Shin Hae Sun, Gong Myung & barisan pelakon kongsi sebab kenapa korang wajib tengok “Filing for Love”

Barisan pelakon drama baharu tvN, “Filing for Love”, berkongsi pandangan mereka tentang drama ini! Drama ini telahpun mulakan tayangannya pada semalam, 25 April.

“Filing for Love” ialah sebuah komedi romantik yang mengisahkan Noh Ki Jun (Gong Myung), seorang pekerja cemerlang dalam jabatan audit syarikat besar yang tiba-tiba diturunkan ke pasukan yang mengendalikan kes salah laku dalaman.

Dalam situasi itu, dia terjebak dengan Joo In Ah (Shin Hae Sun), ketua pasukan yang tegas, pelik dan menyimpan rahsia tersendiri.

Dengan drama ini kini sudah mula ditayangkan, para pelakon turut berkongsi apa yang penonton boleh jangkakan.


Konsep unik & jalan cerita yang berbeza

 

Shin Hae Sun berkata, penonton akan dapat merasai keseronokan baharu melalui topik “audit salah laku di tempat kerja” yang mungkin jarang diketengahkan.

Menurutnya, Episod 1 dan 2 akan memperlihatkan bagaimana konsep unik ini berkembang, termasuk pertembungan antara watak-watak dengan agenda berbeza dalam jabatan audit tersebut.

Dia juga berharap drama ini boleh menjadi hiburan kecil yang menggembirakan penonton.


Keserasian jadi tarikan utama

Gong Myung pula yakin bahawa chemistry antara wataknya, Noh Ki Jun, dan Joo In Ah akan menjadi salah satu tarikan utama sejak episod pertama lagi.

Untuk menghidupkan watak tersebut, dia memberi perhatian kepada gaya berpakaian, cara bercakap dan ekspresi wajah. Menurutnya, jika penonton fokus pada pergerakan mata wataknya, pengalaman menonton akan jadi lebih menarik.


Kisah realistik yang mudah buat penonton “tertarik”

Kim Jae Wook, yang memainkan watak pewaris chaebol Jeon Jae Yeol, berkata setiap episod menampilkan pelbagai insiden yang terasa sangat realistik.

Disebabkan ia menggambarkan situasi yang boleh berlaku dalam kehidupan sebenar, penonton akan lebih mudah untuk “masuk” dalam cerita.

Tambahnya lagi, perkembangan hubungan dua watak utama ketika mereka bekerja dalam suasana yang agak kelam-kabut juga menjadi daya tarikan tersendiri.

Dengan jalan cerita yang pantas dan moden, penonton juga boleh menantikan pelbagai kes yang dikendalikan oleh Audit Team 3.


Watak dengan pelbagai sisi

Hong Hwa Yeon, yang membawa watak setiausaha Park Ah Jeong, berkongsi bahawa penonton boleh menikmati drama ini dengan melihat perbezaan daya tarikan setiap watak — daripada Joo In Ah yang “cat-like”, kepada Noh Ki Jun yang lebih “puppy-like”.

Dia turut memberi perhatian untuk menampilkan sisi Park Ah Jeong yang kelihatan dingin, tetapi sebenarnya comel dan mudah disukai. Dengan imej yang glamor, Hong Hwa Yeon juga menitikberatkan aspek penampilan dengan merujuk pelbagai inspirasi.

Selain itu Joo In Ah lakonan Shin Hae Sun pula tampil dengan imej yang kemas dan tajam, menyerlahkan karisma sebagai ketua audit yang tegas. Digelar sebagai antara eksekutif wanita termuda, dia sangat berprinsip dan tidak memberi ruang untuk kesilapan dalam kerja. Namun di sebalik sikap keras itu, dia sebenarnya menyimpan rahsia yang tidak boleh dikongsi dengan sesiapa.

Sementara itu, Noh Ki Jun (Gong Myung) secara tidak dijangka dipilih oleh Joo In Ah untuk mengendalikan pelbagai isu dalaman pejabat. Sebagai “ace” dalam pasukan audit, dia sering memerhati dan cuba membongkar perkara tersembunyi, sekali gus mengubah rutin hidupnya. Daripada hampir dinaikkan pangkat di Audit Team 1, dia akhirnya terperangkap dalam Audit Team 3 yang penuh cabaran.

Jeon Jae Yeol (Kim Jae Wook), naib pengerusi Haemu Group, digambarkan sebagai individu yang tenang dan berkarisma. Namun di sebalik imej sempurna itu, dia sebenarnya menyembunyikan rasa kesunyian yang membuatkan penonton tertanya-tanya tentang perasaan sebenar yang dipendam.


📺 Tonton episode “Filing for Love” selanjutnya hari ini dan kini boleh distrim di HBO Max Malaysia.


Sumber : 1