Drama baharu Netflix, “The WONDERfools”, akhirnya berkongsi pandang pertama kepada penonton menerusi poster, foto karakter dan info terbaru tentang jalan ceritanya.
Berlatarbelakangkan tahun 1999 ketika kebimbangan tentang kiamat Y2K berada di tahap tertinggi, “The WONDERfools” merupakan drama aksi komedi fantasi yang mengikuti sekumpulan penduduk bandar kecil yang secara tiba-tiba memperoleh kuasa luar biasa.
Namun masalahnya — mereka langsung bukan “hero” tipikal.
Daripada individu kekok dan serba tak kena, mereka akhirnya terpaksa bergabung untuk menentang penjahat yang mengancam keamanan Haeseong City.
Drama ini turut menemukan semula pengarah Yoo In Sik dan Park Eun Bin selepas kejayaan Extraordinary Attorney Woo.
Menurut Park Eun Bin, dia sangat seronok dapat kembali bekerjasama dengan Yoo In Sik.
“Kami bermula dengan hubungan kerja yang sudah saling memahami. Bila bekerjasama semula, saya dapat melihat sisi baharu pengarah Yoo In Sik dan suasana di set sangat menyeronokkan,” katanya.
Dia turut mengakui penggambaran drama ini agak mencabar dari segi fizikal kerana perlu menghidupkan elemen kuasa luar biasa, namun tetap menikmati keseluruhan proses tersebut.
Sekumpulan “Hero” Yang Langsung Tak Dijangka
Park Eun Bin membawakan watak Eun Chae Ni, cucu kepada pemilik restoran terkenal Keunson di Haeseong.
Disebabkan masalah jantung yang dihidapinya sejak kecil, Chae Ni membesar sebagai individu yang sering berputus asa terhadap hidup. Namun akibat itu juga, dia menjadi seorang yang keras kepala dan dikenali sebagai “troublemaker” di bandar tersebut.
Hidupnya mula berubah apabila dia secara tidak sengaja memperoleh kuasa teleportasi yang aktif secara rawak.

Sementara itu, Cha Eun Woo memainkan watak Lee Woon Jung, seorang penjawat awam khas yang menyimpan masa lalu misteri.
Dia memiliki kuasa telekinesis dan cuba menyembunyikan kebolehannya untuk menjalani kehidupan tenang. Namun tanpa diduga, dia mula terheret ke dalam kekecohan yang melibatkan kumpulan luar biasa dari Haeseong City tersebut.

Menurut Park Eun Bin, Cha Eun Woo memberikan sepenuh komitmen terhadap watak tersebut sebelum menjalani khidmat ketenteraan wajib.
“Saya rasa memang sukar nak bayangkan pelakon lain selain dia untuk watak Lee Woon Jung,” katanya.
Turut melengkapkan kumpulan tersebut ialah Choi Dae Hoon sebagai Son Gyeong Hun — individu yang terkenal sebagai “pengacau terbesar Haeseong City” kerana sering membuat aduan pelik di pejabat bandar.
Dia memperoleh kuasa “melekit” yang menyebabkan objek melekat pada tangannya, termasuk penutup periuk.

Selain itu, Im Seong Jae pula memainkan watak Kang Ro Bin, lelaki paling lembut hati dan penakut di bandar tersebut yang tiba-tiba memperoleh kuasa “super strength” sehingga mampu mengangkat kereta polis dengan mudah.

Drama ini turut dibarisi Kim Hae Sook dan Son Hyun Joo yang bakal menambah lagi warna dalam jalan cerita drama ini menerusi karakter unik masing-masing.
Bandar Dalam Kekacauan, Hero Pun Kelam-Kabut
“The WONDERfools” dijadualkan mula ditayangkan pada 15 Mei di Netflix.



