Ogos 2026 Bawakan 7 K-Drama Baharu Untuk Tontonan Anda

Annyeong, chinguyaa~

August is coming, dan ini bermakna barisan K-drama baru pun mula mengambil alih watchlist! Dari kisah romantik yang sweet, komedi yang menghiburkan hinggalah thriller penuh misteri dan suspen, bulan ini memang padat dengan pelbagai genre menarik.

Lebih best, setiap drama hadir dengan jalan cerita yang unik serta barisan pelakon popular yang buat ramai tak sabar nak mula menonton. Ada yang menjanjikan healing dan gelak tawa, ada juga yang bakal buat penonton berdebar tunggu episod seterusnya.

Ini 7 drama Korea terbaru yang bakal mewarnai Ogos 2026!

1. My Bias My Boss

  • Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2026
  • Penyiar: tvN
  • Genre: Komedi Romantik, Pejabat
  • Barisan Pelakon: Kang Hoon, Kim Hye Jun, Cha Woo Min, Yuna

“My Bias, My Boss” merupakan sebuah drama komedi romantik berlatarbelakangkan dunia pejabat yang diadaptasi daripada webkomik popular dengan judul yang sama.

Drama ini mengisahkan Nam Da Reum (Kim Hye Jun), seorang peminat setia bintang idola Lee Chan (Cha Woo Min) selama 11 tahun. Demi merealisasikan impiannya untuk bekerja bersama idola kesayangannya, Da Reum sanggup menolak tawaran pekerjaan daripada syarikat-syarikat besar dan memilih untuk menyertai Appello, sebuah syarikat pemula (startup) dalam industri fesyen yang turut diterajui oleh Lee Chan sebagai pengarah.

Namun, impiannya tidak berjalan seperti yang dirancang. Da Reum secara tidak dijangka terjerat dengan Kang Ha Ki (Kang Hoon), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Appello yang dikenali dengan sikap dingin tetapi sebenarnya berhati penyayang. Ketika berdepan cabaran di tempat kerja dan perasaan yang semakin berkembang, Da Reum akhirnya terperangkap di antara idola yang sekian lama dipujanya dan ketua yang sentiasa membuatkan hidupnya menjadi tidak menentu, sekali gus mencetuskan sebuah kisah percintaan pejabat yang menghiburkan dan menyentuh hati.

2. Flex x Cop 2

  • Tarikh Tayangan: 7 Ogos 2026
  • Penyiar: SBS | Disney+
  • Genre: Aksi, Jenayah, Penyiasatan, Misteri
  • Barisan Pelakon: Ahn Bo Hyun, Jung Eun Chae

“Flex x Cop 2” membawa kembali francais drama penyiasatan jenayah popular itu dengan musim kedua yang sarat dengan aksi, kes-kes berprofil tinggi dan cabaran baharu.

Jin I Soo (Ahn Bo Hyun), pewaris chaebol yang kini bergelar detektif, kembali menyelesaikan pelbagai kes berprofil tinggi dengan memanfaatkan kekayaan serta sumber luar biasa yang dimilikinya. Namun, pendekatan luar kebiasaan dalam membanteras jenayah mula berdepan cabaran apabila Joo Hye Ra (Jung Eun Chae) dilantik sebagai ketua pasukan baharu.

Dikenali sebagai seorang ketua yang tegas sehingga digelar “jurulatih syaitan”, Hye Ra menyimpan rasa tidak senang terhadap I Soo dan tidak bersetuju dengan cara kerjanya yang sering mempamerkan kekayaan. Kini, I Soo bukan sahaja perlu menyesuaikan diri di bawah kepimpinan Hye Ra yang berdisiplin, malah turut berdepan pembunuh bersiri yang berbahaya serta seorang musuh misteri yang menjadikannya sebagai sasaran. Dalam usaha melindungi pasukannya dan terus hidup, I Soo terpaksa menggunakan segala kelebihan serta strategi luar biasanya untuk menyelesaikan setiap kes yang dihadapinya.

3. Our Sticky Love

  • Tarikh Tayangan: 7 Ogos 2026
  • Penyiar: Netflix
  • Genre: Komedi Romantik, Romantik, Kehidupan Desa
  • Barisan Pelakon: Jung Hae In, Ha Young

“Our Sticky Love” menampilkan barisan pelakon ternama dalam sebuah drama komedi romantik yang dipenuhi rahsia, kekecohan dan detik-detik manis.

Go Eun Sae (Ha Young), seorang pendakwa raya berbakat dari Seoul, mengalami amnesia yang teruk selepas terlibat dalam satu insiden mengejut. Apabila dia sedar, Eun Sae mendapati dirinya berada di sebuah perkampungan luar bandar tanpa sebarang ingatan tentang identitinya.

Jang Tae Ha (Jung Hae In), bekas juara tinju remaja yang kini menjadi jurulatih di kampung tersebut, segera mengenali Eun Sae sebagai cinta pertamanya. Demi melindunginya daripada diburu seorang ketua sindiket jenayah berbahaya (Heo Sung Tae), Tae Ha membuat satu pembohongan besar dengan mendakwa dirinya ialah teman lelaki Eun Sae.

Ketika Eun Sae cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampung bersama Tae Ha, pelbagai situasi lucu, rahsia yang mula terbongkar serta bibit percintaan mula mewarnai kehidupan mereka.

4. A Trap Called Desire

  • Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2026
  • Penyiar: KBS
  • Genre: Balas Dendam, Melodrama, Thriller, Keluarga
  • Barisan Pelakon: Jang Seo Hee, Jun Hye Won

“A Trap Called Desire” menandakan kemunculan semula ratu drama balas dendam, Jang Seo Hee, ke slot drama waktu perdana KBS menerusi sebuah naskhah yang penuh dengan konflik dan emosi.

Go Eun Seol (Jeon Hye Won) menjalani kehidupan yang tenang sehinggalah dia menjadi mangsa fitnah dalam satu kes pembunuhan, sekali gus kehilangan segala-galanya yang paling berharga dalam hidupnya. Di sebalik kejatuhannya ialah Joo Mi Ran (Jang Seo Hee), seorang wanita yang kejam dan dipenuhi cita-cita gelap untuk merampas kehidupan sempurna milik orang lain.

Dalam usaha mempertahankan kedudukan yang dirampasnya, Mi Ran membina rangkaian pembohongan demi pembohongan untuk menutup segala rahsia. Pada masa yang sama, Eun Seol berjuang tanpa henti bagi membersihkan namanya serta menuntut semula kehidupan yang telah dirampas daripadanya.

Pertembungan antara dua wanita ini mencetuskan sebuah drama balas dendam yang penuh debaran apabila pelbagai rahsia lama, kewujudan anak yang selama ini disembunyikan serta keinginan yang saling bertentangan mula terbongkar, membawa kepada peperangan emosi yang semakin memuncak.

5. New Recruit 4: Sabotage

  • Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2026
  • Penyiar: ENA, Genie TV
  • Genre: Komedi Gelap • Ketenteraan • Kehidupan
  • Barisan Pelakon: Kim Min Ho, Kim Dong Joon, Oh Dae Hwan

“New Recruit 4: Sabotage” merupakan musim keempat drama komedi gelap “New Recruit”, yang mengisahkan kehidupan anggota muda dalam perkhidmatan tentera Korea Selatan.

Musim ini mengikuti Park Min Seok (Kim Min Ho) yang kini bergelar koperal dan berdepan pelbagai cabaran baharu selepas kenaikan pangkat. Kehadiran seorang rekrut misteri, Kim Hyun Wook, serta komandan baharu Byun Hyeok Jin sekali gus mencetuskan pelbagai konflik yang tidak dijangka.

Dalam masa yang sama, Choi Il Gu (Nam Tae Woo) kembali sebagai pegawai tidak bertauliah (NCO), memaksa Min Seok mengharungi konflik, persaingan dan pelbagai situasi yang menguji ketahanannya.

6. Mousetrap

  • Tarikh Tayangan: 28 Ogos 2026
  • Penyiar: Netflix
  • Genre: Thriller Psikologi, Misteri, Jenayah
  • Barisan Pelakon: Ryu Jun Yeol, Sul Kyung Gu

“Mousetrap” merupakan adaptasi daripada webtoon popular yang mengetengahkan kisah thriller psikologi gelap mengenai kecurian identiti dan permainan memburu yang penuh mendebarkan.

Je Mun Jae (Ryu Jun Yeol), seorang novelis yang hidup menyendiri akibat fobia sosial yang serius, mendapati kehidupannya berubah sekelip mata apabila sistem pengesahan biometrik pada telefon pintarnya gagal berfungsi. Lebih mengejutkan, seorang individu misteri yang dikenali sebagai “The Rat” telah mencuri identiti, nama dan seluruh kekayaannya.

Dalam usaha mendapatkan semula kehidupannya, Mun Jae mendapatkan bantuan No Ja (Sul Kyung Gu), seorang ceti haram yang juga bertindak sebagai detektif persendirian, selain merupakan individu yang pernah dipinjaminya wang. Didorong oleh kepentingan sendiri dan rasa ingin tahu terhadap kes tersebut, No Ja bersetuju untuk membantu Mun Jae.

Namun, siasatan mereka membawa kedua-duanya ke dalam satu permainan psikologi yang berbahaya, apabila mereka terpaksa berlumba dengan masa untuk memburu dalang sebenar di sebalik identiti “The Rat” sebelum segalanya menjadi lebih buruk.

7. Four Hands, Two Sonatas

  • Tarikh Tayangan: 29 Ogos 2026
  • Penyiar: tvN | Netflix
  • Genre: Remaja, Muzik, Romantik, Coming-of-Age
  • Barisan Pelakon: Song Kang, Lee Jun Young, Jang Gyuri

“Four Hands, Two Sonatas” menggabungkan dunia muzik klasik, persaingan seni yang sengit dan kisah percintaan remaja dalam sebuah drama yang menyentuh emosi.

Berlatarbelakangkan Korea Arts High School, drama ini mengisahkan Kang Bi O (Song Kang), seorang pemain piano berbakat yang terkenal dengan sifatnya yang mementingkan kesempurnaan dan diramalkan bakal mencipta nama di pentas muzik antarabangsa. Namun, kehidupannya yang teratur mula berubah dengan kehadiran Choi Jeong Yo (Lee Jun Young), seorang prodigi piano luar biasa yang selama ini menyembunyikan bakatnya akibat tragedi yang pernah menimpa dirinya.

Bersama-sama Hong Jae In (Jang Gyu Ri), pelajar jurusan viola, mereka membina hubungan persahabatan yang semakin erat sambil berdepan persaingan sengit dalam dunia muzik. Dalam masa yang sama, bibit-bibit percintaan turut mula mewarnai kehidupan mereka.

Disatukan oleh minat yang mendalam terhadap muzik, ketiga-tiga mereka mengharungi pelbagai cabaran, persaingan dan pengalaman yang membentuk kematangan diri ketika melangkah ke alam dewasa.

K Drama Cliches

K-Drama Couch Tip: What To Watch After "Itaewon Class"

Daripada komedi romantik hinggalah thriller penuh debaran, Ogos kali ini memang menjanjikan pelbagai pilihan menarik untuk pencinta K-drama. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk layan semua drama terbaru ni! 🍿

Nota: Tarikh tayangan adalah tertakluk kepada perubahan oleh pihak penyiar atau platform penstriman. Kami akan mengemas kini senarai ini sekiranya terdapat sebarang perubahan. Happy watching!