Netflix telah berkongsi foto-foto terbaharu drama thriller akan datang, ‘Mousetrap’, yang menampilkan Ryu Jun Yeol, Sul Kyung Gu dan Lee Kyu Hyung.
Diadaptasi daripada webtoon popular, ‘Mousetrap’ mengisahkan Moon Jae (Ryu Jun Yeol), seorang novelis yang hidup menyendiri sebelum kehilangan segala-galanya—termasuk nama, identiti dan seluruh kekayaannya—akibat tindakan seorang lelaki misteri yang hanya dikenali sebagai “The Rat”.
Dalam usahanya mendapatkan semula kehidupannya, Moon Jae menjalin kerjasama yang tidak dijangka dengan Noja (Sul Kyung Gu), seorang ceti haram yang sanggup melakukan apa sahaja demi wang. Bersama-sama, mereka memulakan pemburuan berbahaya untuk menjejaki identiti sebenar “The Rat”, sekali gus membongkar pelbagai rahsia yang mengaburkan sempadan antara realiti dan penipuan.
Foto-foto terbaharu yang didedahkan memberi gambaran tentang pemburuan penuh debaran melibatkan tiga watak utama iaitu Moon Jae, Noja dan detektif Sun Yong (Lee Kyu Hyung), yang turut menyiasat kes misteri tersebut.
Moon Jae dilihat bergelut dengan kekeliruan selepas kehilangan segala-galanya akibat perbuatan “The Rat”. Sebagai seorang novelis yang sekian lama mengasingkan diri daripada dunia luar, usahanya untuk merungkai kebenaran di sebalik identiti yang dirampas menjanjikan ketegangan dan debaran yang berterusan.

Sementara itu, Noja tampil dengan karisma tersendiri ketika memburu semula wang yang hilang. Dalam proses tersebut, dia secara tidak sengaja terlibat dalam insiden misteri yang menyelubungi Moon Jae. Salah satu foto memperlihatkannya mengejar seseorang sambil memegang sebatang besi, sekali gus membayangkan kesungguhannya untuk mencapai matlamat walau dengan apa cara sekalipun.
Pengarah Kim Hong Sun turut memuji lakonan Sul Kyung Gu dengan menyifatkannya sebagai “seorang pelakon yang memiliki kemampuan lakonan luar biasa dan sangat sesuai membawakan watak Noja.”

Dalam masa yang sama, detektif Sun Yong dilihat meneliti beberapa dokumen dengan wajah penuh curiga, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai petunjuk penting yang bakal membawanya kepada kebenaran. Satu lagi foto memperlihatkan tekadnya untuk merungkai misteri yang menyelubungi kehidupan Moon Jae.

‘Mousetrap’ dijadualkan menemui penonton menerusi Netflix bermula 28 Ogos ini.
Sumber : 1


