Kuala Lumpur, 27 April 2025 – Malam yang dinanti akhirnya tiba. Pada tepat jam 6 petang, ribuan peminat membanjiri ruang ZEPP Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert mega 2025 JAY B CONCERT: TAPE RELOAD. Malam penuh energi, emosi dan kehangatan bersama JAY B di TAPE: RELOAD benar-benar meninggalkan kenangan manis buat AhGaSe Malaysia. Dengan membawa lebih 30 buah lagu, JAY B membuktikan kehebatannya sebagai artis serba boleh. Menggabungkan muzik solo, unit, dan karya GOT7 yang dirindui peminat.
Dari saat pertama lampu pentas menyala, aura bintang utama GOT7 itu sudah cukup untuk membuatkan peminat menjerit tanpa henti. Nyanyian dimulakan dengan lagu “Present”, pembukaan yang sarat makna. Seolah-olah satu penghargaan kepada semua yang hadir, dan momen itu terus menyentuh hati peminat. Dengan pentas yang disinari cahaya lembut dan vokal JAY B yang penuh emosi, suasana di ZEPP Kuala Lumpur serta-merta menjadi tenang tetapi penuh harapan.
Tanpa melengahkan masa, JAY B yang tampil bergaya dengan busana biru meneruskan persembahan dengan lagu-lagu penuh tenaga dan emosi seperti “Fountain of Youth”, “B.T.W”, “FAME”, dan “Livin’”. Suasana berubah menjadi lebih intim apabila beliau menyanyikan “The Way We Are”, “If You”, dan “Chosen”, memperlihatkan sisi mendalam dan peribadinya. Persembahan diteruskan dengan “Make Me Right” dan “Take It Easy”, membawa semula suasana ceria dan santai, sekali gus memanaskan pentas sebelum konsert melangkah ke bahagian seterusnya.
Lagu diteruskan dengan penampilan berbeza daripada JAY B yang tampil serba hitam, tampak lebih matang dan karismatik, memukau peminat dengan aura berkelas. Beliau membuka segmen ini dengan lagu “Crash” yang penuh tenaga, diikuti “Switch It Up” yang membawa mood lebih sensual dan eksperimental. Persembahan semakin memikat dengan “Preview”, sebelum suasana menjadi lebih tenang dan emosional melalui lagu “°C (Temperature)” dan “Sunrise”, memperlihatkan kekuatan vokal dan penghayatan mendalam JAY B di atas pentas.
JAY B kemudian tampil dengan gaya yang sedikit seksi dan penuh keyakinan, mencuri perhatian peminat menerusi persembahan yang lebih intim dan menggoda. Beliau membuka segmen ini dengan lagu “In To You”, diikuti “AM PM”, “Right Back”, dan “Sigh” dari unit Jus2, yang semuanya membawa nuansa romantik dan sensual. Persembahan diteruskan dengan “Inside”, “Cloud Nine”, dan “Wonder”, memperlihatkan sisi eksperimental dan artistiknya, sebelum menutup segmen ini dengan penuh gaya melalui lagu “Whiskey” dan “Holyday” yang menaikkan kembali mood penonton dengan rentak yang catchy dan penuh pesona.
Dalam suasana santai dan mesra, JAY B turut meluangkan masa berinteraksi dengan peminat dengan bertanya, “Ahli GOT7 yang lain dah datang Malaysia ke belum?” Sorakan dan jawapan spontan peminat memberitahu bahawa beberapa ahli seperti Mark, Jackson, Youngjae, BamBam, dan Yugyeom sudah pun membuat kunjungan solo ke Malaysia. Hanya Jinyoung yang masih belum hadir secara solo. Mendengar respon itu, JAY B tersenyum lega dan berseloroh bahawa beliau bukanlah ahli terakhir yang menjejakkan kaki secara solo ke Malaysia, mengundang gelak tawa dan sorakan hangat dari peminat. Momen itu mencipta suasana akrab yang mengeratkan lagi hubungan antara JAY B dan AhGaSe Malaysia.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video 2025 JAY B CONCERT: TAPE RELOAD di Kuala Lumpur dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.