Drama Fantasi Perundangan Popular Kini Boleh Distrim Secara Percuma
Platform penstriman hiburan Asia global, Rakuten Viki, mengumumkan pada 24 April bahawa drama popular “Phantom Lawyer” kini boleh distrim secara percuma dengan iklan di seluruh Asia Tenggara.
Menjelang episod akhir pada 2 Mei, episod 1 hingga 14 “Phantom Lawyer” sudah tersedia menerusi tawaran AVOD (advertising-based video-on-demand) di Viki. Bermula 2 Mei, kesemua 16 episod akan dibuka sepenuhnya untuk tontonan percuma tanpa perlu langganan.
Keputusan itu dibuat selepas drama fantasi perundangan tersebut mencatat prestasi memberangsangkan di Asia Tenggara. “Phantom Lawyer” berjaya menduduki tangga No.1 carta tontonan serantau pada minggu pertama tayangan dan kekal dalam kelompok Top 3 selama enam minggu berturut-turut — termasuk lima minggu berturut-turut di tangga pertama di Philippines, Malaysia dan Singapore.

Drama ini juga menerima rating penonton 9.6/10, sekali gus membuktikan popularitinya yang terus kukuh di rantau ini.
“Apa yang membuatkan ‘Phantom Lawyer’ begitu dekat dengan penonton ialah gabungan kes-kes menarik bersama emosi yang lebih mendalam,” kata Karen Paek. “Semakin lama penonton mengikuti siri ini, semakin terasa makna di sebalik keseimbangan itu. Dengan membuka akses penuh secara percuma, lebih ramai penonton dapat menikmati keseluruhan perjalanan cerita dari awal hingga akhir.”
Dibintangi Yoo Yeon Seok dan Esom, “Phantom Lawyer” mengisahkan Shin Yi Rang, seorang peguam pemalu yang tiba-tiba memperoleh kebolehan melihat dan berkomunikasi dengan roh selepas berpindah ke pejabat lama milik seorang bomoh.
Ketika mengendalikan kes-kes berkait dendam yang belum selesai, Yi Rang perlu berdepan cabaran perundangan, gangguan supernatural dan perubahan besar dalam dirinya sendiri.
Drama ini turut mendapat perhatian kerana lakonan versatile Yoo Yeon Seok dalam membawakan perkembangan watak Yi Rang — daripada sisi komedi hinggalah emosi yang lebih mendalam. Gabungan elemen tersebut membuatkan siri ini tampil berbeza berbanding drama perundangan lain kebelakangan ini, terutama buat penonton yang sukakan jalan cerita lebih berlapis.
“Saya teruja untuk penonton melihat bagaimana setiap kes diselesaikan. Ada rasa puas bila melihat roh-roh akhirnya menemui ketenangan, dan bagaimana Yi Rang sendiri berubah melalui pengalaman itu,” kata Yoo Yeon Seok. “Ini bukan sekadar kisah hantu atau perbicaraan di mahkamah. Mungkin penonton datang kerana komedinya, tetapi mereka akan kekal kerana mesej emosi tentang hidup dan kematian.”
Dengan membuka akses penuh secara percuma, Rakuten Viki berharap lebih ramai penonton baharu dapat mengikuti drama ini, selain memberi peluang kepada peminat sedia ada untuk menonton semula keseluruhan siri.
“Phantom Lawyer” kini boleh distrim secara percuma menerusi aplikasi dan laman web Rakuten Viki untuk penonton di Malaysia, Indonesia, Philippines, Singapore dan Thailand.


