Persahabatan Kim Go Eun & Park Ji Hyun Diuji Dengan Pelbagai Liku Sepanjang Empat Dekad Dalam “You And Everything Else”

Drama terbaharu “You and Everything Else” telah mendedahkan imej karakter baharu yang menjejaki perjalanan hidup watak lakonan Kim Go Eun dan Park Ji Hyun merentasi dekad demi dekad.

“You and Everything Else” mengisahkan dua sahabat sepanjang hayat, Eun Jung (Kim Go Eun) dan Sang Yeon (Park Ji Hyun), yang hubungan mereka dipenuhi dengan kasih sayang, kekaguman, rasa cemburu, malah dendam tersembunyi. Ikatan mereka begitu erat, tetapi penuh turun naik emosi.

Ada persahabatan yang terasa seolah-olah akan kekal selamanya. Namun, apa yang terjadi apabila kasih sayang itu berubah menjadi perbandingan, dan keakraban bertukar menjadi persaingan? Drama ini menyingkap persahabatan yang indah tetapi juga menyakitkan, membuat penonton merenung makna hubungan sebenar

Foto baharu yang dikeluarkan merakamkan Eun Jung dan Sang Yeon di setiap peringkat usia — bermula daripada pertemuan pertama mereka ketika remaja, beralih ke usia 20-an dan 30-an, hinggalah ke usia 40-an.

Remaja – “Pertemuan pertama yang polos”


Semasa zaman persekolahan, Eun Jung muda (Kim Bo Min, yang kini menggunakan nama pentas baharu Do Yeong Seo) digambarkan sebagai ceria, peramah dan disenangi rakan sekelas. Sang Yeon (Park Seo Kyung) pula lebih pendiam serta sukar menyesuaikan diri. Perbezaan latar belakang keluarga menambahkan lagi kontras hubungan mereka — Eun Jung datang daripada keluarga sederhana, manakala Sang Yeon dibesarkan dalam kemewahan. Dari situ lahirlah campuran halus antara kekaguman, rasa iri, dan emosi terpendam yang mencorakkan permulaan persahabatan mereka.

Usia 20-an – “Pertemuan semula secara kebetulan”


Di universiti, mereka bertemu kembali secara tidak disengajakan dalam sebuah kelab kampus. Senyuman hangat yang terpancar dalam imej baharu memberikan gambaran hubungan mereka kembali mesra, sekali gus menimbulkan rasa ingin tahu penonton tentang perjalanan seterusnya. Eun Jung mula tertarik dengan sisi baharu Sang Yeon yang kelihatan berbeza, sedangkan Sang Yeon berlagak seolah-olah tiada apa yang berubah — menimbulkan tanda tanya mengenai arah persahabatan mereka.

Usia 30-an – “Pertemuan semula yang tidak menyenangkan”

Berbeza dengan suasana ceria sebelumnya, babak usia 30-an memperlihatkan ketegangan dengan nuansa gelap, seolah-olah sesuatu yang tidak menyenangkan berlaku antara mereka. Eun Jung kelihatan terganggu dengan sikap Sang Yeon yang masih penuh misteri. Pertembungan mereka menimbulkan persoalan: apakah insiden yang mencalar persahabatan ini, dan apakah titik perubahan yang bakal menanti?

Usia 40-an – “Permintaan yang sukar difahami”


Selepas sekian lama terpisah, Sang Yeon kembali mendekati Eun Jung dengan satu permintaan mengejutkan — menemaninya ke Switzerland untuk prosedur kematian berbantu, setelah disahkan menghidap kanser tahap akhir. Eun Jung dihimpit dilema, keliru dengan permintaan sahabatnya itu, sekali gus membuat penonton tertanya-tanya keputusan apakah yang bakal diambilnya dan bagaimana pengakhiran kisah persahabatan mereka.

Menariknya, Netflix turut mendedahkan poster teaser terbaharu dengan tagline “Caught between admiration and resentment” yang mencetuskan rasa ingin tahu tentang hubungan Eun Jung dan Sang Yeon. Dalam poster itu, Eun Joong (Kim Go Eun) dan Sang Yeon (Park Ji Hyun) saling berpandangan dengan ekspresi penuh makna, sekali gus mencuri perhatian.

Wajah mereka menggambarkan hubungan emosi yang rumit antara dua sahabat ini dan membuatkan penonton tertanya-tanya tentang kisah seterusnya dalam hidup mereka yang begitu banyak terikat. Poster itu juga memaparkan imej Eun Joong (Do Young Seo) dan Sang Yeon (Park Seo Kyung) ketika kali pertama bertemu semasa remaja, menambah rasa ingin tahu tentang ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak mereka berusia 11 tahun.

“You and Everything Else” dijadualkan tayangan perdana pada 12 September. Drama ini menjanjikan kisah persahabatan yang penuh emosi, ujian, dan rahsia yang bakal membuat penonton tertanya-tanya hingga ke penghujung.”

Sumber : 1