So Ji Sub Dan Joo Sang Wook Bertentang Mata Dalam “Agent Kim Reactivated”

Penonton bakal disajikan dengan pertembungan penuh debaran antara So Ji Sub dan Joo Sang Wook dalam episod terbaharu “Agent Kim Reactivated”.

Diadaptasi daripada webtoon popular, “Agent Kim Reactivated” merupakan drama aksi balas dendam yang mengisahkan Pengurus Kim (So Ji Sub), seorang bapa yang kelihatan biasa namun menyimpan masa silam penuh rahsia. Demi menyelamatkan anak perempuannya, dia sanggup mempertaruhkan segala-galanya.

Menerusi gambar pegun yang dikongsikan, Pengurus Kim akhirnya bertemu dengan Joo Kang Chan (Joo Sang Wook). Berbeza dengan Pengurus Kim yang kelihatan lebam dan dipenuhi kesan kecederaan selepas pertarungan sengit, Joo Kang Chan pula tampil kemas dan tenang sambil bersandar di kerusi mewah tanpa sedikit pun kelihatan terjejas.

 

Walaupun hanya berbual, suasana antara mereka dipenuhi ketegangan. Joo Kang Chan memandang sinis ke arah Pengurus Kim, yang jelas sedang menahan kemarahannya.

Lebih menarik, kedua-dua lelaki ini digerakkan oleh kasih sayang terhadap anak mereka, namun memilih jalan yang sama sekali berbeza. Pengurus Kim sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan anak perempuan kesayangannya, manakala Joo Kang Chan pula tidak teragak-agak meragut nyawa orang lain untuk menutup jenayah yang dilakukan oleh anak perempuannya.

Pertembungan dua insan yang berkongsi gelaran sebagai seorang bapa, namun berpegang pada prinsip yang bertentangan ini pastinya menjadi antara tumpuan utama episod akan datang.

“Kedua-dua watak ini berkongsi gelaran sebagai seorang bapa, tetapi telah melalui jalan kehidupan yang sama sekali berbeza sebelum akhirnya bertentang mata. Penonton juga bakal disajikan dengan lakonan hebat daripada So Ji Sub dan Joo Sang Wook dalam babak ini,” kata pihak produksi.

Episod 7 “Agent Kim Reactivated” akan ditayangkan pada 17 Julai, jam 9.50 malam (KST), dan turut boleh distrim di Netflix.


Sumber : 1