Siap sedia semua, sekuel Yumi’s Cell yang ke-3 akan kembali menemui anda.
Pada 4 Mac, sebuah laporan media mendedahkan bahawa Musim 3 drama komedi romantik popular “Yumi’s Cells” akan mula ditayangkan pada 13 April menerusi TVING sebelum disiarkan sebagai drama Isnin-Selasa di tvN.
Menjawab laporan tersebut, wakil tvN mengesahkan, “‘Yumi’s Cells 3’ akan dilancarkan terlebih dahulu di TVING pada petang 13 April sebelum bersiaran di tvN.”
Diadaptasi daripada webtoon hit dengan judul sama, “Yumi’s Cells” mengisahkan kehidupan pekerja pejabat biasa bernama Yumi (Kim Go Eun), yang diceritakan dari sudut pandang sel-sel otak dalam kepalanya yang mengawal setiap pemikiran, perasaan dan tindakannya. Selepas kejayaan Musim 1, Musim 2 turut mencatat rating tontonan tinggi serta menerima sokongan meluas daripada peminat di seluruh dunia.
Musim 3 menyambung bab baharu dalam kehidupan Yumi apabila dia berkembang daripada pekerja pejabat biasa menjadi seorang penulis terkenal hasil usaha dan kerja kerasnya. Walaupun berjaya mencipta nama sebagai novelis romantik yang memikat hati pembaca, soal cinta masih kekal sebagai cabaran paling sukar buat Yumi. Perkampungan selnya yang dahulunya meriah kini berada dalam suasana tenang tanpa banyak keterujaan — sehinggalah kemunculan Soon Rok yang menghidupkan kembali percikan tidak dijangka dalam hidupnya.

Kim Jae Won membawakan watak Soon Rok, karakter baharu yang menggoncang kembali perkampungan sel Yumi yang sekian lama “tertidur”. Soon Rok ialah seorang PD (penerbit) baharu di bahagian editorial Julie Publishing, dikenali dengan wajah lembut namun berperwatakan jujur dan terus terang. Walaupun kelihatan dingin dan seolah-olah hanya dipandu oleh “sel rasional”, dia sebenarnya memiliki daya tarikan tersendiri yang tidak disangka. Selesa dengan kehidupan yang tenang dan rutin, Soon Rok mula berdepan situasi di luar jangkaan apabila bekerja bersama Yumi, yang “sel emosinya” sentiasa berada pada tahap maksimum.

“Yumi’s Cells 3” bakal ditayangkan sebagai drama susulan kepada “Siren’s Kiss” yang dibintangi Park Min Young, Wi Ha Joon dan Kim Jung Hyun. Nantikan kemunculannya!
