KUALA LUMPUR, 13 April 2025 – Mega Star Arena bergema dengan sorakan peminat apabila kumpulan KISS OF LIFE mengadakan konsert solo pertama mereka di Malaysia menerusi KISS OF LIFE 1st WORLD TOUR [KISS ROAD] in Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh TOPGALLANT SHOW.
Sejak lagu pembukaan “Get Loud” berkumandang, keempat-empat anggota iaitu Julie, Natty, Belle dan Hanuel. Mereka berempat ini betul-betul memukau penonton dengan persembahan yang begitu bertenaga, tersusun dan penuh karisma. Setiap lagu, termasuk solo istimewa seperti “Countdown”, “Kitty Cat”, “Play Love Games” dan “Sugarcoat”, dipersembahkan dengan penuh gaya dan keyakinan, menjadikan malam tersebut satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat Kissy.
KISS OF LIFE turut menyatakan rasa teruja dan kegembiraan mereka berada di Kuala Lumpur. Dalam ucapan mereka di pentas, kumpulan ini berkongsi bahawa ini merupakan kali kedua mereka menjejakkan kaki di ibu negara Malaysia, namun merupakan kali pertama mereka mengadakan konsert solo di sini. Mereka mengakui bahawa sambutan hangat daripada peminat tempatan amat menyentuh hati, memberi mereka lebih tenaga dan menegaskan bahawa “ini pastinya bukan kali terakhir kami di sini.”
Gabungan persembahan vokal mantap, tarian penuh tenaga, dan visual pentas yang memukau benar-benar mencerminkan profesionalisme serta semangat kumpulan ini dalam membawa muzik mereka ke peringkat global. Lagu-lagu seperti “No One But Us”, “Midas Touch”, dan encore “Back To Me” mendapat sorakan paling gemuruh, membuktikan pengaruh kuat KISS OF LIFE dalam kalangan peminat K-Pop tempatan.
Konsert ini bukan sahaja meraikan muzik, tetapi juga menjalin hubungan mesra antara artis dan peminat yang hadir. Kuala Lumpur jelas menjadi destinasi istimewa buat KISS OF LIFE, dan peminat pasti menantikan kunjungan mereka yang seterusnya.