Menjelang tayangan episod ketiga drama “The Apartment Job”, penonton bakal menyaksikan Park Hae Kang (Ji Sung) mengambil pendekatan luar biasa untuk meraih sokongan penduduk apartmen.
“The Apartment Job” merupakan drama komedi jenayah yang mengisahkan Park Hae Kang, bekas ketua kumpulan samseng yang menyamar sebagai pengurus komuniti sebuah kompleks apartmen bagi memburu wang haram bernilai 10 bilion won yang disembunyikan di situ.
Dalam episod terdahulu, Park Hae Kang mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai wakil penduduk apartmen bagi mendapatkan akses kepada setiap sudut bangunan demi meneruskan misinya mencari wang tersebut.
Bagaimanapun, menerusi gambar pegun yang baru didedahkan, Park Hae Kang dilihat menyertai Delivery Avengers, sebuah pasukan sukarelawan penghantar barangan yang membantu penduduk dengan menghantar pakej dan mengangkat barangan berat.

Dengan memakai vest keselamatan, dia bukan sahaja menghantar kotak ke rumah penduduk, malah sanggup mengangkat guni beras dengan penuh semangat. Walaupun tugas itu kelihatan mencabar, Park Hae Kang tetap mengekalkan senyuman sambil berusaha memenangi hati para penduduk.
Persoalannya, adakah usahanya menyertai Delivery Avengers mampu membantunya meraih sokongan dan seterusnya memenangi pilihan raya penduduk?
Episod ketiga “The Apartment Job” akan ditayangkan pada 17 Julai, dan turut boleh distrim di Netflix.
Sumber : 1

