A Shop for Killers kembali dengan musim kedua yang dinanti-nantikan bermula 22 Julai, eksklusif di Disney+, menjanjikan aksi lebih mendebarkan, pembunuh upahan baharu serta barisan pelakon yang semakin mantap.
Selepas mengakhiri musim pertama dengan penamat yang mengejutkan dan mengundang pelbagai persoalan, musim kedua bakal menyaksikan kisah Jeong Jian yang kini mengambil alih kedai senjata milik bapa saudaranya, manakala Jeong Jinman kembali selepas disangka telah meninggal dunia.
Di sebalik usaha Jinman untuk melindungi Jian, organisasi tentera upahan BABYLON masih belum berputus asa. Selepas mengalami kekalahan yang memalukan, BABYLON mendapatkan bantuan daripada pembunuh upahan antarabangsa bagi membina semula kekuatan mereka dan membalas dendam terhadap Jinman.
Musim pertama A Shop for Killers sebelum ini menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk tersenarai sebagai antara Rancangan TV Antarabangsa Terbaik 2024 oleh The New York Times.
Musim kedua menyaksikan Lee Dong Wook kembali sebagai Jeong Jinman, manakala Kim Hye Jun sekali lagi membawakan watak Jeong Jian.
Turut menyertai barisan pelakon ialah pelakon Jepun Hyunri sebagai ketua pasukan misteri, Q, serta Masaki Okada sebagai pembunuh upahan berkarisma dikenali sebagai J, yang dijangka membawa ancaman baharu kepada Jinman dan Jian.
Siri ini sekali lagi ditulis oleh Jee Ho Jin dan Lee Kwon, manakala Lee Kwon turut kembali menggalas tanggungjawab sebagai pengarah.
A Shop for Killers Musim 2 akan memulakan tayangan dengan dua episod pertama pada 22 Julai, diikuti dua episod baharu setiap hari Rabu sehingga episod akhir yang dijadualkan pada 12 Ogos.
Selain A Shop for Killers, Disney+ turut membariskan beberapa sekuel Korea yang dinanti-nantikan. Peminat Made in Korea bakal menyaksikan Hyun Bin dan Jung Woo Sung kembali menerusi musim kedua yang dijangka ditayangkan penghujung tahun ini.
Dalam masa sama, peminat Moving juga boleh menantikan musim kedua drama adiwira tersebut selepas Disney+ mengesahkan proses produksinya kini sedang berlangsung.
Sementara menantikan tayangan musim kedua, penonton boleh menonton semula A Shop for Killers Musim 1, manakala Musim 2 akan mula distrim 22 Julai, eksklusif di Disney+.


