[Drama Review] “Tempest”: Melodrama Perisikan Epik Bersama Jun Ji Hyun & Kang Dong Won

Disney+ Hotstar kembali dengan siri baharu Tempest, sebuah melodrama perisikan yang menampilkan gabungan Jun Ji Hyun dan Kang Dong Won, dua bintang terkemuka Korea Selatan. Dengan bajet produksi sekitar 70 bilion won, siri ini menjanjikan skala besar, visual memukau, dan plot yang mendebarkan.

Tempest mengisahkan Seo Mun-ju (Jun Ji Hyun atau Gianna Jun), bekas duta PBB yang terkenal di peringkat antarabangsa, yang terjerumus ke dalam konflik politik dan konspirasi selepas pembunuhan suaminya, calon presiden Jang Jun-ik (Park Hae Joon). Untuk menyingkap kebenaran, Moon-ju memutuskan untuk bertanding sebagai presiden, sambil dibantu oleh Paik San-ho (Kang Dong Won), seorang ejen rahsia misteri dengan latar belakang tidak diketahui.

Drama ini menonjolkan konflik kompleks antara politik domestik, ancaman antarabangsa, dan rahsia peribadi. Setiap watak, dari ibu mertua Munju, Lim Ok-seon (Lee Mi Sook), hingga Presiden semasa Chae Kyung-sin (Kim Hae-sook) dan pegawai perisikan Yu Eun-hak (Yoo Jae Myung), menjadikan ceritanya lebih kompleks dan mendebarkan.

Siri ini turut menampilkan Oh Jung Se sebagai Jang Jun-sang, adik kepada calon presiden yang ingin mengambil alih jawatan; Lee Sang Hee sebagai Yeo Mi-ji, pembantu setia Moon-joo; dan Joo Jong Hyuk sebagai Park Chang-hee, ketua keselamatan dan pengawal peribadi Moon-joo serta membawa ke layar John Cho, pelakon Hollywood dan bintang Star Trek, yang memegang watak Timbalan Setiausaha Negara AS, Anderson Miller, menjadikannya penampilan pertamanya dalam siri asal Korea. Kehadiran John Cho menambah dimensi antarabangsa kepada siri ini dan memperkukuh tema konspirasi global.

Jun Ji Hyun membawakan Mun-ju sebagai wanita berkarisma tinggi yang berkembang dari seorang duta PBB menjadi calon presiden yang berani dan berdaya saing. Kang Dong Won pula membawakan San-ho sebagai ejen rahsia yang pendiam, misteri, tetapi penuh kesetiaan dan keberanian. Hubungan mereka menghasilkan kimia yang menawan, memadukan aksi, ketegangan, dan emosi yang mendalam. Interaksi mereka menggambarkan seorang wanita di tengah sorotan awam dan seorang lelaki yang bergerak di bayang-bayang untuk melindunginya — kombinasi yang jarang ditemui dan sangat mengasyikkan.

Visual dan produksi Tempest sangat mengagumkan. Pengarah Kim Hee-won dan Heo Myung-haeng menghidupkan skrip Jeong Seo-kyung dengan adegan-adegan aksi dramatik, dari pertemuan canggih di sebuah gereja hingga momen penyelamatan yang penuh tehang. Setiap adegan tidak hanya memaparkan aksi tetapi juga menekankan hubungan emosi dan konflik watak. Bajet besar membolehkan penggunaan lokasi dan set berskala global, menjadikan siri ini terasa seperti filem hebat walaupun hanya sembilan episod.

Selain aksi dan politik, drama ini juga menonjolkan hubungan peribadi yang mendalam. Mun-ju, seorang wanita berdikari tetapi pernah jauh dari realiti politik, dipaksa menghadapi konflik keluarga, ancaman antarabangsa, dan cabaran peribadi. San-ho, dengan latar belakang misteri, menjadi pelindung dan rakan Mun-ju dalam mengharungi bahaya. Dinamik antara watak-watak, terutama Mun-ju dan ibu mertuanya, Lim Ok-seon, memberikan lapisan drama dan ketegangan yang jarang ditemui dalam drama politik.

Keseluruhannya, Tempest adalah gabungan melodrama, politik, aksi, dan misteri yang jarang ditemui dalam drama Korea. Dengan pelakon hebat, produksi berkualiti tinggi, naratif kompleks, dan elemen antarabangsa melalui John Cho, siri ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menonjolkan kemampuan drama Korea untuk menyampaikan cerita berskala global. Ia menggabungkan ketegangan, emosi, dan aksi dengan sangat berkesan, menjadikannya sebuah pengalaman menonton yang epik dan memuaskan.

Siri ini terdiri daripada 9 episod dan akan disiarkan pada 10 September di Disney+ Hotstar. Tiga episod pertama akan tayang pada 10 September, dengan dua episod seterusnya dikeluarkan setiap minggu bermula 17 September.