Dari “Love Scenario” Hingga “Hampa Memang Sempoi Wei!” — iKON Tinggalkan Memori Manis Buat iKONIC Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2026 — Kumpulan K-pop popular Korea Selatan, iKON akhirnya kembali bertemu peminat Malaysia menerusi iKON FOUREVER WORLD TOUR yang berlangsung di Idea Live Arena pada 22 Ogos lalu.

Selepas hampir lapan tahun sejak kunjungan terakhir mereka ke Malaysia, JAY, SONG, BOBBY dan CHAN kembali menjejakkan kaki ke negara ini untuk bertemu iKONIC dalam sebuah malam yang penuh tenaga, muzik dan kenangan istimewa.

Kepulangan keempat-empat anggota ini turut menjadi detik bermakna buat iKON dan peminat mereka, khususnya selepas mereka melengkapkan perkhidmatan ketenteraan wajib masing-masing. Selepas membuka tirai jelajah dunia di Seoul pada Mei lalu, Malaysia menjadi salah satu persinggahan penting dalam perjalanan antarabangsa FOUREVER WORLD TOUR.

Sejak persembahan pembukaan, iKON terus mencuri perhatian menerusi karisma pentas dan persembahan secara langsung yang menjadi identiti kumpulan tersebut.

Malam itu dimeriahkan dengan deretan lagu popular termasuk LOVE SCENARIO dan RHYTHM TA, selain persembahan solo setiap anggota yang memberikan peluang kepada JAY, SONG, BOBBY dan CHAN untuk menyerlahkan sisi persembahan masing-masing.

Suasana di Idea Live Arena semakin meriah apabila iKONIC turut menyanyi bersama sepanjang persembahan. Sorakan yang bergema dari segenap ruang arena jelas menunjukkan betapa terujanya para peminat menyambut kepulangan iKON.

Namun, bukan sekadar muzik dan persembahan yang membuatkan malam tersebut istimewa. Interaksi spontan antara iKON dan iKONIC turut menjadi antara momen yang paling mencuri perhatian.

Antara perkara yang paling mencuit hati iKONIC Malaysia ialah usaha iKON berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu sepanjang konsert.

Beberapa ungkapan yang dilontarkan oleh mereka berjaya mengundang sorakan dan gelak tawa daripada para peminat, antaranya “Terima kasih,” “Maceh maceh,” “Maceh iKONIC!”, “Mantap wei,” “Aku cinta kamu!!” dan “Hampa memang sempoi wei!”

Malah, mereka turut menggunakan panggilan “abe”, yang membawa maksud abang dalam dialek Kelantan, ketika bergurau dan memperkenalkan diri.

Usaha iKON menggunakan bahasa tempatan menjadikan interaksi mereka dengan iKONIC terasa lebih santai dan dekat. Setiap kali ungkapan tersebut keluar dari mulut anggota iKON, Idea Live Arena kembali dipenuhi sorakan peminat.

Satu lagi momen yang pastinya akan diingati ialah apabila iKON beberapa kali mengajak iKONIC untuk bangun dan menikmati persembahan bersama-sama.

Walaupun pihak penganjur menyediakan kerusi untuk para penonton, iKON kelihatan lebih selesa apabila melihat peminat berdiri, menyanyi dan memberikan tenaga sepanjang persembahan.

Daripada sekadar menjadi penonton, iKONIC seolah-olah menjadi sebahagian daripada persembahan apabila seluruh arena dipenuhi nyanyian dan sorakan.

Momen ini paling terasa ketika lagu-lagu popular dimainkan, dengan iKON dan iKONIC saling memberikan tenaga antara satu sama lain sehingga suasana konsert terasa seperti sebuah pesta besar bersama.

Salah satu perkara yang menjadikan FOUREVER WORLD TOUR in Malaysia begitu istimewa ialah jumlah lagu yang dipersembahkan.

Secara keseluruhan, iKON membawakan 35 lagu, termasuk lagu berkumpulan, persembahan solo serta dua segmen encore.

Persembahan dimulakan dengan “Ah Yeah”, diikuti “Tantara”, “BLING BLING”, “SINOSIJAK” dan “DRAGON”.

Segmen solo kemudian menyaksikan CHAN membawakan “YOU”, JAY dengan “Angel” dan “OBEY”, BOBBY menerusi “TROPICAL NIGHT”, manakala SONG mempersembahkan “FIGHTING” dan “IT’S CALL”.

Selepas itu, iKON kembali bersama untuk meneruskan persembahan dengan “WAIT FOR ME”, “LONG TIME NO SEE”, “MY TYPE”, “WELCOME BACK” dan “AIRPLANE”.

Suasana kemudian menjadi lebih sentimental menerusi “GOODBYE ROAD”, “JERK” dan “WHY WHY WHY”, sebelum tenaga kembali meningkat dengan “DRIVING SLOWLY” dan “SHOOTING STAR” yang dipersembahkan dengan susunan baharu.

Sudah tentu, antara kemuncak malam tersebut ialah “LOVE SCENARIO”, apabila iKONIC memenuhi arena dengan nyanyian bersama.

Persembahan diteruskan dengan “KILLING ME”, “FREEDOM”, “DUMB & DUMBER” dan “RHYTHM TA” sebelum iKON meninggalkan pentas untuk seketika.

Sorakan iKONIC akhirnya membawa iKON kembali ke pentas untuk segmen encore.

Lima lagu dipersembahkan iaitu “BUT YOU”, “WHAT’S WRONG?”, “JUST ANOTHER BOY”, “B-DAY” dan “DON’T LET ME KNOW”.

Namun, malam tersebut masih belum berakhir.

iKON kembali buat kali terakhir untuk persembahan tambahan dengan “RUBBER BAND”, “BLING BLING”, “FREEDOM” dan “RHYTHM TA”.

Empat lagu tersebut menjadi penutup kepada sebuah malam yang dipenuhi persembahan tanpa henti, menjadikan keseluruhan setlist konsert di Malaysia lengkap dengan 35 lagu.

Apa yang menjadikan kepulangan iKON ke Malaysia begitu bermakna bukan hanya kerana mereka kembali selepas sekian lama, tetapi kerana malam tersebut dipenuhi dengan interaksi dan kenangan yang dikongsi bersama iKONIC.

Daripada nyanyian beramai-ramai, sorakan yang tidak berhenti, persembahan solo, ajakan untuk berdiri hinggalah kepada cubaan iKON bertutur dalam bahasa Melayu, setiap momen memberikan warna tersendiri kepada konsert tersebut.

Selepas menamatkan persinggahan di Malaysia, iKON akan meneruskan perjalanan FOUREVER WORLD TOUR ke beberapa lokasi seterusnya di Amerika Selatan, membawa persembahan mereka kepada lebih ramai peminat di seluruh dunia.

Buat iKONIC Malaysia, malam 22 Ogos pastinya akan dikenang sebagai malam apabila penantian yang panjang akhirnya terbalas.

35 lagu, dua segmen encore, empat anggota di satu pentas dan ribuan iKONIC yang menyanyi bersama. Sebuah malam yang cukup untuk membuktikan bahawa masa mungkin berlalu, tetapi ikatan antara iKON dan iKONIC tetap kekal.

Maceh iKON kerana kembali. Dan maceh iKONIC Malaysia kerana menjadikan malam ini begitu istimewa. 💙

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Amplitude Live SEA atas peluang yang diberikan kepada KMania untuk merakam dan berkongsi momen indah sepanjang berlangsungnya iKON 2026 World Tour [FOUREVER].

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video iKON 2026 World Tour [FOUREVER] dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.