanding cinta. Namun, pendiriannya mula berubah selepas bertemu Han Sun-woo (Yook Sung Jae), seorang pelatih undang-undang yang berhati lembut dan lebih mengikut kata hati, serta Park Hyun-tae (Go Soo), seorang eksekutif berpengalaman yang menghargai kebolehan profesionalnya. Kehadiran dua lelaki dengan personaliti berbeza itu membuatkan Yi-ji mula mempersoalkan sama ada cinta dan kejayaan kerjaya benar-benar perlu dipisahkan.
Menggabungkan percintaan, humor dan cabaran di tempat kerja, Nine to Six turut dilaporkan sebagai adaptasi drama China The Rational Life (2021).


Daripada komedi romantik hinggalah thriller penuh debaran, Oktober kali ini memang menjanjikan pelbagai pilihan menarik untuk pencinta K-drama. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk layan semua drama terbaru ni! 🍿
Nota: Tarikh tayangan adalah tertakluk kepada perubahan oleh pihak penyiar atau platform penstriman. Kami akan mengemas kini senarai ini sekiranya terdapat sebarang perubahan. Happy watching!


