“Circus of Life” Angkat Kisah Kasih Ibu Dalam Filem Tempatan Yang Menyentuh Hati

Sebuah filem tempatan yang menyentuh hati, Circus of Life, secara rasmi mengumumkan tarikh tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Mei 2026, bersempena musim Hari Ibu.

Diarahkan oleh pengarah tempatan Tham Wai Fook, filem ini mengangkat kisah penuh emosi tentang impian, kasih seorang ibu dan pengorbanan dalam keluarga — tema yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.


Kasih Ibu Yang Tidak Pernah Putus

Circus of Life mengisahkan Wei, seorang lelaki yang sejak kecil bercita-cita membina sebuah sarkas haiwan. Namun, tekanan hidup serta kegagalan demi kegagalan menyebabkan dirinya semakin hilang arah, malah percaya bahawa dirinya pernah diculik oleh makhluk asing.

Dalam keadaan yang semakin tidak stabil, hanya dua insan yang kekal di sisinya — teman wanita yang setia, dan seorang ibu yang tidak pernah berhenti berharap.

Walaupun anaknya semakin jauh daripada realiti, ibunya tetap berusaha mencari jalan untuk “membawanya pulang”.

Filem ini menggambarkan dengan halus bahawa semakin sukar perjalanan seorang anak, semakin besar kasih seorang ibu.

Ia juga menjadi penghargaan kepada semua wanita — khususnya para ibu — yang sentiasa berkorban, memendam perasaan, dan terus memberi tanpa mengharapkan balasan.

Sebelum ini, filem ini dikenali dengan judul asal Ibu, Ibu, Ibu, yang jelas mencerminkan tema kasih sayang seorang ibu sebagai nadi utama penceritaan.

Melalui perjalanan emosi yang dipaparkan, Circus of Life bukan sekadar kisah tentang impian, tetapi juga refleksi tentang peranan wanita dalam keluarga — sebagai ibu, pasangan, dan tonggak emosi.


Gambaran Harmoni Masyarakat Majmuk Malaysia

Selain tema kekeluargaan, filem ini turut menampilkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Kehidupan Wei di kawasan perumahan pelbagai bangsa memperlihatkan situasi harian yang dekat dengan masyarakat — daripada sapaan “selamat pagi” di koridor, hinggalah seorang gadis Melayu yang fasih berbahasa Cina membantu keluarganya.

Melalui sentuhan ini, pengarah ingin menunjukkan bahawa walaupun berbeza latar belakang, bahasa dan budaya, kita sebenarnya hidup dalam ruang yang sama — saling memahami dan membantu.

Ia menjadi gambaran tulen keharmonian masyarakat Malaysia yang jarang dipaparkan secara jujur di layar perak.


Kisah Dekat Dengan Kehidupan

Menurut Tham Wai Fook, filem ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya sendiri, menjadikannya sebuah karya yang realistik dan dekat dengan kehidupan.

Dengan gaya penceritaan yang sederhana tetapi menyentuh, Circus of Life diharapkan dapat membuat penonton melihat refleksi diri — sama ada sebagai seorang anak, ibu, atau individu yang pernah mengejar impian.

Jom tonton trailer filem yang menyentuh hari di bawah ini:


Tayangan 7 Mei Ini

Circus of Life akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Mei 2026.

Sebuah filem yang bukan sahaja menyentuh perasaan, tetapi juga mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang, pengorbanan, dan hubungan sesama manusia.

Filem ini diarahkan dan ditulis oleh Tham Wai Fook, serta menampilkan barisan pelakon bukan profesional termasuk Tom Phan, Faye An Ying Fei, Lai Thiam Tai dan Khok Eng Loy.

Ia diterbitkan oleh Hour Hand Pictures, diedarkan oleh Mega Films Distribution, dan mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).