HYBE sahkan agensi itu mempertimbangkan untuk ambil alih saham SM Entertainment

HYBE sedang mempertimbangkan pengambilalihan kepentingan (saham) dalam SM Entertainment. Dan Bang Si Hyuk juga didedahkan akan berusaha menjadi pemegang saham utama.

Pada 9 Februari, HYBE mengesahkan laporan syarikat itu sedang mencari untuk membeli saham SM Entertainment, dengan menyatakan, “Kami sedang mengkaji secara berterusan perkara yang berkaitan dengan pembelian saham SM Entertainment dipasaran terbuka serta mengambil alih saham. Sehingga kini, tiada apa yang telah disahkan.” HYBE seterusnya menyatakan mereka akan mengeluarkan pengumuman berkaitan situasi itu dalam tempoh sebulan.

Berita mengenai kemungkinan pengambilalihan saham SM Entertainment oleh HYBE timbul selepas Kakao Entertainment didedahkan telah membeli sebahagian besar agensi terbabit.

Lee Soo Man, kini pemegang saham terbesar SM Entertainment, dengan 18.46% saham, boleh kehilangan pengaruh selepas Kakao membeli 9.05 peratus syarikat itu. Kakao mengumumkan pada Selasa (7 Februari) bahawa ia membeli 9.05% saham daripada SM Entertainment untuk 217.2 bilion won ($172.8 juta). Ini menjadikan Kakao menjadi pemegang saham kedua terbesar di SM dan menandatangani kontrak perniagaan tiga hala antara Kakao, Kakao Entertainment dan SM.

Urus niaga akan selesai pada 6 Mac.

Pegangan Lee Soo Man selepas Kakao memperoleh pegangan itu tidak didedahkan. Pada hari yang sama pengumuman pembelian saham oleh Kakao, Lee Soo Man memfailkan injunksi untuk menghentikan transaksi itu, menurut peguamnya di Yoon & Yang LLC kerana melanggar undang-undang perniagaan.

Di tengah-tengah pertikaian itu, HYBE, rumah kepada idol K-pop global seperti BTS, Seventeen, Tomorrow X Together, Enhypen, NewJeans dan Le Sserafim, mungkin terlibat. Jika HYBE membeli saham Lee, syarikat itu akan menggantikan Lee untuk menjadi pemegang saham terbesar SM Entertainment.

Sumber : 1 | 2 | 3

loading...