Lee Jung Eun, Kim Moo Yul, Heo Joon Ho dan Barisan Pelakon Lain Sertai Drama Balas Dendam Baharu

Netflix mengesahkan produksi siri baharu “The Shooter” (tajuk kerja) serta barisan pelakon yang terdiri daripada Lee Jung Eun, Kim Moo Yul, Heo Joon Ho, Choi Sung Eun, Bae Na Ra, Seo Hyun Woo dan Moon Jong Won.

Diarahkan oleh Lee Kwon (A Shop for Killers), The Shooter merupakan drama aksi noir yang mengisahkan Jeong Suk Ja, seorang wanita berusia 70-an yang menjalani kehidupan biasa sebelum terpaksa mengangkat senjata demi membalas dendam selepas cucunya menjadi mangsa serangan kejam.

Selepas kejadian itu, Suk Ja mula membongkar rahsia di sebalik Chunghwa Group, sebuah organisasi jenayah yang berkuasa. Dalam usaha mencari kebenaran, dia mendapat bantuan daripada Seo Yeon Woo, seorang lelaki yang mempunyai kaitan misteri dengan kes tersebut.

Lee Jung Eun membawakan watak Jeong Suk Ja, yang membesarkan cucunya seorang diri sambil bekerja di sebuah restoran. Apabila cucunya diserang dan berada dalam keadaan kritikal, Suk Ja mengambil keputusan untuk membalas dendam.

Buat pertama kali selepas beberapa dekad, dia kembali menggunakan senjata api yang pernah dikendalikannya ketika muda. Watak ini turut menandakan kemunculan pertama Lee Jung Eun dalam genre aksi, selepas sebelum ini dikenali menerusi pelbagai karya merangkumi genre berbeza.

Kim Moo Yeol pula melakonkan watak Seo Yeon Woo, sekutu Suk Ja yang menjadi pencetus kepada misi balas dendam tersebut. Dia mendedahkan bahawa kejadian yang menimpa cucu Suk Ja mempunyai kaitan dengan Chunghwa Group, sekali gus membangkitkan keinginan wanita itu untuk mencari kebenaran.

Yeon Woo memiliki kemahiran mengumpul maklumat serta pertimbangan yang tajam, namun motif sebenar di sebalik tindakannya masih menjadi persoalan.

Drama ini turut mempertemukan semula Lee Jung Eun dan Kim Moo Yul selepas empat tahun sejak mereka bergandingan dalam “Juvenile Justice.”

Heo Joon Ho memainkan watak Jang Kwang Cheol, bekas ketua Heukseong Gang yang kini menjadi pengerusi Chunghwa Group. Dengan kedudukan dan pengaruhnya, dia berada di tengah-tengah organisasi jenayah yang menjadi sasaran Suk Ja dan Yeon Woo.

Barisan pelakon lain turut menampilkan Choi Sung Eun sebagai Shin Ji Hyun, ketua pejabat Chunghwa Group di China dan pengarah Unit Operasi 3.

Bae Na Ra pula membawakan watak Cheon Tae Seok, pembantu pengerusi Chunghwa Group serta pengarah Unit Operasi 2, manakala Seo Hyun Woo melakonkan Yoo Il Goo, pengarah Unit Operasi 4 yang dianggap sebagai individu yang sukar dijangka dalam organisasi tersebut.

Sementara itu, Moon Jong Won memainkan watak Um Sang Pil, pemilik sebuah rumah penginapan yang mempunyai kisah silam misteri.

Dengan gabungan aksi, misteri dan elemen balas dendam, The Shooter dijangka menyajikan kisah penuh ketegangan apabila Suk Ja berdepan dengan organisasi jenayah yang jauh lebih berkuasa daripadanya.

“The Shooter” (WT) akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix.

Sumber : 1 | 2