Menjelang tayangannya pada Julai ini, drama baharu tvN, “Spooky In Love”, terus mencuri perhatian apabila memperkenalkan watak-watak utamanya menerusi pelbagai poster, foto rasmi dan teaser yang memberi bayangan kepada kisah romantik misteri penuh unsur supernatural.
Adaptasi semula filem popular “Spellbound” (2011), drama ini menggabungkan elemen romantik, penyiasatan dan okultisme menerusi kisah seorang pewaris hotel yang mampu melihat hantu serta seorang pendakwa raya yang amat takut akan makhluk ghaib. Pertemuan mereka bukan sahaja mengubah kehidupan masing-masing, malah membuka lembaran kepada pelbagai misteri yang selama ini tersembunyi.
Sentuhan yang mengubah segala-galanya
Poster utama drama ini memaparkan Cheon Yeo Ri (Park Eun Bin) dan Ma Gang Wook (Yang Se Jong) duduk bersebelahan di atas sofa pada waktu malam. Walaupun Yeo Ri memandang tepat ke hadapan dengan riak wajah dingin, tangannya diletakkan di atas tangan Gang Wook seolah-olah menjadi titik permulaan kepada takdir yang bakal mengubah kehidupan mereka.

Namun di sebalik suasana romantik itu, kelihatan bayang-bayang menyeramkan menghimpit tingkap di belakang mereka, memberi petunjuk bahawa kisah cinta mereka tidak akan terpisah daripada dunia roh.
Lebih mengundang persoalan, slogan pada poster berbunyi, “Saat tangan kita bersentuhan, sebuah kisah cinta yang menyeramkan pun bermula,” membayangkan bahawa satu sentuhan sudah cukup untuk mengubah nasib Ma Gang Wook.
CEO hotel yang menyimpan rahsia besar

Park Eun Bin membawakan watak Cheon Yeo Ri, CEO Reina Hotel yang memiliki segala-galanya—kecantikan, kebijaksanaan dan kekayaan. Sebagai satu-satunya waris kandung kepada pengerusi kumpulan, dia berada di kedudukan teratas dalam perebutan kuasa pewarisan syarikat.
Namun, di sebalik kehidupannya yang kelihatan sempurna, Yeo Ri menyimpan satu rahsia yang tidak diketahui sesiapa.
Dia mampu melihat hantu dan mendengar suara mereka yang telah meninggal dunia. Lebih luar biasa, sesiapa yang bersentuhan dengannya turut akan memperoleh keupayaan melihat roh.
Disebabkan kebolehan tersebut, Yeo Ri sentiasa memakai sarung tangan dan memilih untuk menjauhkan diri daripada orang lain. Dalam dunia korporat, dia turut dikenali sebagai “puteri yang menyendiri”, sementara hidupnya dihabiskan membantu roh-roh yang masih belum dapat melepaskan dendam serta penyesalan mereka.
Pendakwa raya yang paling takut akan hantu

Berbeza pula dengan Ma Gang Wook lakonan Yang Se Jong.
Sebagai pendakwa raya elit di Pejabat Pendakwa Raya Daerah Seoul, Gang Wook terkenal dengan ketegasan, semangat keadilan dan sifat empatinya. Dia tidak pernah berkompromi dengan penjenayah serta sanggup menyiasat setiap kes sehingga menemui kebenaran.
Ironinya, lelaki yang berani berdepan penjenayah ini sebenarnya sangat takut akan hantu.
Segalanya berubah selepas dia bertemu Yeo Ri di sebuah lokasi jenayah. Sejak bersentuhan dengan wanita itu, Gang Wook tiba-tiba mampu melihat roh, sekali gus mengheretnya ke dalam dunia yang selama ini hanya dianggap sebagai mimpi ngeri.
Pelbagai kejadian aneh mula berlaku, membuatkan dia bukan sahaja perlu memburu penjenayah, malah berdepan misteri yang tidak mampu dijelaskan dengan logik.
Pertemuan yang mencetuskan chemistry luar biasa
Takdir terus mempertemukan Yeo Ri dan Gang Wook di pelbagai lokasi, khususnya di tempat kejadian jenayah yang mempunyai kaitan dengan roh si mati.
Yeo Ri mampu mendengar suara mangsa, manakala Gang Wook pula mencari kebenaran melalui bukti dan siasatan. Perbezaan itu secara tidak langsung menjadikan mereka pasangan yang saling melengkapi.
Foto-foto rasmi memperlihatkan kedua-duanya saling bertukar pandangan dengan rasa curiga, berhati-hati dan dalam masa sama mula membina kepercayaan antara satu sama lain.

Malah, salah satu foto paling mencuri perhatian memperlihatkan Yeo Ri membuka sarung tangannya di hadapan Gang Wook, sekali gus menimbulkan persoalan tentang perubahan besar yang bakal berlaku apabila tangan mereka bersentuhan.

Poster karakter bayangkan cinta tiga penjuru
Selain poster utama, tvN turut melancarkan poster karakter yang memberi gambaran lebih jelas mengenai hubungan rumit antara tiga watak utama.
Poster Cheon Yeo Ri memaparkan dia menghalang seseorang daripada menyentuh tangannya menggunakan sarung tangan, simbol kepada rahsia yang selama ini disembunyikan. Ungkapan “Adakah awak benar-benar yakin mampu memegang tangan saya?” menggambarkan kebimbangannya terhadap kesan yang bakal diterima oleh sesiapa sahaja yang menyentuhnya.

Sebaliknya, poster Ma Gang Wook memperlihatkan dia menggenggam tangan Yeo Ri dengan penuh tekad sambil berkata, “Kalau tangan awak, saya rasa saya akan cuba memegangnya sekali lagi.” Kata-kata itu membayangkan kesediaannya untuk terus bersama Yeo Ri walaupun mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

Dalam masa sama, poster Kang Min Hwan pula menampilkan sisi yang jauh berbeza apabila dia menarik tangan Yeo Ri ke arahnya dengan cara yang lebih menguasai dan posesif. Dengan slogan, “Saya tidak akan puas selagi belum mendapat apa yang saya mahukan,” poster itu menguatkan lagi bayangan bahawa dia bakal menjadi penghalang terbesar kepada hubungan Yeo Ri dan Gang Wook.

Ong Seong Wu tampil sebagai antagonis berwajah budiman
Ong Seong Wu membawakan watak Kang Min Hwan, CEO CL Raymond Hotel dan pewaris kepada empayar hotel serta resort terkemuka.
Di mata umum, Min Hwan dikenali sebagai seorang lelaki budiman yang sopan, rasional dan cekap menguruskan syarikat sehingga mendapat kepercayaan ramai, termasuk sahabat baiknya sendiri, Cheon Yeo Ri.

Namun, di sebalik imej sempurna itu tersembunyi cita-cita yang jauh lebih gelap.
Didorong keinginan untuk mendapatkan kasih sayang dan pengiktirafan daripada ibu bapanya, Min Hwan sanggup menggunakan sesiapa sahaja demi mencapai matlamatnya. Dia juga digambarkan sebagai seorang perancang licik yang menggunakan kelembutan sebagai topeng sebelum mengeksploitasi kelemahan lawannya.
Lakonan Ong Seong Wu dijangka menyerlahkan sisi antagonis yang penuh manipulasi, sekali gus menambahkan lagi konflik dalam perjalanan Yeo Ri dan Gang Wook.

Menurut pasukan produksi, gabungan seorang pewaris chaebol yang mampu melihat hantu dengan seorang pendakwa raya yang amat takut akan hantu bakal menawarkan pengalaman tontonan yang segar dan berbeza. Mereka turut memberi bayangan bahawa hubungan antara Yeo Ri dan Gang Wook akan berkembang seiring dengan rahsia luar biasa yang dikongsi sejak tangan mereka bersentuhan.
“Spooky In Love” dijadualkan menemui penonton pada 18 Julai, jam 9.10 malam (KST).
Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 |


