MBC bakal hadir dengan drama baharu berjudul “To The Moon”, adaptasi daripada novel popular yang mengangkat kisah survival tiga wanita kelas pekerja.. Drama ini mengetengahkan realiti getir hidup bergaji kecil, diskriminasi di tempat kerja dan beban hutang, lalu menimbulkan persoalan tentang pilihan berani demi masa depan.
Sinopsis
Tiga pekerja kontrak di sebuah syarikat konfeksi — Jung Da Hae (Lee Sun Bin) yang berusaha menyeimbangkan impian dengan masalah kewangan, Kang Eun Sang (Ra Mi Ran) yang realistik, sentiasa mengutamakan kestabilan kewangan, serta Kim Ji Song (Jo Aram) yang selamba — akhirnya membuat keputusan nekad untuk mencuba pelaburan mata wang kripto. Namun, langkah tersebut membawa mereka kepada risiko baharu, termasuk cabaran bersama Ham Ji Woo (Kim Young Dae), ketua pasukan data yang karismatik dan penuh misteri. Drama ini menjanjikan kombinasi bijak antara strategi licik, humor serta plot twist yang mengujakan.
Keunikan Drama
Keunikan “To The Moon” terletak pada keserasian antara tiga watak wanitanya. Persahabatan mereka terbina melalui pengalaman bersama sebagai pekerja tidak tetap di Maron Confectionery.
Dengan harapan memulakan kehidupan baharu dan merebut peluang yang mampu mengubah nasib, mereka bersama-sama melangkah ke dunia kripto. Dalam perjalanan itu, hubungan mereka sebagai rakan sekerja, sahabat, dan kadangkala teman seperjuangan yang saling menyokong pasti akan menarik penonton serta memberi inspirasi penuh semangat.
Gabungan perwatakan berbeza ini bukan sahaja menambah dimensi jalan cerita, malah menonjolkan realiti berlapis kehidupan pekerja kelas pertengahan.
Watak Utama
✨ Jung Da Hae (Lee Sun Bin)
Seorang pekerja kontrak di bahagian pemasaran dan PR Maron Confectionery. Tanpa kelulusan hebat serta sering dipandang rendah kerana bukan daripada kelompok pekerja yang direkrut khas, Da Hae berdepan gaji kecil, pekerjaan tidak stabil dan diskriminasi senyap. Hidupnya tanpa semangat sehinggalah rakan sekerja, Eun Sang, mencadangkan pelaburan kripto — yang akhirnya membuka sinar harapan baharu.
✨ Kang Eun Sang (Ra Mi Ran)
Anggota pasukan Sokongan Pengurusan yang sudah lali dengan kegagalan, daripada pelaburan saham hinggalah percubaan startup. Namun, Eun Sang pantang menyerah dan sanggup melakukan apa saja, termasuk menjual barangan kecil di pejabat dan membaiki tandas, semata-mata untuk bertahan. Moto hidupnya: “Kumpul sebanyak mungkin wang.” Dialah yang mengajak Da Hae dan Ji Song menyertai pelaburan kripto bersama-sama.
✨ Kim Ji Song (Jo Aram)
Pekerja kontrak di bahagian akaun yang mewakili gaya hidup YOLO generasi Z. Dibebani hutang kad kredit, Ji Song tetap berbelanja tanpa batas untuk membeli-belah, temu janji dan hobi. Apabila melihat Da Hae menyertai pelaburan kripto, dia turut bergelut sama ada mahu mengikut langkah itu. Keperibadiannya yang ceria dan spontan menjadikannya sumber tenaga dan humor di sebalik kesukaran.
✨ Ham Ji Woo (Kim Young Dae)
Pengarah pasukan Big Data TF yang tampak sempurna — kacak, bijak dan berharta. Namun di sebalik kejayaan, Ji Woo menyimpan penyesalan kerana impiannya tidak tercapai. Pertemuannya dengan Da Hae menghidupkan semula harapan dan semangatnya. Wataknya yang diperkembangkan berbanding novel asal turut memberi sinergi baharu dalam jalan cerita, termasuk chemistry romantis dengan Da Hae.
Poster Utama: Harapan Di Tengah Kehidupan Suram
Poster rasmi memperlihatkan Jung Da Hae, Kang Eun Sang dan Kim Ji Song memegang telefon bimbit dengan wajah penuh semangat. Walaupun latar kereta api bawah tanah kelihatan muram, senyuman mereka menyerlahkan harapan untuk mengubah nasib.
Tagline poster berbunyi:
“Kami juga ada taktik rahsia itu…? Satu langkah untuk mengubah permainan!”
Latar kereta api pula melambangkan rutin “train to hell” pekerja pejabat, namun dalam drama ini, ia diubah menjadi “coin train” yang membawa mereka ke bulan — simbol perjalanan luar biasa untuk meloloskan diri daripada kehidupan biasa.
Poster Terbaru – Pamerkan Aura Ceria
Poster baharu yang dikeluarkan menampilkan Jung Da Hae, Kang Eun Sang, Kim Ji Song, dan Ham Ji Woo dengan snek berbentuk duit syiling meletup seperti bunga api di atas kepala mereka. Jung Da Hae kelihatan memandang ke langit dengan penuh rasa ingin tahu, Kang Eun Sang tersenyum sambil memegang kalkulator, Kim Ji Song bergaya comel dengan senyuman ceria, manakala Ham Ji Woo pula memegang secawan kopi sambil tersenyum lebar.
Teks pada poster berbunyi, “Mungkinkah kami juga mempunyai langkah rahsia untuk mengubah permainan ini?” yang menggambarkan impian besar serta tekad watak-watak ini untuk mengubah hidup mereka, sekali gus menimbulkan rasa ingin tahu tentang apa yang bakal mereka tempuhi.
Catatan Produksi
Pasukan produksi memuji barisan pelakon:
- Ra Mi Ran digambarkan benar-benar menjiwai watak Kang Eun Sang dengan persembahan realistik yang membuatkan kru kagum.
- Jo Aram pula disifatkan sebagai “energizer” di set, dengan personaliti ceria yang seiring dengan wataknya sebagai Ji Song.
- Kim Young Dae dipuji kerana berjaya membawa dimensi mendalam pada watak Ham Ji Woo, hingga chemistry romantisnya dengan Lee Sun Bin membuat kru turut “jatuh hati”.
- Barisan pelakon yang menawan ini menunjukkan kerjasama melebihi jangkaan. Kami amat berterima kasih kerana mereka berjaya mencipta suasana penggambaran yang dipenuhi gelak tawa tanpa henti. Semoga penonton turut merasai chemistry Lee Sun Bin, Ra Mi Ran, Jo Aram, dan Kim Young Dae melalui poster terbaru ini.
📺 “To The Moon” akan mula bersiaran pada 19 September di MBC.
Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 |