Spekulasi Blackpink bakal menjadi kumpulan kpop pertama meraih pencalonan di dalam anugerah ‘Best New Artist’ Grammy kian diperkatakan selepas mereka meraih perhatian menggunung di Amerika Syarikat dengan jelajah promosi yang kerap diadakan sejak awal Januari 2019 lalu.
Malah, mereka juga disenaraikan antara ‘TIME 100 Next’ oleh TIME dan digelarkan sebagai “phenom” kerana pengaruh sejagat dan sokongan padu daripada peminatnya di seluruh dunia. Baru-baru ini, Blackpink menjadi kumpulan kpop pertama meraih video single tontonan sebanyak 1 billion selain menggondol kesemua anugerah tercalon di dalam People’s Choice Awards (PCA) mengatasi pesaingnya terdekat, BTS.
Forbes meramalkan Blackpink bakal tercalon dalam top 5 anugerah ‘Best New Artist’ di dalam Grammy Awards berdasarkan pencapaian hebat mereka pada tahun ini dan kumpulan ini mungkin akan disaingi oleh Billie Eilish, Lizzo, Lewis Capaldi, Megan Thee Stallion, dan Lil Nas X. Walaupun nama BTS sebelum ini disebut-sebut tercalon di dalam kategori tertentu di dalam Grammy menerusi album mereka, Love Yourself : Tear, tetapi Grammy hanya mengkreditkan pengarah seni album berkenaan bukannya BTS sendiri. Segalanya akan menjadi pasti apabila Blackpink atau BTS dinobatkan sebagai kumpulan kpop pertama yang berjaya meraih pencalonan Grammy sendiri sekiranya salah satu daripada mereka tersenarai di dalam pengumuman yang bakal dibuat pada 20 November nanti.
Namun, di sebalik kejayaan Blackpink tersebut, sebilangan peminat Blink seakan-akan telah mencemarkannya sehingga tergamak mahu menggesa Blackpink digugurkan daripada YG Entertainment serta-merta tanpa memikirkan akibat besar daripadanya ketika media Barat sedang memuji-muji kehebatan kumpulan tersebut. Bagi menyatakan sokongan sesetengah Blink tersebut, tanda pagar #BLACKPINKLEAVEYG tertular di ruang media sosial sejak pagi tadi.