Annyeong, chinguyaa~
Bulan Februari dah tiba, dan dengan bulan baru datanglah drama Korea terbaru yang pastinya buat hati berdebar-debar! Dari kisah cinta manis, komedi romantik yang menghiburkan, hingga thriller penuh ketegangan dan misteri, bulan ini menjanjikan pelbagai genre yang sesuai untuk semua citarasa.
Dengan barisan pelakon berbakat dan jalan cerita yang kuat, drama-drama bulan ini bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh emosi penonton — dari tawa ringan hingga konflik yang buat kita termenung.
Jom check it out senarai 7 drama Korea terbaru yang bakal bersiaran sepanjang bulan Februari 2026.
1. Honour

- Tarikh Tayangan: 2 Februari 2026
- Penyiar: ENA | Genie TV
- Penyiar: K-Plus TV Asia Astro Ch 396 & Astro Go, Setiap Isnin & Selasa, 10.30PM MYT
- Barisan Pelakon: Lee Na Young, Jung Eun Chae, Lee Chung Ah
“Even if we break, we won’t fall apart.”
Honour ialah drama perundangan yang mengisahkan tiga sahabat lama — Ra-yeong (Lee Na-young), Shin-jae (Jung Eun-chae) dan Hyeon-jin (Lee Chung-ah) — yang telah berkawan sejak 20 tahun lalu. Kini bergelar peguam di firma guaman L&J, mereka berdedikasi membela mangsa jenayah berasaskan jantina.
Di sebalik perjuangan menegakkan kebenaran di mahkamah, sebuah rahsia lama dari masa lalu kembali terbongkar dan menggoncang kehidupan mereka. Namun, ketiga-tiga wanita ini memilih untuk bangkit bersama, mempertahankan maruah mangsa dan kehormatan mereka sendiri.
Diadaptasi daripada siri Sweden Heder, Honour menampilkan pertarungan undang-undang yang tegang, emosi mendalam dan kekuatan persahabatan wanita yang diuji oleh masa serta kebenaran.
2. Bloody Flower

- Tarikh Tayangan: 4 Februari 2026
- Penyiar: Disney+ Korea
- Barisan Pelakon: Ryeoun, Sung Dong Il, Geum Sae Rok
Bloody Flower ialah thriller misteri Disney+ Korea yang penuh ketegangan dan konflik moral. Drama ini mengisahkan Lee Woo Gyeom (Ryeoun), seorang pembunuh bersiri yang mampu menyembuhkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan, namun keberadaannya menimbulkan dilema tentang undang-undang, keadilan, dan etika. Park Han Joon (Sung Dong Il) terpaksa membela Woo Gyeom demi anak perempuannya, manakala pendakwa istimewa Cha Yi Yeon (Geum Sae Rok) berusaha menyingkap kebenaran di sebalik kebolehan luar biasa Woo Gyeom.
Siri ini mengajak penonton memikirkan dilema moral: adakah betul memberi peluang hidup kepada seorang pembunuh jika ia boleh menyelamatkan nyawa ramai orang? Tayangan bermula 4 Februari dengan dua episod pertama, dan akan disusuli dua episod baru setiap minggu, menjanjikan pengalaman menonton yang penuh ketegangan dan immersive.
3. Our Universe

- Tarikh Tayangan: 4 Februari 2026
- Penyiar: tvN | TVING | Viki
- Barisan Pelakon: Bae In Hyuk, Roh Jeong Eui, Park Seo Ham
Our Universe ialah drama romansa komedi keluarga tentang dua ipar, Sun Tae-Hyeong (Bae In-Hyuk) dan Woo Hyun-Jin (Roh Jeong-Eui), yang terpaksa tinggal serumah selepas satu tragedi menjadikan mereka penjaga tunggal kepada anak saudara mereka yang berusia 20 bulan, Woo-Ju — yang bermaksud “Universe”. Dalam proses itu, mereka perlahan-lahan belajar tentang kehidupan, tanggungjawab, dan cinta, sambil menyesuaikan diri sebagai penjaga dan rakan serumah.
Selepas pemergian mengejutkan abang dan kakak mereka — dua ahli keluarga mertua yang tidak pernah benar-benar serasi — mereka terpaksa berganding bahu dalam menjaga Woo-Ju. Keserasian Bae In-Hyuk dan Roh Jeong-Eui mencuri perhatian, ditambah Park Seo-Ham sebagai pencabar yang menawan. Menyaksikan dua orang dewasa yang sering bertelagah menempuh cabaran keibubapaan sambil perlahan-lahan jatuh cinta menjanjikan detik yang menyentuh hati dan mengundang tawa.
4. The Art of Sarah

- Tarikh Tayangan: 13 Februari 2026
- Penyiar: Netflix
- Barisan Pelakon: Shin Hye Sun, Lee Joon Hyuk
Drama thriller psikologi dan misteri Netflix The Art of Sarah menyatukan semula Shin Hye-Sun dan Lee Joon-Hyuk, mengisahkan Sarah Kim, seorang wanita yang hidupnya dibina seperti karya seni penuh tipu daya. Kehidupan Sarah mula goyah apabila dia menjadi saksi utama — dan suspek rahsia — dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, sementara Detective Park Mu-Gyeong (Lee Joon-Hyuk) berusaha menyingkap kebenaran, mewujudkan permainan kejar-mengejar yang penuh ketegangan antara pemburu dan mangsa.
Poster rasmi segera mencuri perhatian dengan visual gelap dan simbolik: jasad seorang wanita ditutup beg dengan kesan darah jelas, di sisi mayat, Park Mu-Gyeong duduk tenang, manakala siluet Sarah Kim kabur di latar belakang. Gabungan elemen ini menegaskan tema utama drama — sempadan antara identiti palsu dan realiti, misteri di sebalik siapa sebenarnya Sarah Kim, serta permainan psikologi penuh teka-teki. Dengan pengarah Extracurricular mengetuai projek ini, penonton dijanjikan penceritaan gelap, bergaya, dan penuh ketegangan dari awal hingga akhir.
5. In Your Radiant Season

- Tarikh Tayangan: 20 Februari 2026
- Penyiar: MBC | Disney+ Malaysia
- Barisan Pelakon: Lee Sung Kyung, Chae Jong Hyeop
In Your Radiant Season membawa penonton melalui perjalanan romantik yang memikat. Chae Jong-Hyeop memegang watak Sun Woo-Chan, seorang animator di studio animasi global yang ceria namun menyimpan rahsia kehilangan ingatan akibat kemalangan lampau. Kehidupannya bertemu semula dengan Song Ha-Ran (Lee Sung-Kyung), seorang wanita dari masa lalunya yang dahulunya penuh semangat tetapi kini menjadi profesional dingin, mahir dalam kerjanya tetapi menutup diri sepenuhnya daripada orang lain. Chan bertekad membantu Haran, mendekati hatinya sedikit demi sedikit sambil mereka melalui proses penyembuhan emosi yang unik.
Ditulis oleh Jo Sung-Hee, pencipta di sebalik Still 17 dan She Was Pretty, drama ini menjanjikan kisah penuh pesona, emosi mendalam, dan sinematografi menawan. Keserasian Lee Sung-Kyung dan Chae Jong-Hyeop membuatkan siri ini pilihan sempurna untuk tontonan hujung minggu.
6. Pearl In Red

- Tarikh Tayangan: 23 Februari 2026
- Penyiar: KBS
- Barisan Pelakon: Park Jin Hee, Nam Sang Ji
Pearl in Red (drama harian) ini mengikuti kisah dua wanita yang kehilangan keluarga masing-masing dan kembali dengan identiti palsu untuk menuntut dendam terhadap Kumpulan Adele. Park Jin Hee membawa watak kembar Kim Myung Hee / Kim Dan Hee, yang hidupnya berubah selepas kehilangan kakaknya, manakala Nam Sang Ji memegang watak Baek Jin Joo / Chloe Lee, seorang pelajar universiti yang polos sebelum tragedi mendorongnya menjadi individu yang bertekad membalas dendam.
Drama ini menonjolkan ketegangan psikologi, strategi dendam, dan dinamika kompleks antara watak utama, termasuk interaksi antara sekutu dan musuh yang tidak mengetahui identiti sebenar masing-masing. Dengan poster simbolik dan stills yang dramatik, penonton dapat menantikan perjalanan penuh intrik, rahsia keluarga, dan konflik emosi yang mendalam.
7. The Practical Guide to Love

- Tarikh Tayangan: 28 Februari 2026
- Penyiar: MBC | HBO Max Malaysia
- Barisan Pelakon: Han Ji Min, Park Sung Hoon, Lee Ki Taek
The Practical Guide to Love ialah drama komedi romantik yang dekat dengan kehidupan sebenar, diadaptasi daripada webtoon popular Efficient Dating for Singles. Drama ini mengisahkan Lee Ui-Young (Han Ji-Min), seorang wanita yang fokus pada kerjaya tetapi memutuskan untuk cuba mencari cinta melalui temu janji buta. Dalam perjalanan itu, dia terperangkap dalam segitiga cinta dengan dua lelaki yang sangat berbeza — Song Tae-Seop (Park Sung-Hoon), seorang tukang kayu yang hangat dan mementingkan keluarga, dan Shin Ji-Su (Lee Ki-Taek), lelaki bebas dan penuh misteri.
Drama ini menampilkan kisah cinta yang moden dan realistik, dengan konflik, jenaka, dan romansa yang mudah difahami, sesuai untuk sesiapa yang pernah cuba mencari pasangan melalui aplikasi dating atau janji temu terancang.

Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!

