Kim Kang Yeol, peserta rancangan realiti tv kontroversi Heart Signal musim ketiga, mengaku bahawa dia pernah membelasah seorang wanita pada suatu ketika dulu sehingga menyebabkan dia dikenakan denda sebanyak 2 juta won (~RM7072).
Pengakuannya itu dibuat berikutan laporan Hankookilbo sebelum ini yang mengambil keterangan daripada seorang wanita dikenali sebagai Cik A, mendakwa Kim Kang Yeol pernah membelasahnya sehingga memerlukan tiga minggu untuk sembuh sepenuhnya.
Kim Kang Yeol memohon maaf sambil menjelaskan bahawa dia cuba melindungi teman wanitanya sehingga mencederakan perempuan tersebut. “Ketika itu, kumpulan saya dan kumpulannya tengah bergaduh. Dan saya cuba meleraikannya. Disebabkan keinginan untuk melindungi teman wanita, saya telah lakukan kekerasan terhadapnya. Saya begitu menyesal dan membuat permohonan maaf kepadanya tetapi tampaknya melarat sehingga ke mahkamah. Akhirnya, saya dikenakan denda. Peristiwa ini berlaku pada 4 tahun yang lalu,” katanya.
Kim Kang Yeol turut memberikan jaminan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang lagi. “Saya betul-betul kesal dan bermuhasabah diri sejak daripada itu,” katanya yang berharap ia tidak dijadikan polemik yang berterusan.
Dalam masa yang sama, Kim Kang Yeol pernah dituduh terbabit di dalam skandal Burning Sun.
Sumber: spottvnews