Kehangatan Lee Je Hoon Curi Perhatian Peminat di Malaysia!

Pada 21 September yang lalu, bertempat di Plenary Hall, KLCC, pelakon Lee Je Hoon akhirnya membuat penampilan pertamanya di Malaysia menerusi 2024 LEE JE HOON ASIA FANMEETING “JEHOON’s Favorite”.

Dikenali menerusi wataknya sebagai Kim Do Gi dalam Taxi Driver dan Park Hae Young dalam Signal, kehadirannya yang sangat dinantikan oleh peminat di negara ini benar-benar ibarat impian yang menjadi kenyataan. Siapa sangka, dengan sambutan mesra, sokongan, dan kasih sayang yang hangat daripada peminatnya yang dikenali sebagai Hoonist, Lee Je Hoon merasa seperti berada di rumah sendiri. Malah, pelakon itu kelihatan begitu selesa dan mesra melayani peminatnya, dengan senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

Apa yang menarik dan mengejutkan peminat, Lee Je Hoon muncul dari pintu sisi dan berjalan melalui barisan tempat duduk sambil menyanyikan lagu All Day oleh penyanyi Indie, George, memberi peluang kepada peminat untuk melihatnya dari jarak yang sangat dekat. Tidak dapat dinafikan, Lee Je Hoon sememangnya tampan dan memiliki kulit yang sangat cerah. Kehadirannya yang begitu tidak dijangka mencetuskan keterujaan dan kegembiraan peminat yang tidak lepaskan peluang untuk merakamnya.

Usai menyanyi, Lee Je Hoon sempat memperkenalkan dirinya dan ambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada penonton atas sambutan yang hangat. Dalam pada itu, beliau sempat berjenaka dengan penonton dengan mengatakan kesemua mereka kelihatan begitu cantik pada malam itu sehinggakan dia sukar untuk fokus. Kenyataan ini sudah pasti disambut dengan sorakan gembira daripada Hoonist. Untuk pengetahuan, rata-rata peminat Lee Je Hoon mengenakan warna pakaian yang ditetapkan oleh kelab peminat Lee Je Hoon Malaysia iaitu warna merah jambu, merah dan coklat. Apa yang istimewanya, kelihatan seorang peminat yang mengenakan pakaian seperti watak Lee Je Hoon dalam Taxi Driver.

Pelakon itu kemudian berkongsi perkembangan peribadi, termasuk perjalanan pemulihannya dan bagaimana YouTube menjadi sumber ketenangan semasa waktu sukar. Merasa terinspirasi, dia memutuskan untuk melancarkan saluran YouTube sendiri untuk berkongsi lebih banyak tentang hidup dan pengalamannya dengan peminat, kini setelah dia kembali sihat. Dia juga menunjukkan gambar di sebalik tabir, termasuk kemas kini tentang projek terbarunya seperti filem yang sangat ditunggu-tunggu, Escape.

Tidak sah rasanya jika setiap selebriti yang berkunjung ke Malaysia tidak mempelajari beberapa perkataan dalam bahasa tempatan. Dapatkah anda membayangkan pelakon tampan Lee Je Hoon melontarkan perkataan seperti “Saya cinta kamu,” “Sayang,” dan “Comel” dengan ekspresi yang begitu seksi dan comel melampau? Ya, itulah yang dilakukannya pada malam tersebut, dan aksinya disambut dengan sorakan gemuruh daripada penonton. Dia juga sempat menyatakan bahawa penonton sangat comel, dan tidak ketinggalan mengucapkan kepada peminat bahawa dia sangat menyayangi mereka. Lee Je Hoon dilihat bijak mengendalikan sesi komunikasi bersama peminat, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara mereka.

Antara segmen menarik pada malam itu adalah apabila Lee Je Hoon memilih nota-nota yang dilekatkan oleh peminat, dan mereka yang bertuah akan menerima buah epal kegemarannya yang telah ditandatangani. Sepanjang segmen itu, Lee Je Hoon juga sempat menyahut cabaran untuk menarikan tarian viral Tanghulu dan Kek Tiramisu, walaupun dia kelihatan sedikit malu pada awalnya. Pergerakannya dipimpin oleh peminat yang turut bersemangat. Secara keseluruhannya, Lee Je Hoon pandai mengambil hati dan menggembirakan peminat dengan melayan semua permintaan mereka dengan senyuman, memperlihatkan sisi cerianya.

Dalam segmen berikutnya, Lee Je Hoon kembali menghiburkan penonton dengan menyampaikan lagu Love oleh Brown Eyed Soul, menjadikan suasana lebih sentimental. Yang kelakarnya, semua penonton menantikan kemunculan Lee Je Hoon dari pintu sisi sekali lagi. Namun, kali ini, Je Hoon terus muncul dari atas pentas. Vokal Lee Je Hoon yang tidak kurang hebatnya memukau penonton, membuat mereka terpesona menikmati persembahannya.

Segmen paling menarik adalah sesi soal jawab bersama penonton, di mana kebanyakan soalan berkaitan dengan Lee Je Hoon. Peminat yang berjaya menjawab semua soalan dengan betul dijemput naik ke pentas untuk merakamkan detik indah bersama Lee Je Hoon, dengan peluang mengambil gambar dan berinteraksi secara peribadi. Kerendahan hati dan kesediaan Lee Je Hoon untuk memenuhi setiap permintaan peminat menunjukkan betapa ikhlasnya beliau serta betapa beliau menghargai para peminatnya.

Sebelum acara berakhir, Lee Je Hoon sempat berkongsi perkembangan menarik mengenai projek drama terbarunya. Beliau bukan sahaja sedang menyiapkan Signal 2, tetapi turut mengajak peminat untuk terus menantikan perkembangan Taxi Driver 3. Perkongsian ini disambut dengan kegembiraan oleh peminat yang sememangnya menantikan kesinambungan kedua-dua drama tersebut.

Pertemuan peminat bersama Lee Je Hoon berakhir dengan setiap peminat yang hadir berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal secara peribadi, menjadikan malam itu sangat nostalgia bagi kedua-dua pihak. Rasanya belum cukup puas bagi penonton untuk menghabiskan masa dengan Lee Je Hoon. Masa seakan berlalu terlalu pantas, tambahan pula dengan interaksi yang sangat baik ditunjukkan oleh pelakon itu, membuatkan penonton begitu menikmati setiap saat bersamanya.

2024 LEE JE HOON ASIA FANMEETING “JEHOON’s Favorite” di Malaysia meninggalkan penonton dengan gelak tawa, suasana ceria dan mesra, serta momen yang menyentuh hati, menjadikannya malam yang penuh kenangan yang tidak ternilai. Rata-rata sangat menghargai kesudian, keterbukaan, dan kerendahan hati Lee Je Hoon sepanjang malam itu. Ternyata, sentuhan magis Lee Je Hoon berjaya membuatkan peminat memintanya untuk kembali lagi di masa hadapan.

Terima kasih kepada Lapten Agency yang telah merealisasikan impian peminat Lee Je Hoon di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama pelakon yang berbakat ini.

Selain itu, Lee Je Hoon turut berkongsi gambar sepanjang pertemuan dengan peminatnya di Malaysia melalui akaun Instagramnya, menggunakan kapsyen sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Postingan tersebut disambut dengan gembira dan mendapat perhatian ramai peminatnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by 이제훈 (@leejehoon_official)

Jangan lupa untuk mengikuti dan menyukai KMania di FacebookTwitterInstagramTikTok dan Youtube untuk melihat kenangan istimewa yang kami kongsikan serta mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.

loading...