Kong Hyo Jin dan Jung Jun Won Bintangi Drama Aksi Suspens “A Bona Fide Killer”, Kini Boleh Distrim di Viki

Diadaptasi daripada novel terlaris, drama Korea ini menggabungkan aksi, drama kekeluargaan dan misteri dalam sebuah kisah penuh debaran yang kini boleh distrim di Rakuten Viki.

Rakuten Viki, platform penstriman global untuk hiburan Asia, terus memperluaskan koleksi drama Koreanya menerusi “A Bona Fide Killer”, sebuah siri baharu yang menggabungkan elemen suspens, aksi, drama kekeluargaan dan misteri.

Dibintangi Kong Hyo Jin, Jung Jun Won, Sung Dong Il dan Lee Sang Yi, drama ini mengisahkan seorang ibu bekerjaya yang menjalani kehidupan biasa di sebalik identitinya sebagai pembunuh upahan legenda, sekali gus membawa penonton menyelami konflik antara keluarga, identiti dan kelangsungan hidup.

Diadaptasi daripada webtoon popular Kakao yang mencatat lebih 180 juta tontonan, “A Bona Fide Killer” mengikuti kehidupan Yoo Bo-na (Kong Hyo Jin), seorang isteri dan ibu penyayang yang menjalani kehidupan sederhana bersama suaminya, wartawan akhbar Kwon Tae-seong (Jung Jun Won), serta anak perempuan mereka.

Namun tanpa pengetahuan keluarganya, Bo-na sebenarnya ialah “Kingfisher”, seorang penembak tepat legenda yang berkhidmat untuk sebuah organisasi rahsia bagi menumpaskan penjenayah paling berbahaya di dunia. Selepas berehat selama tiga tahun kerana cuti bersalin, Bo-na kembali menjalankan misi berisiko tinggi sambil mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Kehidupan gandanya mula terancam apabila Tae-seong ditugaskan menyiasat pembunuh misteri yang hanya dikenali sebagai Kingfisher.

Menggabungkan aksi mendebarkan dengan realiti kehidupan berumah tangga dan keibubapaan, “A Bona Fide Killer” memaparkan cabaran yang dihadapi apabila tanggungjawab luar biasa bertembung dengan kehidupan keluarga yang biasa. Drama ini sekali lagi membuktikan kecenderungan Rakuten Viki dalam membawakan karya Korea yang melangkaui sempadan genre kepada penonton di Asia Tenggara.

Drama ini turut menandakan kemunculan semula Kong Hyo Jin di kaca televisyen, sekali gus menjadi antara kepulangan pelakon yang paling dinantikan tahun ini. Dikenali menerusi drama popular seperti Master’s Sun, It’s Okay, That’s Love, The Producers, When the Camellia Blooms dan When the Stars Gossip, Kong Hyo Jin membawakan antara watak paling mencabar dalam kariernya sebagai seorang pembunuh upahan yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi keluarga dan identiti rahsianya.

Turut bergandingan ialah Jung Jun Won, yang baru-baru ini mencuri perhatian penonton antarabangsa menerusi lakonannya dalam Resident Playbook. Selepas membina reputasi menerusi pelbagai watak pembantu dalam drama seperti VIP, beliau kini kembali dengan projek pertamanya selepas kejayaan drama perubatan tersebut, sekali gus mempamerkan lagi kemampuan lakonannya yang penuh emosi.

Barisan pelakon turut diperkuatkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman Sung Dong Il dan Lee Sang Yi.

Di sebalik pembikinan drama ini ialah pengarah Yoon Jong Ho, yang dikenali menerusi sentuhan sinematik dan penceritaan beremosi sebagai pengarah bersama drama popular Flower of Evil dan Lovely Runner. Menerusi “A Bona Fide Killer”, beliau menggabungkan elemen suspens dan emosi dengan gaya visual yang memikat, sekali gus mengimbangi babak aksi yang mendebarkan dengan kisah kekeluargaan yang menyentuh hati.

Populariti drama Korea di peringkat global terus berkembang menerusi karya yang berani menggabungkan pelbagai genre dalam satu penceritaan. “A Bona Fide Killer” tidak terkecuali apabila menyatukan elemen thriller aksi dengan kehangatan hubungan kekeluargaan, menghasilkan sebuah drama yang bukan sahaja mendebarkan tetapi juga sarat dengan emosi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @viki.malaysia

“A Bona Fide Killer” mula ditayangkan secara eksklusif di Rakuten Viki untuk penonton Asia Tenggara bermula 31 Julai. Drama ini turut menyertai senarai adaptasi webtoon popular lain di platform tersebut, termasuk Positively Yours dan Spirit Fingers.