Lebih Dekat Dengan Moon Ga-young & Lee Jong Suk – Perkongsian Eksklusif di Sidang Media Law and the City!

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2025 – Selepas red carpet yang meriah di Pavilion Kuala Lumpur sehari sebelumnya, dua bintang Korea Selatan terkenal, Moon Ga-young dan Lee Jong Suk, sekali lagi mencuri perhatian apabila hadir ke sidang media eksklusif Law and the City yang berlangsung di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Acara yang berlangsung secara tertutup bersama wakil media Malaysia ini dikendalikan oleh personaliti popular, Munaa Bella, yang berjaya menceriakan suasana dengan gaya mesra dan penuh profesional.

Dalam sesi pengenalan, Lee Jong Suk memperkenalkan dirinya sebagai Ahn Jo-hyun, manakala Moon Ga-young memperkenalkan dirinya sebagai Kang Hee-ji, iaitu watak utama yang mereka bawakan dalam drama Law and the City.

Apabila ditanya mengenai pengalaman mereka di red carpet pada 10 Ogos, kedua-dua pelakon tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dengan sambutan peminat Malaysia. Moon Ga-young berkata “Saya sangat terharu kerana ramai yang datang dan sanggup menunggu begitu lama untuk kami. Itu adalah memori yang saya tidak akan lupakan.”

Lee Jong Suk pula menambah dengan senyuman “Kehangatan daripada semua orang sungguh luar biasa. Saya benar-benar merasai tenaga peminat di Malaysia.” Beliau turut mendedahkan bahawa ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia, dan pengalaman tersebut sangat istimewa buat dirinya. “Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan sambutannya benar-benar hebat. Momen ini begitu berharga, dan saya akan mengingatinya sepanjang hidup saya,” ujarnya penuh terharu.

Ketika bercakap tentang drama itu sendiri, Moon Ga-young menjelaskan bahawa dia benar-benar memberikan usaha terbaik dalam menjayakan wataknya, malah memberi kredit kepada Lee Jong Suk sebagai inspirasi. “Saya cuba buat yang terbaik dalam drama ini kerana Lee Jong Suk banyak memberinya semangat. Skrip drama ini juga sangat bagus, dan para pelakon lain banyak membantu saya di set,” jelasnya.

Lee Jong Suk pula menekankan bahawa dia melakukan yang terbaik kerana mahu memberi kepuasan kepada peminat yang menonton. “Saya memang berikan sepenuh usaha dalam drama ini, kerana saya mahu peminat merasakan karya ini dengan sepenuh hati,” katanya dengan penuh yakin.

Moon Ga-young turut menceritakan bagaimana dia berusaha keras untuk watak Kang Hee-ji. “Saya sebenarnya tidak mempunyai banyak hobi, tetapi untuk watak Kang Hee-ji saya banyak berlatih dan berusaha menjiwainya,” katanya.

Lee Jong Suk menambah bahawa fokus utamanya adalah pada keserasian dengan rakan pelakon lain.
“Bagi saya, kunci utama adalah chemistry. Saya banyak memberi perhatian pada keserasian bersama pelakon lain, supaya lakonan kami terasa lebih hidup,” jelasnya.

Sidang media menjadi lebih meriah apabila kedua-dua pelakon diberikan sebiji kek istimewa yang dihiasi dengan gambar mereka berdua. Moon Ga-young kelihatan teruja sambil tersenyum lebar, manakala Lee Jong Suk tidak berhenti mengucapkan terima kasih atas kejutan tersebut. Detik manis itu mendapat tepukan hangat daripada para hadirin dan menambahkan lagi suasana mesra.

Dalam suasana santai, Moon Ga-young turut berkongsi tentang kehidupannya di luar set. Beliau berkata salah satu cara untuk menenangkan diri ketika bekerja adalah dengan mendengar muzik. “Saya suka mendengar muzik ketika bekerja, dan kebelakangan ini saya sangat menikmati lagu-lagu daripada album terbaru Justin Bieber,” dedahnya sambil tersenyum.

Sidang media yang berlangsung kira-kira sejam itu memberi ruang kepada wakil media untuk mengajukan pelbagai soalan, daripada cabaran lakonan, skrip, hingga ke sisi peribadi mereka. Walaupun acara ini diadakan secara tertutup, kemeriahan tetap terasa dengan kehadiran media hiburan tempatan yang tidak melepaskan peluang mendapatkan gambar eksklusif serta momen istimewa bersama dua bintang K-drama ini.

Kehadiran Moon Ga-young dan Lee Jong Suk membuktikan sekali lagi betapa kuatnya pengaruh Hallyu di Malaysia, menjadikan sidang media ini sebagai salah satu detik paling berharga untuk industri hiburan tempatan.

Terima kasih kepada pihak tvN Asia dan Astro yang telah merealisasikan impian peminat Moon Ga-young dan Lee Jong Suk di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama Ga-young dan Lee Jong Suk.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video Ga-young dan Lee Jong Suk di Pavillion Kuala Lumpur dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.