Prime Video bakal tampil dengan satu lagi drama Korea romantik yang dekat dengan realiti ramai pekerja pejabat menerusi “See You at Work Tomorrow!”, drama office romance terbaru lakonan Seo In Guk dan Park Ji Hyun.
Drama ini dijadualkan mula distrim secara eksklusif pada 22 Jun 2026 di lebih 240 negara dan wilayah seluruh dunia.
Diadaptasi daripada webtoon popular dengan judul sama, “See You at Work Tomorrow!” menggabungkan elemen satira dunia pekerjaan, emosi kehidupan dewasa dan kisah cinta perlahan yang berkembang di tengah tekanan kerja harian.
Kisah Pekerja Pejabat Yang Hilang Semangat
Drama ini mengikuti kisah Cha Ji Yoon (Park Ji Hyun), seorang pekerja pejabat yang sudah tujuh tahun bekerja di syarikat sama sehingga mula hilang semangat dan menjalani rutin secara ‘auto-pilot’.
Walaupun kelihatan tenang dan profesional di tempat kerja, Ji Yoon sebenarnya semakin penat dengan realiti kehidupan dewasa. Di luar waktu kerja, dia lebih selesa menikmati makanan, bermain permainan video dan menjauhkan diri daripada hubungan serius akibat luka lama.
Dalam usaha mengelakkan situasi kerja yang lebih teruk, Ji Yoon memilih untuk bekerja rapat dengan ketuanya yang terkenal dingin, Kang Si Woo (Seo In Guk) — seorang lelaki yang dianggap sebagai “pilihan yang kurang menyusahkan.”
Namun tanpa disedari, hubungan mereka perlahan-lahan berubah sehingga menjadi insan paling penting dalam hidup masing-masing.
Seo In Guk Jadi “Three- No Man”
Seo In Guk akan membawa watak Kang Si Woo, seorang ketua yang tegas, sensitif dan sangat berprinsip.
Dikenali di pejabat sebagai “Three-No Man” — tiada senyuman, tiada sembang kosong dan tiada maaf — Si Woo kelihatan sukar didekati. Namun di sebalik sifat dinginnya, tersembunyi sisi lembut yang perlahan-lahan mula terserlah apabila Ji Yoon hadir dalam hidupnya.
Melalui watak ini, Seo In Guk dijangka menampilkan sisi emosi yang lebih matang dan mendalam.

Park Ji Hyun Hidupkan Watak Yang Dekat Dengan Kehidupan Ramai
Park Ji Hyun pula bakal menghidupkan watak Cha Ji Yoon menerusi lakonan yang natural dan dekat dengan realiti ramai pekerja moden.
Ji Yoon pula memilih untuk hidup secara sederhana tanpa mengharapkan apa-apa daripada cinta. Pada waktu siang dia kelihatan profesional dan tenang, tetapi di luar waktu kerja dia lebih selesa menikmati makanan, bermain permainan video dan menjauhkan diri daripada hubungan serius akibat luka lama.
Namun, keikhlasan Si Woo mula membuka kembali pintu hati yang selama ini dikunci rapat.

Selain Seo In Guk dan Park Ji Hyun, drama ini turut dibintangi Kang Mina sebagai Yoon No Ah, Choi Kyung Hoon sebagai vokalis band Jo Ga Eul serta Won Gyu Bin sebagai pelajar kolej Lee Jae In.
Drama Office Romance Yang Dekat Dengan Realiti
Apa yang membuatkan “See You at Work Tomorrow!” menarik adalah gabungan humor, kisah percintaan perlahan dan realiti budaya kerja moden yang cukup dekat dengan kehidupan ramai penonton.
Daripada tekanan kerja, hubungan antara pekerja dan ketua hinggalah rasa penat menjadi orang dewasa — drama ini cuba menyampaikan semuanya dalam suasana yang ringan tetapi penuh emosi.
Pihak produksi turut berkongsi bahawa keserasian para pelakon dan skrip yang kukuh berjaya mencipta sinergi melebihi jangkaan.
Mereka berkata, “Drama ini akan tampil dengan kisah realistik yang boleh dikaitkan oleh ramai pekerja serta percintaan yang membuatkan hati berdebar.”
Diterbitkan oleh Studio Dragon dan Kross Pictures, drama ini diarahkan oleh Cho Eun Sol (“Perfect Shot”, “My Beautiful Apartment”) dan ditulis oleh Kim Kyung Min, penulis bersama “Born Again”.
“See You at Work Tomorrow!” akan mula distrim di Prime Video bermula 22 Jun ini.


