Pengarah Ahn Pan Seok telah meninggal dunia selepas sebelum ini dilaporkan mengalami pendarahan otak.
Pada 12 Ogos, pasukan produksi drama baharu ENA, “Romance Expert” (tajuk literal), yang diarahkan oleh Ahn Pan Seok, mengeluarkan kenyataan rasmi:
“Dengan hati yang amat berat, kami ingin menyampaikan berita dukacita ini. Pengarah Ahn Pan Seok telah meninggal dunia pada 12 Ogos 2026 pada usia 64 tahun.”
Mereka meneruskan, “Kami berkongsi berita ini atas permintaan keluarga mendiang. Memandangkan keluarga kini sedang bersedih dan ingin mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang secara tenang, kami dengan ikhlas memohon kerjasama pihak media untuk menghormati privasi sepanjang urusan pengebumian.”

Kenyataan itu diakhiri dengan, “Sekali lagi, kami menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya. Semoga beliau bersemadi dengan tenang.”
Pada bulan lalu, dilaporkan bahawa Ahn Pan Seok rebah akibat pendarahan otak dan telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu, syarikat produksi memaklumkan, “Beliau kini sedang dalam proses pemulihan. Selepas penggambaran selesai, kerja-kerja penyuntingan juga telah diselesaikan.”
Beliau memulakan kerjaya di dalam industri hiburan pada 1987 sebagai produser drama di cenel MBC. Beliau kemudiannya meceburkan diri sebagai sutradara menerusi MBC Best Theater’s “Greetings of Love.” pada 1994.

Kredibiliti beliau sebagai pengarah kdrama terserlah selepas kejayaan drama jtbc Secret Love Affair lakonan Kim Hee Ae dan Yoo Ah In pada tahun 2014, di mana beliau meraih anugerah ‘Best Director’ Baeksang Art Awards. Setahun kemudian, naskah beliau, SBS Heard It Through Grapevine meraih anugerah ‘Best Drama’ Baeksang Art Awards, selain menerima pengiktirafan ‘Best Director’ daripada CARI Kdrama Awards. Tidak ketinggalan juga, drama jtbc “Something in the Rain” lakonan Jung Hae In dan Son Ye Jin pada tahun 2018 yang menjadi siulan peminat kdrama seantero dunia, merupakan drama beliau yang paling popular.
Karya terbaharunya ialah drama akan datang “Romance Expert”, yang dibintangi Choo Young Woo dan Kim So Hyun serta dijadualkan ditayangkan pada Oktober. Drama tersebut akan menjadi karya terakhir beliau sebagai pengarah.
Salam takziah kepada keluarga dan sahabat handai Ahn Pan Seok.


