Drama terbaru Kim Soo Hyun dan Kim Ji Won kongsi foto pegun pertamanya & akan tayang pada Mac ini

Foto pegun (still photo) pertama Kim Ji Won dan Kim Soo Hyun dalam drama “Queen of Tears” telah dikeluarkan dan menjadi topik hangat dikalangan netizen yang sangat menantikan tayangannya.

“Queen of Tears” akan menceritakan kisah cinta yang penuh keajaiban, mendebarkan dan lucu pasangan suami isteri yang berjaya mengharungi krisis dan kekal bersama berdepan dengan segala kemungkinan. Baek Hyun Woo lakonan Kim Soo Hyun ialah seorang pengarah undang-undang Kumpulan Queens, manakala Kim Ji Won memegang watak Hong Hae In, seorang chaebol generasi ke-3 Kumpulan Queens dan pemilik gedung membeli-belah Queens. Drama ini juga akan dibintangi oleh Lee Joo Bin, Park Sung Hoon, Kwak Dong Yeon dan ramai lagi.

Foto pegun yang baru dikeluarkan masih merakamkan suasana romantik antara Hong Hae In dan Baek Hyun Woo, yang menikmati masa lapang di bangku luar. Hong Hae In menyandarkan badannya pada Baek Hyun Woo, dan kedua-duanya tersenyum mesra sambil membaca buku bersama-sama. Anda boleh meletakkan jangkaan yang tinggi tentang perjalanan kisah cinta yang menarik antara Hong Hae In dan Baek Hyun Woo, apabila berita perkahwinan mereka mengejutkan ramai pihak.

“Queen of Tears” ditulis oleh Park Ji Eun yang telah menghasilkan skrip untuk drama popular “Crash Landing on You”, “My Love from the Star” dan “Producer” serta mendapat sentuhan pengarah Jang Young Woo (‘Crash Landing on You,’ ‘Bugasal’) dan penerbit Kim Hee Won (‘Vincento,’ ‘Little Women’).

Terdahulu, apabila disahkan Kim Ji Won akan berlakon bersama dengan Kim Soo Hyun dalam drama ini, netizen meletakkan harapan tinggi. Bukan sahaja mereka teruja untuk melihat keserasian gandingan ini bahkan kedua-duanya mempunyai visual, kemahiran lakonan dan populariti yang luar biasa.

“Queen of Tears” akan ditayangkan pada bulan Mac menerusi rangkaian tvN dan platform Netflix. Nantikan kemaskini selanjutnya!

Sumber : 1 | 2

loading...