Selebriti-selebriti Korea sentiasa menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama baik untuk konsert jelajah, mewakili sebagai duta produk tertentu mahupun perjumpaan bersama peminat. Maklum balas peminat sememangnya menakjubkan.
Bulan Mac ini saja kita sudah disajikan dengan Ha Ji Won, Lee Sung Kyung, NCTs, D-Crunch, Ong Seung Wu dan Nam Joo Hyuk. Dan terakhir sekali sudah semestinya pemilik gelaran Ahmad Bo Gum yang menutup tirai bulan Mac dengan ‘cover’ yang sangat masyuk, ‘Belaian Jiwa’. Park Bo Gum menyampaikan versi nyanyiannya tersendiri di dalam perjumpaan bersama peminat semalam dengan bersaksikan petikan piano sambil diselangi dengan lantunan suaranya yang mendayu-dayu itu. Bakat bermain alat muzik serta nyanyiannya digunakan selagi boleh untuk menghasilkan persembahan yang menarik. Lebih mengagumkan lagi, konotasi bahasa Melayunya juga agak lancar seolah-olah Park Bo Gum telah melatih dirinya selama berminggu-minggu demi memberikan persembahan terbaik dan menambat hati peminatnya di Malaysia.
Maka, tak mustahil lah, peminat begitu teruja menggelarkannya Ahmad Bo Gum sehingga mengundang persoalan buat ‘social media influencer’ seperti Dr. Ben Rusaini di laman twitter peribadinya. Daripada yang tak tahu mengenainya, tiba-tiba mereka pun turut sama mengikuti ‘trends’ tersebut. Buat yang tak mengenali Park Bo Gum, beliau merupakan pelakon korea agak popular yang baru saja membintangi drama tvN Encounter bersama ratu Kdrama korea pernah popular satu masa dahulu, Song Hye Kyo. Dari segi keterampilannya sebagai penggiat anak seni, beliau lebih meninggalkan kesan dengan lakonan sebagai budak skema yang reti bermain baeduk dan putera raja yang romantis masing-masing menerusi drama tvN Reply 1988 dan KBS Moonlight Drawn By Clouds.
Pemilihan ‘Belaian Jiwa’ sebagai salah satu lagu yang dinyanyikan pula menjadi tanda tanya. Bagaimana Park Bo Gum tahu mengambil hati peminatnya di Malaysia dengan sebegini rupa? Sudah semestinya kita sedar lagu berbahasa Melayu ini merupakan lagu siulan rakyat Malaysia yang merentas kepelbagaian kaum. Tapi, kenapa ‘Belaian Jiwa’ dipilih? Kenapa bukan sekadar persembahan gimik semata-mata? Apapun, Park Bo Gum ternyata pandai menggunakan kesempatan tersebut untuk memberikan penghargaan semaksimum kepada peminatnya berpatutan dengan harga tiket yang dibayar. Jika sebelum ini, beliau pernah mengenakan baju melayu sambil bersampin tapi kali ini beliau lebih berani melakukan ‘cover’ Belaian Jiwa yang kedengaran agak sempurna dalam kerangka seseorang bukan fasih berbahasa Melayu. Rasanya, belum pernah lagi selebriti Korea berbuat sedemikian kerana mereka hanya sekadar tahu menyebut , ‘Aku Cinta Padamu’ , tidak seperti apa yang dilakukan oleh Park Bo Gum.
Nota ringkas: Kmania tak diberi laluan oleh pihak penganjur untuk memberi liputan secara langsung setelah dua siri jelajah Park Bo Gum Kmania dihadiri sebelum ini. Video dimuatnaik adalah hasil sumbangan daripada Noonaz sebagai peminat yang turun menyaksikan perjumpaan itu semalam.
Sumber: Twitter
Baca lagi:
1. https://kmania.info/2018/03/19/park-bogum-sudah-jumpa-cinta-hatinya-di-kuala-lumpur/
2. https://kmania.info/2016/12/10/putera-mahkota-dari-joseon-park-bogum-jejaki-peminatnya-di-malaysia/
3. https://kmania.info/2018/03/12/5-trivia-menarik-tentang-park-bo-gum-yang-korang-perlu-tahu/