Rom-Kom Terbaharu ‘Nice to Not Meet You’ Lakonan Lee Jung Jae & Lim Ji Yeon Akan Tayang di Prime Video November Ini

Prime Video telah mengumumkan tarikh tayangan perdana siri Korea romantik komedi (rom-com) terbaharu bertajuk Nice to Not Meet You, dibintangi bintang global Lee Jung-jae (Squid Game, The Acolyte, Hunt) dan pelakon terkenal Lim Ji-yeon (The Glory, The Tale of Lady Ok, Lies Hidden in My Garden).

Siri ini akan mula ditayangkan pada 3 November 2025, eksklusif di Prime Video di Malaysia dan lebih 240 negara serta wilayah, dengan episod baharu setiap Isnin dan Selasa.


Sinopsis 

Nice to Not Meet You mengisahkan hubungan cinta-benci antara seorang pelakon kelas A yang sudah hilang sentuhan dengan akarnya, dan seorang wartawan politik pemenang anugerah yang obses dengan keadilan, namun diturunkan pangkat ke meja hiburan.


Barisan Pelakon

  • Lee Jung-jae sebagai Im Hyun Joon, pelakon popular yang melonjak menerusi siri detektif hit “Good Detective Kang Pil Gu”. Walaupun kariernya berjaya, Hyun Joon berasa terperangkap dalam stereotaip watak detektif dan menyimpan impian untuk tampil sebagai hero romantik dengan watak lebih sarat emosi.
  • Lim Ji-yeon sebagai Wi Jung Shin, wartawan politik berbakat yang pernah dianggap ‘ace’ meja politik dan penerima termuda anugerah kewartawanan berprestij. Namun selepas terpalit skandal rasuah besar, dia dipindahkan ke meja hiburan. Perjalanan baharunya yang penuh cabaran membawa kepada pertembungan menarik dengan Hyun Joon — lantas memulakan kisah penuh konflik, tawa dan chemistry tak terduga.
  • Kim Ji Hoon sebagai Lee Jae Hyung, bekas pemain besbol yang kini CEO Sports Eunsung. Mesra dan baik hati terhadap semua, dia hanya tegas bila melibatkan cinta. Hidupnya berubah selepas bertemu Jung Shin.
  • Seo Ji Hye sebagai Yoon Hwa Young, ketua jabatan hiburan termuda di Sports Eunsung dan juga bekas kekasih Jae Hyung. Terkenal dengan tutur kata tajam dan kepetahan luar biasa, dialah satu-satunya yang mampu menggoyahkan Jung Shin. Gabungan ketegasan dan karismanya menjadikan hubungan watak semakin rumit.

Poster Rasmi & Visual Promosi

Poster berkumpulan memperlihatkan Hyun Joon bersembunyi di sebalik cermin mata hitam di hadapan poster gergasi Kang Pil Gu, seolah-olah cuba menjauhkan diri daripada watak legenda yang menaikkan namanya. Kapsyen “Saya bukan Kang Pil Gu. Saya tak kenal dia” menimbulkan persoalan mengapa dia begitu terdesak mahu melepaskan diri daripada imej pelakon kesayangan rakyat itu.

Turut menambahkan intensiti ialah kehadiran Wi Jung Shin, Lee Jae Hyung dan Yoon Hwa Young. Renungan tajam Jung Shin menggambarkan tekad memburu ‘scoop’, Hwa Young dengan karisma tajamnya, manakala pandangan tenang Jae Hyung memberi bayangan ada motif tersembunyi.


Kreatif di Sebalik Tabir

Siri ini diarahkan oleh Kim Ga-ram (Good Partner, Nevertheless) dan ditulis oleh Jung Yeo-rang (Doctor Cha), yang menjanjikan gabungan segar antara humor, emosi dan satira dunia hiburan.

Pasukan produksi berkata:

“Lee Jung-jae dan Lim Ji-yeon akan mempamerkan keserasian penuh sengit sebagai seteru yang bakal meninggalkan kesan mendalam. Nantikan lakonan penuh jiwa mereka dalam menghidupkan hubungan tidak terduga antara bintang besar Im Hyun Joon dan wartawan Wi Jung Shin.”


Tayangan Perdana

Jangan lepaskan detik penuh tawa dan momen mencuit hati dalam Nice to Not Meet You, tayangan perdana pada 3 November 2025, jam 8:30 malam KST, eksklusif di Prime Video, dengan episod baharu setiap Isnin dan Selasa.

Selain Nice to Not Meet You, Prime Video turut menawarkan pelbagai kandungan menarik termasuk drama Korea Confidence Queen, Head Over Heels, GOOD BOY, The Divorce Insurance, Newtopia, dan No Gain No Love, anime popular seperti Jujutsu Kaisen 0 dan Rurouni Kenshin, serta Amazon Originals pemenang anugerah seperti Fallout, The Lord of the Rings: The Rings of Power, Reacher, dan The Boys.

Prime Video boleh dilanggan di Malaysia dengan hanya RM25 sebulan.