JAY B Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dengan Konsert Solo ‘TAPE: RE LOAD’ April Ini!

Peminat JAY B di Malaysia, bersiap sedia! Penyanyi dan leader kumpulan GOT7 ini bakal mengadakan konsert solonya yang dinanti-nantikan, TAPE: RE LOAD, di Kuala Lumpur! Konsert ini, yang dibawakan oleh Line Up Entertainment dengan kerjasama Stormex Entertainment, akan diadakan pada 27 April 2025, di Zepp Kuala Lumpur, bermula pada jam 6PM.

Konsert ini menjadi kemunculan pertama JAY B di Malaysia dalam hampir 10 tahun, sejak beliau terakhir kali datang bersama GOT7 untuk konsert mereka di Kuala Lumpur. Baru-baru ini, JAY B telah menamatkan perkhidmatan tentera wajibnya sebagai pekerja perkhidmatan awam pada 1 November 2024 dan kini kembali aktif dalam industri muzik. Beliau juga telah bergabung semula dengan ahli GOT7 dan melancarkan mini album ke-12 mereka, ‘WINTER HEPTAGON’, yang telah dirilis pada 20 Januari 2025.

JAY B, yang mempunyai nama sebenar Lim Jae-beom, adalah penyanyi, penulis lagu, dan penerbit muzik yang terkenal sebagai pemimpin GOT7. Setelah meninggalkan JYP Entertainment, beliau terus mengembangkan kerjaya solo dengan muzik yang lebih matang dan eksperimental. Dengan vokal yang penuh emosi serta gaya muzik R&B dan hip-hop yang unik, JAY B telah berjaya membina identiti solo yang kukuh dalam industri muzik Korea.

Projek Solo Terbaru

Selain konsert TAPE: RE LOAD, JAY B juga sibuk dengan projek solo terbarunya. Pada November lalu, selepas menamatkan perkhidmatan tenteranya, beliau melancarkan album penuh pertamanya, Archive 1: Road Runner. Album ini menggabungkan elemen R&B, lo-fi, dan hip-hop, memperlihatkan kematangan muziknya sebagai artis solo.

Album ini mengandungi 13 lagu, termasuk dua trek eksklusif untuk versi CD, iaitu Present dan Winter Night. Dua lagu utama dalam album ini ialah Cloud Nine dan Crash, masing-masing menampilkan gaya muzik yang berbeza tetapi saling melengkapi konsep album.

Cloud Nine membawa pendengar ke dalam dunia muzik R&B yang sensual dan intim, menggambarkan kebahagiaan seolah-olah terapung di atas awan. Ritma lagu ini memperlihatkan arah muzik yang ingin JAY B tonjolkan, dengan cara penyampaian emosi yang unik sebagai daya tarik utamanya.

Sementara itu, Crash menampilkan sisi bertenaga JAY B, dengan mesej tentang keyakinannya dalam menempuh jalannya sendiri. Lagu ini turut disertakan dengan video muzik yang dilancarkan serentak dengan album, memperlihatkan daya tarikan matang JAY B melalui visual dan tarian yang penuh karisma.

Karya terbarunya ini mendapat sambutan hangat daripada peminat, membuktikan kebolehannya sebagai artis solo yang serba boleh. Dengan konsep yang segar dan eksperimental, JAY B terus memukau pendengar dengan identiti muziknya yang tersendiri.

Maklumat Tiket

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 9 Februari 2025, jam 10:00 AM (MYT) menerusi laman web rasmi www.ticketmelon.com. Pelan kedudukan dan harga tiket bagi setiap kategori adalah seperti berikut:

  • VVIP Standing: MYR 1,150
  • VIP Standing: MYR 889
  • J1: MYR 640
  • BI Seating: MYR 640
  • B2 Seating: MYR 518
  • B3 Seating: MYR 398

Setiap transaksi akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM2.00 dan setiap pembelian tiket dihadkan kepada maksimum 4 tiket. Manakala setiap pembeli tiket akan menikmati faedah peminat seperti berikut:

Jelajah Global TAPE: RE LOAD

Konsert TAPE: RE LOAD ini juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah global yang membawa JAY B ke pelbagai lokasi utama di seluruh Asia, termasuk Filipina, Taiwan, Jepun, dan Indonesia. Malaysia pula akan menjadi destinasi terakhir dalam siri jelajah Asia ini. Jelajah ini memberi peluang kepada peminat di pelbagai negara untuk menyaksikan persembahan solo pertama JAY B secara langsung, menjadikan pengalaman ini lebih peribadi dan eksklusif.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat JAY B secara langsung di Kuala Lumpur!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Stormex Entertainment [Facebook | Instagram | X]