Shin Min Ah, Kim Young Dae, Lee Sang Yi, dan Han Ji Hyun Ucap Selamat Tinggal kepada “No Gain No Love”

Shin Min Ah, Kim Young Dae, Lee Sang Yi, dan Han Ji Hyun telah berkongsi ucapan akhir mereka!

“No Gain No Love” adalah drama komedi romantik yang mengisahkan Son Hae Young (Shin Min Ah), seorang wanita yang berpura-pura berkahwin untuk memastikan dia dapat kenaikan pangkat. Kim Young Dae berlakon sebagai Kim Ji Wook, lelaki yang setuju untuk menjadi suami palsunya.

Pada 2 Oktober, sehari selepas drama ini tamat, Shin Min Ah, Kim Young Dae, Lee Sang Yi, dan Han Ji Hyun memberikan kata-kata akhir mereka kepada penonton.

Shin Min Ah berkata, “Kami mula penggambaran lebih kurang setahun yang lalu, dan kini ia berakhir pada musim yang sama. Rasanya saya habiskan hampir setahun lamanya bersama drama ini. Saya gembira dapat bawa watak Son Hae Young dan kongsi kisah cinta yang bermakna ini. Terima kasih kepada semua yang menyukai ‘No Gain No Love’, dan saya harap Hae Young dan Ji Wook akan terus bahagia dan matang dalam cinta mereka. Saya juga berharap semua orang dapat hidup tanpa penyesalan.”

Shin Min Ah juga menyebut dialog dari Episod 4 yang paling diingatinya: “Yang rugi adalah orang yang membenci, bukan yang menerima kebencian!” Dia juga teringat saat di mana Haeyoung berani meluahkan perasaannya, dan katanya, “Ini adalah pengalaman baru dan seronok kerana sebelum ini saya tidak pernah buat babak yang melibatkan kata-kata kasar atau isyarat yang tidak sopan.”

Kim Young Dae berkata, “Saya tak percaya enam minggu tayangan dah berlalu—masa terasa begitu cepat. Sepanjang penggambaran dan tayangan, saya cipta banyak kenangan manis sebagai Ji Wook. Saya akan sentiasa kenang drama ini sebagai satu mimpi indah dan pengalaman yang menggembirakan.” Dia juga menambah, “Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong pasangan Hae Young dan Ji Wook.”

Untuk babak yang paling diingatinya, Kim Young Dae memilih pengakuan cinta Ji Wook dari Episod 10: “Saya cinta kamu, Son Hae Young.”

Lee Sang Yi, yang memainkan watak Bok Gyu Hyun, presiden Honeybee Education dan abang tiri Ji Wook, berkata, “Setiap hari di set penggambaran penuh dengan kegembiraan. Saya sangat berterima kasih kepada semua yang menonton ‘No Gain No Love’, dan saya harap masa yang anda luangkan menonton drama ini hanya membawa kegembiraan dan kebahagiaan.”

Dia menyebut adegan kemalangan kereta sebagai babak yang paling diingatinya, “Rasanya cinta boleh datang tiba-tiba, seperti kemalangan, dan bagaimana dua orang yang pernah bermusuhan boleh menjadi kekasih. Itu saat penting bagi Gyu Hyun.” Dia juga memberikan teaser, “Kisah Gyu Hyun dan Ja Yeon akan diteruskan dalam spin-off ‘Spice Up Our Love,’ jadi jangan lupa saksikan.”

Han Ji Hyun, yang memegang watak Nam Ja Yeon, penulis novel web R-rated, berkata, “Saya sangat gembira dapat terlibat dalam cerita yang indah ini, dan watak Ja Yeon memberi saya rasa selesa. Bila saya kenang kembali ‘No Gain No Love,’ saya akan ingat betapa bahagianya saya.”

Dia mengingati satu adegan dari episod 11 di mana Ja Yeon berhadapan dengan Haeyoung dengan dialog penuh emosi: “Kamu tahu juga, kan? Bagaimana kamu boleh buat begitu, sedangkan kamu tahu?” Han Ji Hyun turut menyampaikan mesej kepada penonton, “Saya harap drama ini bawa sedikit kebahagiaan kepada anda semua. Saya akan kembali dengan projek baru, jadi mohon sokongan anda.”

Walaupun “No Gain No Love” sudah berakhir, spin-off drama ini “Spice Up Our Love” akan ditayangkan pada 3 Oktober di TVING dan juga di Prime Video Malaysia.

Sumber : 1

 

loading...