Park Seo Joon, Um Tae Goo dan Jo Hye Joo disahkan bakal membintangi drama terbaharu Disney+ berjudul Born Guilty, sebuah siri crime noir yang menjanjikan kisah penuh intens, gelap dan sarat konflik.
Berdasarkan webtoon popular dengan judul sama, Born Guilty berlatarbelakangkan Korea pada era 1980-an, di sebuah kawasan Seoul yang sedang pesat membangun dalam suasana hampir tanpa undang-undang. Dalam dunia yang dikuasai jenayah dan perebutan kuasa, kisah ini menyorot kehidupan individu-individu yang sanggup mempertaruhkan segalanya demi mengubah nasib mereka.
Drama ini mengikuti Paengi, seorang penjahat berkarisma tetapi kejam yang dikenali sebagai figura misteri yang muncul ketika ledakan pembangunan semula menjelang Sukan Olimpik Seoul 1988. Dibesarkan dalam persekitaran jenayah selepas ditinggalkan sejak kecil, Paengi bergantung kepada kecerdikan serta keazaman tanpa belas kasihan untuk menyingkirkan musuhnya dan membina pengaruh dalam dunia gelap.
Apabila dia menemui peluang untuk memperluaskan kuasanya melalui perniagaan dadah, Paengi bekerjasama dengan Saengdak, seorang ahli gangster dari North Gang yang hidupnya berubah sepenuhnya selepas mengkhianati organisasinya demi tawaran sekali seumur hidup. Bersama, mereka terjun ke dalam satu perjudian berisiko tinggi yang boleh mengangkat atau menghancurkan kehidupan mereka.
Dalam masa yang sama, Bok Hee — pembekal utama dalam jaringan dadah dan juga cinta pertama Paengi — kembali dalam hidupnya. Kehadirannya bukan sahaja menghidupkan semula hubungan lama, malah mencetuskan keputusan dan tindakan yang tidak dijangka, sekali gus mengubah arah perjalanan mereka ke dalam kekacauan yang lebih besar.
Park Seo Joon membawakan watak Paengi, seorang penjahat ikonik yang melambangkan keinginan dan sisi gelap era tersebut.

Um Tae Goo pula memainkan peranan sebagai Saengdak, karakter yang didorong oleh naluri survival dalam dunia penuh risiko.

Jo Hye Joo melengkapkan trio utama sebagai Bok Hee, watak penting yang menjadi pemangkin konflik dan emosi dalam cerita.

Drama ini diarahkan dan ditulis oleh Hong Won Chan, yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti Deliver Us from Evil dan 12:12 The Day. Born Guilty turut diterbitkan oleh New Point dan Plusmedia Entertainment.
Dalam sesi pembacaan skrip, para pelakon dilihat pantas menghayati watak masing-masing, mempamerkan keserasian serta tenaga lakonan yang kuat sejak awal.
Park Seo Joon berkongsi, “Ini adalah watak dan cerita yang sudah lama saya nantikan. Saya rasa dapat menunjukkan sisi baharu diri saya melalui watak Paengi.”
Um Tae Goo pula berkata, “Skripnya sangat menarik dengan pelbagai karakter. Saya berasa gementar dan teruja, tetapi akan lakukan yang terbaik.”
Jo Hye Joo menambah, “Saya tertarik dengan latar sejarah dan motivasi unik setiap watak. Ia projek yang sangat memikat sejak pertama kali membaca skrip.”
Born Guilty merupakan antara kandungan Korea terbaharu yang akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+, bersama barisan judul lain seperti Made In Korea, The Worst of Evil dan Low Life, serta sambungan musim baharu bagi siri popular seperti A Shop For Killers dan Made In Korea.
Selain itu, Disney+ juga bakal menampilkan beberapa drama baharu lain termasuk Perfect Crown lakonan IU dan Byeon Woo Seok, Portraits of Delusion (tajuk sementara) dibintangi Suzy dan Kim Seon Ho, serta The Remarried Empress yang menampilkan Shin Min Ah, Ju Ji Hoon, Lee Jong Suk dan Lee Se Young.
Dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2027, Born Guilty dijangka menjadi antara naskhah yang dinanti-nantikan, terutamanya dalam kalangan peminat drama jenayah yang sarat aksi dan penuh debaran.

