Seo Kang Joon dan Ahn Eun Jin Bintangi Siri Romantik Baharu “A Love Other Than Yours” di Prime Video September Ini

Diterajui oleh Seo Kang Joon dan Ahn Eun Jin bersama Lee Joo Ahn serta Jo Aram, “A Love Other Than Yours” mengisahkan perjalanan sebuah hubungan yang telah bertahan selama 10 tahun. Namun apabila cinta yang dahulunya membara mula digantikan dengan rasa selesa dan rutin, pasangan itu mula berdepan persoalan sama ada hubungan mereka masih berlandaskan cinta atau sekadar kebiasaan.

Drama ini mengikuti kisah Namgung Ho dan Lee Mi-do, pasangan yang telah lama bersama dan merancang masa depan bersama. Ho merupakan seorang lelaki yang peramah dan percaya perkahwinan adalah langkah seterusnya dalam hubungan mereka. Sebaliknya, Mi-do yang bekerja sebagai pengarah filem sedang berdepan kemerosotan kerjaya sebelum tanpa diduga mula menyimpan perasaan terhadap lelaki lain. Ketika hubungan mereka mula goyah, kedua-duanya perlu membuat keputusan sama ada meneruskan impian untuk berkahwin atau memilih haluan baharu dalam hidup masing-masing.

Seo Kang Joon (Undercover High School, Cheese in the Trap, Boyfriend on Demand, When the Weather Is Fine) membawakan watak Namgung Ho, penolong pengurus di Hunmin Confectionery yang mudah disenangi ramai. Selepas mengharungi pelbagai fasa kehidupan bersama Mi-do selama sedekad, dia percaya hubungan mereka cukup kukuh untuk mengharungi apa jua cabaran. Namun keyakinannya mula diuji apabila dia menyedari perubahan pada diri wanita yang dicintainya.

Ahn Eun Jin (Dynamite Kiss, Genie, Make a Wish, The Good Bad Mother, Hospital Playlist) pula melakonkan watak Lee Mi-do, seorang pengarah filem yang pernah dianggap sebagai bakat baharu yang menjanjikan. Selama ini, dia sentiasa menganggap perkahwinan dengan Namgung Ho sebagai sebahagian daripada masa depannya. Namun ketika kerjayanya berdepan jalan buntu, kehadiran seseorang yang tidak dijangka mula mengubah perasaannya, sekali gus membuatkan dia mempersoalkan masa depan yang selama ini dianggap pasti.

Lee Joo Ahn (Bon Appétit, Your Majesty, True Beauty) membawakan watak Han Tae-seung, seorang peguam bercita-cita tinggi di Jaekang Law Firm. Sebagai anak yatim, dia membina kejayaannya hanya berbekalkan kebijaksanaan dan kerja keras. Namun pertemuannya dengan Lee Mi-do sedikit demi sedikit mengubah kehidupannya apabila wanita itu membangkitkan perasaan yang selama ini cuba disembunyikannya.

Bekas ahli kumpulan K-Pop Gugudan, Jo Aram (To the Moon, The Auditors), memainkan watak Park Su-a, kakitangan di Hunmin Confectionery yang sering disalah anggap sebagai seorang yang dingin. Membesar sebagai anak kepada pemain bola sepak terkenal menjadikan Su-a seorang yang berhati-hati dalam berhubungan dengan orang lain dan hanya membuka dirinya apabila benar-benar perlu.

Foto-foto yang dikongsi turut memaparkan Namgung Ho dan Lee Mi-do menikmati temu janji di sebuah restoran. Keserasian yang jelas antara mereka menggambarkan hubungan yang telah dibina selama 10 tahun, namun riak wajah dan pandangan yang dikongsi turut memberi bayangan bahawa hubungan mereka bakal berdepan ujian yang tidak dijangka.

Siri 14 episod ini diarahkan oleh Hwang Seung-ki (The Matchmakers, Into the Ring, Radio Romance) bersama Lee Garam, manakala skripnya ditulis oleh Yoo Su-ji (Somehow 18).

Menurut pasukan produksi, “A Love Other Than Yours” merupakan sebuah drama romantik yang mengetengahkan emosi dan dilema yang mungkin pernah dialami oleh mereka yang menjalinkan hubungan jangka panjang. Mereka berharap penonton dapat mengikuti perjalanan pasangan ini serta perubahan-perubahan kecil yang akhirnya menguji makna sebenar cinta dan hubungan mereka.

“A Love Other Than Yours” akan mula ditayangkan secara eksklusif di Prime Video bermula 12 September.