[Cdrama] “The Lament of Autumn” Lakonan Cheng Lei & Xu Ruohan Ungguli Carta ‘Hot Dramas’ iQIYI Malaysia

Kisah percintaan Cheng Lei dan Xu Ruohan bermula dengan agenda tersembunyi

Seorang wanita membuat perjanjian demi membersihkan namanya, manakala seorang lelaki menggunakan siasatan sebagai peluang untuk mendekatinya sambil menyembunyikan agenda tersendiri. Dibintangi Cheng Lei dan Xu Ruohan, drama romantik berlatar era Republik China, The Lament of Autumn (玉簟秋), kini sedang ditayangkan di iQIYI Malaysia.

Drama ini berjaya menduduki tangga pertama carta ‘Hot Dramas’ di platform tersebut pada minggu pertama tayangannya, dengan penarafan setinggi 9.8 mata. Pada September lalu, Cheng Lei, yang juga Duta Global iQIYI, bertemu peminat tempatan menerusi acara iQIYI STARSHIP di Malaysia.

Baca juga : “Malaysia Dekat di Hati Saya” – Cheng Lei Teruja Bertemu Peminat di iQIYI STARSHIP 2026

Berlatarbelakangkan era Republik China yang penuh pergolakan, drama ini mengisahkan Ye Ping Jun (Xu Ruohan), seorang pelajar yang terpaksa bekerja di sebuah rumah persinggahan di barat Hunan demi membiayai rawatan ibunya. Namun, pada hari pertama bekerja, dia secara tidak sengaja terheret dalam cubaan membunuh Yu Chang Xuan (Cheng Lei), anak kelima daripada keluarga Yu yang berpengaruh.

Dituduh terlibat dalam kejadian itu, Ping Jun enggan menerima tuduhan tersebut. Sebaliknya, dia membuat perjanjian dengan Chang Xuan untuk menyiasat kes berkenaan dalam tempoh sepuluh hari demi membersihkan namanya.

Siasatan itu turut membuka ruang buat Chang Xuan mendekati Ping Jun. Cheng Lei membawakan watak seorang lelaki yang teliti dan penuh rahsia, dengan niat sebenar di sebalik tindakannya masih menjadi tanda tanya. Dalam pertemuan demi pertemuan, bibit perasaan mula berputik antara mereka.

Bagi Ping Jun pula, tekad untuk menjaga ibunya dan menuntut keadilan menjadi pendorong utama perjuangannya. Walaupun berasal daripada latar belakang yang berbeza, dia semakin tertarik kepada Chang Xuan, lelaki yang niat sebenarnya masih diragui.

Daripada rahsia di sebalik cubaan pembunuhan hingga motif yang mendorong siasatan, The Lament of Autumn menggabungkan unsur misteri dan percintaan dalam kisah tentang kepercayaan serta kepentingan diri. Apabila rancangan yang pada awalnya dibuat demi kepentingan masing-masing mula mengancam masa depan mereka, mampukah Ping Jun dan Chang Xuan mengatasi rahsia yang memisahkan mereka?

Untuk maklumat lanjut tentang drama ini, baca artikel KMania di sini: [Cdrama] Cheng Lei dan Xu Ruohan Bintangi “The Lament of Autumn”, Drama Era Republik China Tayang 12 Oktober di iQIYI

Kini bersiaran sehingga Episod 20, siri The Lament of Autumn yang mempunyai 38 episod boleh ditonton menerusi aplikasi iQIYI International atau laman web IQ.com. Sari kata dalam bahasa Cina, Inggeris dan Melayu turut tersedia.