[C-Drama] Drama Romantik “Love for You” Gandingan Song Weilong & Zhang Jingyi, Kini Tersedia Di Viki

Drama romantik China yang dinanti-nantikan, “Love for You”, kini boleh distrim menerusi Rakuten Viki. Dibintangi Song Weilong dan Zhang Jingyi, drama ini menggabungkan kisah cinta pertama, ikatan kekeluargaan serta misteri jenayah dalam satu penceritaan yang penuh emosi.

Kehadiran “Love for You” di Viki merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Rakuten Viki dan MangoTV, salah satu platform penstriman terbesar di China, dalam usaha membawakan lebih banyak drama China berkualiti kepada penonton antarabangsa.

Malah sebelum tayangannya, “Love for You” sudah mencuri perhatian peminat drama China kerana diadaptasi daripada novel popular Wild Dog Bones. Drama ini juga menjadi gandingan pertama di kaca televisyen antara Song Weilong, yang dikenali menerusi “Shine on Me” dan “Go Ahead”, bersama Zhang Jingyi, bintang muda yang semakin menyerlah menerusi “Lighter & Princess” dan “Blossoms in Adversity”.

Populariti Song Weilong terus meningkat apabila dia baru-baru ini merangkul People’s Choice Award di Global OTT Awards yang berlangsung di Busan menerusi lakonannya dalam “Shine on Me”.

Diadaptasi daripada novel web terlaris Wild Dog Bones (Ye Gou Gu Tou) karya Xiu Tu Cheng, drama ini mengisahkan Chen Yi dan Miao Jing, dua insan yang dipertemukan selepas kehidupan keluarga mereka saling berkait pada era 1990-an.

Hubungan yang pada awalnya dipenuhi permusuhan akhirnya bertukar menjadi kasih sayang. Namun, satu tragedi serta perpisahan yang tidak dijangka memisahkan mereka. Bertahun-tahun kemudian, mereka kembali bertemu di kampung halaman apabila perasaan yang masih terpendam bertembung dengan rahsia keluarga yang sekian lama disimpan serta satu kes jenayah lama yang masih belum terungkai.

Selain dibintangi Song Weilong dan Zhang Jingyi, “Love for You” diarahkan oleh Liu Junjie, pengarah yang pernah menghasilkan drama popular seperti “Boss & Me”, “My Sunshine” dan “Lighter & Princess”. Berlatarbelakangkan era 1990-an serta diadaptasi daripada karya sastera, drama ini menjanjikan penceritaan yang menyentuh emosi dengan sentuhan sinematik.

Menurut Jaehee Hong, Ketua Pegawai Kandungan Rakuten Viki, “Love for You” memiliki semua elemen yang dicari penonton drama China masa kini.

“Love for You menghimpunkan segala elemen yang dicari penonton dalam drama China hari ini, daripada jalan cerita yang penuh emosi, lakonan yang mantap hinggalah kualiti produksi yang sinematik. Seiring peningkatan permintaan terhadap C-drama di seluruh dunia, kami teruja membawakan satu lagi siri yang dinanti-nantikan ini kepada penonton.”

Selain “Love for You”, penonton di beberapa rantau turut boleh menonton beberapa drama China baharu lain di Viki, termasuk “Road to Success“, “Ancient Bracelet”, “How to Train Your Killer” dan “The Epoch of Miyu”.