(Review) Filem Kim Ji-Young, Born In 1982 : Merungkai Persoalan Kehidupan Wanita

“Live Happily Ever After” ataupun hidup bahagia selama-lamanya. Ia sering menjadi penutup semua kisah romantis. Si manis bertemu pujaan hati, melawan segala arus onak dan duri untuk bersama, serta hidup bahagia sehingga ke akhir hayat. Namun, apakah definisi hidup bahagia selamanya? Berkahwin dengan insan yang dicintai sepenuh hati? Selepas itu apa pula? Seindah mana pun hari anda, malam dan siang akan tetap berganti dan hari yang baru tetap juga bermula. Adakah dengan mengahwini lelaki yang kacak, baik serta memahami itu menjadi penanda aras kepada kehidupan yang bahagia?

Filem Kim Ji-Young, Born In 1982, adalah sebuah filem yang amat dinanti-nantikan oleh penulis. Terdahulu, penulis begitu sedih apabila mendapat tahu filem ini tidak masuk dalam pasaran wayang Malaysia. Disebabkan oleh itulah, penulis begitu teruja apabila melihat iklannya di Astro First. Pantas penulis mengambil gambar dan berkongsi bersama-sama teman-teman rapat dengan ungkapan, “MUST WATCH!!!

Sebuah filem mengenai seorang wanita bernama Kim Ji-Young. Anak kedua dari tiga adik-beradik. Berperwatakan menarik, bijak dan juga seorang yang rajin. Kisahnya bermula dengan memperlihatkan beliau sebagai seorang suri rumah tangga. Lama kelamaan, filem ini memperlihatkan sisi lain beliau. Seorang yang bijak dan bercita-cita tinggi. Kemudiannya, mengahwini seorang jejaka yang bukan sahaja baik budi pekerti, malah memiliki paras rupa yang menawan. Suaminya juga seorang yang sangat memahami dan menyayangi isteri dan anaknya. Filem ini melihat bagaimana seorang wanita setelah berkahwin dengan insan yang dicintainya, mengharungi kehidupan harian sebagai seorang suri. Beliau memilih untuk melepaskan kerjaya serta cita-cita impiannya untuk  membesarkan anak. Konflik dalam hidupnya wujud bukan kerana tidak bahagia sebagai isteri, tetapi mula mempersoalkan kehidupan beliau sebagai seorang wanita dan definisi hidupnya sebagai seorang insan. Bertanyakan soalan adakah kehidupan wanita itu begitu berbeza dari kehidupan insan bernama lelaki, sehingga menjadi mangsa kitaran sosial manusia dalam masyarakat.

Filem ini mendapat tempat istimewa di hati wanita-wanita Korea Selatan, malah teman-teman penulis di Indonesia juga. Membaca reaksi-reaksi di atas talian juga turut menggoncang naluri penulis untuk terus menonton. Membayar RM15 kepada Astro tanpa memerlukan perhitungan yang panjang di minda penulis untuk merasai sendiri filem ini. Filem ini diadaptasi dari sebuah novel feminis yang meraih jualan terbaik di Korea Selatan. Usah gerun dengan label feminis itu, kerana di mata penulis, filem ini mengolah jalan cerita dan watak-watak penuh adil tanpa mengira jantina.

Kebanyakan pembaca portal ini, masih lagi dalam kalangan anak muda, mungkin berpangkat adik kepada penulis. Jadi sebagai kakak, penulis merasakan filem ini wajib ditonton sebagai suatu nasihat dan pedoman untuk adik-adik kakak di masa hadapan. Sekiranya penulisan kali ini agak berat, maafkan penulis kerana terbawa-bawa oleh perasaan. Usai penontonan filem ini, perkara pertama muncul di minda penulis adalah, ungkapan terima kasih. Terima kasih kepada mereka yang mengusahakan filem ini. Terima kasih  kerana memperlihatkan kehidupan seorang wanita yang juga seorang ibu, isteri, kakak dan juga anak. Terima kasih juga kerana memperlihatkan kami, para wanita dari sudut pandangan lelaki yang juga seorang bapa, suami, adik, rakan dan juga mereka yang tidak mengenali kami.

Penulis membaca isu-isu seperti filem ini mendapat kritikan dari golongan lelaki yang menontonnya. Malah, sekiranya anda mencari informasi mengenai filem ini di enjin carian Google, anda pasti akan melihat beberapa penulisan tentang ketidakpuasan hati lelaki terhadap filem ini. Malah, ada yang melaporkan di pasangan-pasangan berpisah selepas menonton filem ini di Korea Selatan. Wah.. begitu kuat impaknya. Tetapi, bagi penulis, tidak ada istilah ketidakadilan. Penulis merasakan representasi-representasi watak di dalam filem ini bersifat adil, telus dan bersifat asli. Yang baik diperlihatkan kebaikannya, antagonis juga dihidangkan sama rata. Mungkin tidak diperlihatkan secara terus.

Lebih kepada pemahaman penonton, apakah definisi insan yang baik di mata dan hati penonton? Bagi penulis, cubaan membeli roti kegemaran kakak adalah satu perbuatan yang memperlihatkan kasih sayang. Memesan vitamin juga salah satu cabang memperlihatkan kasih sayang terhadap seseorang. Tidak perlu menentang sang naga ataupun meredah lautan api, cukup sekadar berusaha untuk membantu pada hari-hari yang sukar mempunyai lebih nilai dari mengucapkan “saranghanda”. 

Romantis di mata penonton 20-an mungkin berbeza dengan persepsi penonton berumur 30-an. Romantis di mata gadis sunti mungkin juga berbeza dengan romantis di mata ibu yang mempunyai anak. Pada masa yang sama, romantis di mata lelaki cukup berlainan definisinya berbanding di mata wanita. Jadi mengatakan filem ini membuat suatu gambaran negatif terhadap lelaki juga adalah satu tohmahan yang tidak adil. Benar, filem ini mengutarakan isu-isu toxic masculinity ataupun dunia patriarki. Sebilangan dari babak-babak yang memperlihatkan lelaki sebagai jahat, juga wujudnya watak-watak lelaki baik yang dibebani oleh konflik dalaman di babak yang sama. Tidakkah itu sifatnya adil? Gambaran sebenar realiti?

 Ya, memang adanya kejahatan tetapi kebaikan yang ada juga turut di akui. Wujudnya lelaki yang jahat tidak bermakna pupusnya lelaki baik di dunia. Bagaimana seseorang itu akan berubah ke arah kebaikan sekiranya beliau tidak tahu apa kesalahan beliau? Kerana itu, penulis amat berterima kasih kepada pengusaha filem ini. Memperlihatkan kesalahan mereka untuk mewujudkan kesedaran bahawa apa yang berlaku di dalam kitaran kehidupan itu sebenarnya salah. Norma sesuatu budaya itu, tidak membuatkan ia hakiki. Mengakui tentang suatu kesalahan itu, adalah langkah pertama untuk berubah ke arah kebaikan.

Watak Jung Dae-Hyun lakonan Gong Yoo, memperlihatkan  seorang insan, seorang lelaki, suami dan juga seorang bapa yang baik. Apabila anda menyedari, bahawa menjadi seorang yang baik tidak mencukupi untuk membantu insan yang paling anda sayangi. Terperangkap di antara ingin membantu serta membahagiakan dan isteri, serta pada masa yang sama, terperangkap dalam norma-norma sosial masyarakat. Kehebatan lakonan Gong Yoo memperlihatkan gaya bersahaja tetapi pergolakan jiwa itu jelas dipancarkan melalui pandangan mata yang begitu ekspresif, terperangkap! Seolah-oleh berjalan di atas permukaan ais nipis.

Memahami keletihan mental dan fizikal isteri, tetapi pada masa yang sama juga memahami hukuman-hukuman sosial dan “unspoken rules” dalam masyarakat. Jelas kelihatan kecamuk dan ketakutan, melihat insan yang dicintai menghadapi waktu-waktu sukar. Pada masa yang sama, ingin melindungi isteri di samping terbit juga perasaan bersalah. Sama ada, isteri yang disayangi itu mengalami penderitaan sebegitu rupa disebabkan oleh beliau atau kesakitan yang wujud disebabkan si wanita itu menjadi isteri beliau. Gong Yoo dengan begitu cemerlang memperlihatkan bagaimana terseksanya dilahirkan sebagai lelaki yang sempurna, anak yang baik, suami dan bapa yang penyayang. Bagaimana tangan beliau terikat dari membantu isteri beliau sekali gus melindungi isteri beliau dari norma budaya yang toksik.

Watak utama filem ini, Kim Ji-Young lakonan Jung Yu-Mi. Kepolosan yang begitu menyayat hati. Dari kecil sebagai penonton barisan hadapan, melihat peranan wanita dalam masyarakat. Melihat bagaimana kehidupan dan pengorbanan ibunya. Menyanjungi kehebatan ibunya sebagai wira yang tidak didendangkan. Melihat perbezaan layanan antara beliau dan kakaknya di samping adik lelaki beliau. Mendengar kritikan-kritikan mereka yang tidak sekasut dengannya. Senantiasa berusaha untuk menjadi menantu yang baik dan pada masa yang sama, tidak bersetuju dengan kitaran sosial dalam kehidupan.

Di sudut hati, penulis mencemburui Kim Ji-Young. Sesungguhnya beliau bertuah. Penulis mengatakan beliau bertuah bukan kerana memiliki suami yang baik dan memahami, tetapi juga kerana dikurniakan ibu yang terbaik di dunia. Bagi penulis, watak ibu iaitu Mi Sook lakonan  Kim Mi-Kyung diibaratkan seperti matahari yang menyinar di dalam filem ini.  Lembut, penyayang, adil tetapi tegas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anaknya ibarat wira yang tidak di dendangkan. Dari muda lagi beliau telah bekerja di kilang untuk menyara pengajian adik-beradik yang lain. Terpaksa melepaskan cita-cita untuk menjadi seorang guru demi membesarkan anak-anak bahkan ketika anak-anak sudah dewasa, beliau masih lagi berusaha membantu anaknya. Mi Sook juga berani memperlihatkan kesalahan suaminya, bereaksi tegas apabila anaknya diusik oleh orang lain. Mi-sook memperlihatkan sisi hebatnya seorang wanita di dalam kelembutan dan senyuman yang manis.

Dae-Hyun beranggapan stress yang dialami oleh isterinya itu berpunca dari ibunya. Cukup stereotaip apabila beranggapan bahawa setiap musuh seorang wanita adalah ibu mertuanya. Sehinggakan beliau menghalang ibunya untuk bertemu sang isteri walaupun si ibu menghabiskan masa perjalanan yang lama  untuk ke Seoul dari Busan. Di sini, penulis bukan menafikan bahawa Kim Ji-Young agak terkesan dengan ibu mertua beliau kerana ia diperlihatkan layanan tidak sama rata terhadap menantu dan anak perempuan sendiri. Tetapi, dalam masa yang sama penulis tidak meletakkan seratus peratus kesalahan terhadap ibu Dae-Hyun. Beliau juga suatu produk yang terhasil dari kitaran sosial masyarakat terbabit. Beliau juga menyentuh bahawa anak beliau turut penat berkhidmat di rumah ibu mertuanya. Kim Ji-Young juga tidak membenci ibu mertuanya. Penulis melihat, Ji-Young amat menyayangi ibu mertuanya. Beliau berusaha keras untuk membuat ibu mertuanya menyenangi beliau. Bukankah itu resamnya di negara-negara Asia? Anda bukan hanya mengahwini seorang lelaki ataupun seorang wanita, tetapi anda juga mengahwini seluruh ahli keluarganya. Ia ibarat satu pakej yang lengkap.

Ibu mentua Ji-Young juga, memperlihatkan kasih sayang terhadap menantunya dengan caranya tersendiri. Walaupun penat menaiki kereta api dari Busan ke Seoul, tetapi dek kerana tidak ingin memberi tekanan kepada si menantu, beliau pulang ke Busan. Sifat mengambil berat terhadap menantunya tergambar apabila beliau menelefon Ji-Young dan berbohong bahawa beliau hanya ke rumah temannya serta ingin menghantarkan minuman berkhasiat kepada Ji-Young. Ji-Young turut menghargai pemberian ibu mertua beliau. Ini memperlihatkan wujudnya kasih sayang antara dua watak ini.

Namun, tiada ibu yang tidak mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Maka secara tidak langsung, ia telah mengeruhkan lagi keadaan yang dilalui oleh Kim Ji-Young. Namun, dari sudut positif, ia mewujudkan satu wakeup call terhadap semua orang. Ini juga diperlukan oleh Ji-Young untuk menerima keadaan beliau seterusnya bagi mendapatkan pertolongan profesional. Penulis melihat keadaan ini sebagai suatu yang subjektif. Sekiranya anda melihat ia dari sudut negatif, maka akan menjadi suatu yang negatif. Anda akan kekal terperangkap di dalam kitaran sosial toksik terbabit. Menyambungkan kepada generasi yang seterusnya.

Sekiranya ada yang mengatakan bahawa filem ini memaparkan realiti kehidupan di Korea Selatan, penulis tidak bersetuju. Apakah perbezaannya realiti di dalam filem ini dengan realiti kehidupan kita? Tidakkah pembaca juga berusaha keras untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik? Tidakkah anda memberikan yang terbaik dalam kehidupan anda? kepada bos di tempat kerja? Sekiranya anda seorang yang bekerja, dan mempunyai anak, tahukah anda berapa yang perlu dibayar untuk mengupah pengasuh? Bagaimana pula menghantar anak ke nurseri dari jam 9 ke 5 petang setiap hari? Berapa ramai wanita yang anda kenal merupakan pelajar cemerlang di sekolah, pekerja yang unggul tetapi melepaskan semuanya untuk membesarkan anak di rumah. Ingin ditegaskan di sini, menjadi suri rumah bukanlah suatu yang picisan. Menjadi suri rumah adalah suatu tugasan yang hebat. Merekalah ibu, guru, penyelia, pekerja dan segala-galanya.

Bagaimana pula, para ibu yang bekerja sepenuh masa? Bangun seawal jam 5 pagi, untuk menyiapkan makanan anak-anak, menyiapkan mereka ke sekolah dan diri sendiri sebelum ke pejabat. Bekerja sepenuhnya, membuatkan ada yang terpaksa keluar untuk mengambil dan menghantar anak ke hulu hilir. Pulangnya ke rumah setelah menghadapi kesesakan lalu lintas, kemudian menyediakan makan malam, sebelum melihat tugasan sekolah anak-anak. Selesai tugas itu, sesi mengemas rumah, membasuh serta melipat pakaian, tidur dan keesokannya rutin yang sama perlu ditempuhi. Sesungguhnya perempuan adalah ciptaan tuhan yang sangat hebat. Sama ada menjadi suri rumah ataupun wanita berkarier, kepenatannya tetap sama. Tidak kira di kumpulan mana, lesu upaya (burnout) tetap terjadi. Menidakkan lesu upaya menjadikan ia sebagai suatu akar kepada masalah yang lebih besar, iaitu kesihatan mental.

Filem ini turut menyentuh lesu upaya dalam kalangan suri rumah. Yang mana memperlihatkan, lesu upaya sebagai benang dalam sulaman kesihatan mental yang boleh mengakibatkan kemurungan jiwa dan masalah psikotik. Stigma terhadap kesihatan mental masih lagi utuh di masyarakat Asia. Bertemu pakar sakit jiwa itu seolah-olah suatu taboo. Menakutkan dan suatu pembaziran wang. Penulis amat berharap orang ramai boleh mengambil iktibar daripada filem ini. Bertemu psikiatri bukan bermaksud anda gila dan perlu dikurung di hospital sakit jiwa. Ia, cukup sekadar berbicara mengenai apa yang anda lalui kepada insan yang telah terlatih untuk memahami keadaan anda. Sekali gus membantu anda menghuraikan kekusutan yang anda lalui.

Bagi penulis, filem ini suatu filem yang meruntun jiwa. Bergelen-gelen air mata penulis keluar membasahi dunia. Namun, apa yang pasti, penulis tidak merasakan Mi-Sook menyesal melepaskan cita-cita beliau untuk membesarkan anak-anaknya. Bahkan pasti Mi-Sook begitu bangga melihat anak-anak beliau membesar dan menjadi insan-insan yang baik. Penulis begitu pasti kerana penulis juga seorang ibu dan tidak ada perkara lain yang membahagiakan penulis selain melihat anak penulis tersenyum bahagia.

P/S. Bagi yang berminat untuk menonton filem Kim Ji-Young ini bolehlah melanggan filem ini di Astro First. Jom, saksikan sedikit trailer daripada filem ini.

loading...