Musim kedua siri original Disney+ “Made in Korea” kini mendedahkan poster baharu yang menampilkan tiga watak utamanya, Baek Ki Tae (Hyun Bin), Jang Geon Young (Jung Woo Sung) dan Baek Ki Hyun (Woo Do Hwan).
Musim pertama “Made in Korea” mengisahkan Baek Ki Tae, seorang lelaki yang didorong oleh cita-cita untuk mendapatkan kekayaan dan kuasa, serta pendakwa raya Jang Geon Young yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi menghalangnya. Kisah mereka berlangsung ketika era penuh pergolakan pada tahun 1970-an.
Berlatarkan sembilan tahun selepas peristiwa pada penghujung musim pertama, “Made in Korea 2” menyaksikan Baek Ki Tae kini berada di kemuncak kuasa, manakala Jang Geon Young telah lama membuat persiapan untuk melancarkan serangan balas.
Dalam masa yang sama, Baek Ki Hyun, adik kepada Baek Ki Tae, memilih laluan berbeza dalam usahanya mendapatkan kuasa. Cita-cita ketiga-tiga mereka semakin tidak terkawal sehingga mencetuskan pelbagai pergolakan dan perpecahan yang tidak dapat dipulihkan.
Dua poster terbaharu yang didedahkan memperlihatkan ketegangan semakin memuncak antara ketiga-tiga watak tersebut, disertai tagline “Pertembungan keinginan yang lebih membara daripada darah.”

Kedudukan mereka yang menghadap ke arah berbeza serta pandangan yang saling bersilang memberikan petunjuk mengenai hubungan mereka yang semakin rumit.
Baek Ki Tae digambarkan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dari kedudukannya sebagai individu berkuasa, dengan pandangan yang tidak berganjak.
Sementara itu, Baek Ki Hyun memperlihatkan emosi yang lebih kompleks ketika berdepan persimpangan pilihan, seolah-olah membayangkan perpecahan yang bakal berlaku.
Jang Geon Young pula memerhatikan kedua-dua beradik tersebut dengan teliti, sekali gus mencetuskan rangkaian peristiwa yang sukar dijangka ketika keseimbangan kuasa mula berubah.

Dengan keseluruhan enam episod, “Made in Korea 2” akan mula ditayangkan menerusi Disney+ pada 9 September 2026 dengan dua episod pertama, diikuti dua episod baharu setiap hari Rabu.
Sumber : 1


