[Drama Review] “Hyperknife”: Thriller Perubatan Penuh Obsesi dan Pengkhianatan

Bagaimana jika seorang doktor yang berusaha menyelamatkan nyawa akhirnya terperangkap dalam dunia yang gelap dan penuh dengan rahsia? “Hyperknife”, siri thriller original Disney+ Hotstar, membawa penonton ke dalam dunia perubatan yang bukan sahaja berisiko tinggi, tetapi juga dipenuhi dengan obsesi, pengkhianatan, dan dendam yang membara. Dengan gabungan elemen misteri, psikologi, dan ketegangan yang mendalam, drama ini menjanjikan pengalaman menonton yang mencengkam dari awal hingga akhir.

Drama ini mengisahkan Jeong Se-ok (Park Eun-bin), seorang pakar bedah otak muda yang berbakat, dan mentornya, Choi Deok-hee (Seol Kyung-gu), dalam hubungan cinta-benci (love-hate) yang menguji batasan moral dan kemanusiaan.

Se-ok, yang obses dengan bidang pembedahan otak, menjadi pelajar kesayangan Deok-hee. Namun, segalanya berubah apabila obsesi Se-ok terhadap kerjanya menyebabkan satu insiden tragis, memaksa Deok-hee menarik balik lesen perubatannya. Kehidupan Se-ok mula tergelincir ke dalam dunia gelap, di mana dia kini hidup sebagai doktor bayangan, melakukan pembedahan haram.

Konflik antara guru dan murid ini semakin meruncing apabila Deok-hee, yang kini menghidap tumor otak, mencari Se-ok dengan satu tawaran—jika Se-ok menyelamatkannya, Deok-hee akan membantunya mendapatkan kembali lesen perubatannya. Namun, kebencian Se-ok terhadap mentornya terlalu mendalam, dan dia menolak tawaran tersebut. Untuk memaksa Se-ok setuju dengan penawaran Deok-hee, dia cuba memprovokanya untuk melaporkan kegiatan haramnya kepada pihak polis dan sekaligus membuatkan Se-ok tidak dapat lagi menjalankan sebarang pembedahan. Perkara ini membuatkan Se-ok tertekan dan menambahkan lagi api kebenciannya. Namun, Se-ok menyebabkan satu lagi insiden dengan naluri yang tidak terkawal, dan cerita ini mengambil jalan yang tidak dapat diramalkan ketika Deok-hee menyaksikan kejadian itu.

Lakonan Berkesan & Dinamika Watak yang Menegangkan

Lakonan Park Eun-bin sebagai Se-ok benar-benar memukau. Sejak awal, dia berjaya menggambarkan watak yang cemerlang tetapi terganggu secara psikologi, dengan sisi obsesif dan kejamnya yang semakin memburuk. Khususnya, adegan lakonan di mana Park Eun-bin menjerit dan meletus dengan kegilaan serta meluahkan emosi kasar adalah yang terbaik. Kesan daripada obsesi mengerikan Se-ok, di mana dia tidak teragak-agak untuk membunuh bagi melindungi apa yang dia cintai, meningkatkan pengalaman naratif.

Begitu juga, Seol Kyung-gu sebagai Deok-hee membawa kedalaman emosi seorang mentor yang terperangkap antara kasih sayang dan dendam kerana perlu menyerahkan nyawanya kepada muridnya, Se-ok, yang membencinya cukup untuk ingin membunuhnya, namun terobsesi dengan hasil pembedahan yang sempurna. Harapan tinggi ditempatkan pada bagaimana dia akan merancang kelangsungan hidupnya di masa depan.

Kedua-dua pelakon ini membentuk hubungan penuh ketegangan—di mana rasa hormat dan kebencian saling bertembung, menjadikan interaksi mereka sangat mendebarkan.

Pelakon sokongan seperti Yoon Chan-young dan Park Byung-eun juga memberi dimensi lebih mendalam kepada cerita. Yoon Chan-young memainkan watak pemuda yang setia menyokong Se-ok, manakala Park Byung-eun sebagai ahli bius yang membantu Se-ok menambah elemen belas kasihan dalam kisah ini.

Hubungan unik antara Se-ok dan Deok-hee, yang memahami antara satu sama lain tetapi membenci lebih dalam daripada sesiapa pun, meningkatkan jangkaan tentang apa kesudahan takdir yang akan mereka tuju bermula dari episod 3.

Lebih daripada Sekadar Thriller Perubatan

Bukan sekadar thriller perubatan biasa, drama ini turut meneroka psikologi watak-wataknya dengan mendalam. Tema obsesi, dendam, dan pengkhianatan menjadikan Hyperknife lebih daripada sekadar kisah perubatan—ia adalah perjalanan emosi yang penuh kejutan dan ketegangan.

Ketegangan antara Se-ok dan Deok-hee sentiasa memuncak, dan setiap pertemuan mereka semakin memburukkan lagi hubungan yang sudah rapuh. Apakah Se-ok akan semakin menggila apabila gagal mengawal emosinya ketika bertemu Deok-hee?

Siapa yang Perlu Menonton?

Drama ini sangat sesuai untuk peminat thriller perubatan dan mereka yang tertarik dengan tema obsesi, pengkhianatan, serta hubungan konflik yang kompleks. Jika anda gemarkan drama mendalam dengan lakonan hebat dan jalan cerita yang sukar dijangka, Hyperknife adalah pilihan yang tepat.

Penonton yang mencari elemen gelap dalam naratif dan ingin melihat perkembangan watak yang penuh kejutan pasti tidak akan kecewa.

Saksikan “Hyperknife” di platform Disney+ Hotstar bermula 19 Mac 2025.