[Review] “Crash” bawa penonton menyusuri penyiasatan jenayah di jalan raya yang penuh cabaran

Drama ‘Crash” telah memulakan tayangnya pada 13 Mei 2024 menerusi platform Disney+ Hotstar. Diterajui oleh Lee Min Ki, Kwan Sun Young, Heo Sung Tae, Lee Ho Cheol, Moon He dan ramai lagi, drama ini dipenuhi dengan elemen aksi, komedi dan saspens, “Crash” mengisahkan tentang kes jenayah jalan raya yang melibatkan pasukan Siasatan Jenayah Trafik (TCI) dan ia adalah karya pengarah Park Joon Woo, yang sebelum ini terkenal dengan karyanya seperti “Taxi Driver” dan “Doctor Detective”.

Sinopsis

“Crash” mengisahkan Pasukan Siasatan Jenayah Trafik (Traffic Crime Investigation – TCI) yang sering tidak diendahkan oleh anggota polis lain dan dianggap sebagai bahan gurauan oleh ramai orang. TCI menjalani kehidupan seharian mereka dalam penderitaan. Tidak mahu terus dipandang rendah, pasukan itu kemudiannya berusaha keras membuktikan kemampuannya mengendalikan kes jenayah yang berlaku di jalanan. Tambahan lagi apabila seorang genius menyertai pasukan itu, membuatkan nasib mereka berubah.

TCI diketuai oleh veteran jenayah kekerasan yang berpengalaman luas Jung Chae Man (Heo Sung Tae),  serta dibantu rapat oleh Min So Hee (Kwak Sun Young) yang penuh dedikasi dalam menjalankan tugasnya, pakar automotif , Woo Dong Ki (Lee Ho Cheol) dan Eo Hyun Kyung (Moon He) anggota termuda dengan kemahiran seni mempertahankan diri yang luar biasa.

Seiring perjalanan masa dan beban kerja yang semakin besar, Chae Man merekrut masuk Cha Yeon Ho (Lee Min Ki). Yeon Ho seorang Graduan KAIST, yang cemerlang dari segi akademik dan penganalisis berbakat tetapi kurang dalam  kemahiran sosial, adalah individu yang menonjol dalam pasukan ini.  Dari sisi lain, Yeon Ho merahsiakan  insiden masa lalu yang kembali menghantuinya daripada orang ramai. Bekerjasama dalam satu pasukan, mereka menyiasat peningkatan mendadak dalam jenayah lalu lintas.

“Crash” dan Pasukan Siasatan Jenayah Trafik (Traffic Crime Investigation – TCI)

Permulaan drama ini menyaksikan unit TCI Jung Chae Man, Min So Hee, Woo Dong Ki dan Eo Hyun Kyung beraksi disebuah kedai pengedar kereta terpakai yang menjual kereta murah dan berkualiti rendah pada harga yang lebih tinggi. Saat penyamaran mereka sebagai pembeli, So Hee dan Hyun Kyung mengetahui bagaimana penjual kereta memperdaya serta menipu para pembeli. Semasa melawan lelaki yang terlibat dalam penipuan itu, Min Hee menyangka pegawai penyiasat insurans Cha Yeon Ho sebagai salah seorang lelaki itu dan memukulnya.

Inilah detik pertemuan pertama unit TCI dengan Cha Yeon Ho yang kemudian memberikan sebuah sampul surat yang berisi beberapa kertas mengenai siasatannya terhadap kes pembunuh bersiri yang melibatkan kereta kepada So Hee. Dalam pada itu, Yeon Ho menyiasat sendirian mengenai kes tersebut ekoran dirinya yang kurang dalam kemahiran bersosial. Berdasarkan dokumen siasatan Yeon Ho dan bukti-bukti yang lain, mereka mengesyaki seorang lelaki membunuh orang tua dan menjadikannya seolah-olah kemalangan supaya dia boleh menjana wang dengan tuntutan insurans. Pelaku, Jung Hok Yu akhirnya ditahan polis.

Hasil siasatan TCI dan Cha Yeon Ho, Hok Yu telah menyebabkan 4 kemalangan dengan 3 kematian dan seorang cedera parah dalam tempoh setahun setengah. Mangsanya merupakan golongan tua yang tidak mempunyai waris terdekat. Modus operandi Hok Yu adalah dengan membeli kereta terpakai yang murah dan lokasi kemalangan adalah tempat yang tidak memiliki CCTV ataupun CCTV yang tidak berfungsi. Untuk memastikan kemalangan tersebut legit, syarikat insuran di mana Hok Yu pelanggannya menguruskan mengikut proses yang betul. Hok Yu akan menyelesaikan tuntutan dengan keluarga mangsa dan memperlihatkan dirinya adalah seorang yang tidak stabil dari segi kewangan dan seorang yang kasihan. Makhamah berpendapat ianya adalah sebuah kemalangan dan Hok Yu akan diberikan tempoh percubaan. Bagaimana Hok Yu menjana duit? Andaikata tuntutan insurans Hok Yu bernilai 120 juta won, dia hanya membayar pampasan kepada keluarga mangsa dengan nilai 3 ke 5 juta won sahaja.

Namun begitu, semasa menjalankan siasatan, timbul masalah baru yang hanya akan menghalang kes tersebut. Hok Yu tidak akan berjaya melakukan semuanya sendiri tanpa ada bantuan pihak lain. Yang penting masing-masing ada tujuan dan keinginan tersendiri. Tambahan Ketua Balai yang tidak begitu positif terhadap unit tersebut sehinggakan mereka sukar untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya.

Di sisi berbeza, penonton juga dipersembahkan dengan ringkas insiden yang pernah menimpa Yeon Ho sehingga menyebabkan insan tersayang mati dan dirinya tidak boleh memandu lagi. Penglibatannya dengan unit TCI akhirnya membuatkan Yeon Ho untuk menyertai unit tersebut secara rasmi. Namun tiada siapa mengetahui naratif tersembunyi di sebalik penyertaan Cha Yeon Ho, dan ini juga mengumumkan permulaan misteri Cha Yeon Ho. Apabila diperkenalkan oleh Chae Man,  Min So Hee, Woo Dong Ki  dan Eo Hyun Kyung pada mulanya berasa janggal namun tetap jua menerima kehadiran Yeon Ho.

Setelah Yeon Ho menyertai unit TCI, berlaku lagi sebuah kemalangan jalan raya disebuah jalan yang jarang dilalui. Mangsa mengatakan dia terlihat sesuatu berwarna putih melintas sehingga menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan. Yeon Ho dilihat meneliti tempat kejadian dan berpendapat ianya bukanlah kemalangan jalan raya biasa. Keesokkan hari, selepas makan malam bersama Ketua Balai Polis Koo Kyung Mo dalam misi membodek Yeon Ho yang merupakan anak kepada bakal Pesuruhjaya Polis, Yeon Ho dan Dong Ki menaiki kereta So Hee untuk pulang. Ketika melalui jalan yang sama kemalangan yang berlaku pada semalam, mereka turut melihat seseorang dalam pakaian putih melintas dan menyebabkan So Hee gagal kawal kenderaan. Oleh itu, mereka berpendapat ianya bukanlah kemalangan biasa, namun kemalangan yang disengajakan. Mereka akan mula menyiasat dan mengumpul bukti secukupnya mengapa kemalangan itu boleh berlaku.

Pendapat penulis

Dalam drama ini, penonton dapat melihat bagaimana pasukan TCI begitu dedikasi dan teliti menyiasat dan mendapatkan bukti setiap kes. Sepanjang episode juga penonton dipertontonkan fungsi Pasukan Siasatan Jenayah Trafik di mana mereka mengawal salah laku buli di atas jalan raya, menjalankan sekatan jalan raya untuk memastikan pemandu mematuhi peraturan jalan raya dan menyiasat kemalangan yang berlaku di atas jalan raya secara terperinci. Disamping itu, drama ini turut mengetengahkan realiti hidup sebenar yang mana kuasa, wang ringgit membuatkan manusia lupa diri dan hilang pertimbangan.

Selain itu, gandingan setiap pelakon dan karakter mereka punya keunikan tersendiri, dinamik serta menjanjikan.  Perwatakan So Hee yang memiliki pemanduan yang hebat mengingatkan penulis kepada watak Kim Do Gi dari drama “Taxi Driver” memandangkan model kereta dipandu So Hee hampir sama dengan drama tersebut. Bahkan unit TCI juga mengingatkan penulis kepada karakter daripada “Taxi Driver” di mana setiap mereka ada kelebihan tersendiri. Nampaknya elemen penyiasatan dan sedikit vibes dari drama tersebut turut disuntik dalam drama terbaru Park Joon Woo, “Crash” ini. Bezanya “Crash” tidak begitu complicated berbanding “Taxi Driver” untuk dua episode awal ini.

Watak Cha Yeon Ho lakonan Lee Min Ki begitu menyerlahkan aura seseorang yang introvert namun dalam diam dia memiliki kemahiran yang hebat dan di sisi lain dia berdepan dengan trauma yang masih menghantuinya. Ketua pasukan Jae Man biarpun nampak lembut, namun pengalamannya memperlihatkan dia begitu menarik dengan cara yang tersendiri. Gandingan So Hee dan Yeon Ho dilihat gandingan yang mantap dan menarik memandangkan keduanya mempunyai kemahiran yang hebat serta personaliti yang berbeza. Kesemua unit TCI dijangka dapat mengetengahkan fungsi sebenar mereka dan membuka mata ramai tentang kewujudan serta mengiktidaf kehebatan mereka.

Secara keseluruhannya, drama ini agak menarik untuk ditonton terutama pada mereka yang menggemari genre jenayah penyiasatan dan aksi. “Crash” membawa kita menyertai penyiasatan yang mendebarkan dan bagaimana mereka menggunakan kemahiran mereka untuk menyelesaikannya. Adanya kes terbaru di saat akhir drama membuatkan penonton tidak sabar untuk menantikan episode yang akan datang.

Jadi, jangan lupa untuk strim “Crash” di Disney+ Hotstar dengan episode baru pada setiap Isnin dan Selasa untuk menyaksikan lebih banyak aksi yang mendebarkan.