[Gempar] Pelakon Lee Sun Kyun ditemui mati di dalam kereta, disyaki bunuh diri

Pelakon Lee Sun Kyun, 48 tahun yang berada di bawah siasatan polis kerana disyaki menggunakan dadah, kini dilaporkan telah meninggal dunia pagi ini (27hb).

Amaran: penulisan menyebut kemungkinan bunuh diri.

Pada 27 Disember, Balai Polis Seoul Seongbuk melaporkan bahawa mereka telah menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kereta yang diletakkan di Taman Waryong Seoul. Mereka telah pergi ke lokasi kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang mengatakan suaminya telah meninggalkan rumah selepas menulis sesuatu seakan nota bunuh diri.

Kemudian pada pagi itu, polis mengesahkan laporan bahawa lelaki terbabit adalah Lee Sun Kyun dengan menyatakan, “Identitinya telah disahkan.” Pihak polis juga dikatakan telah menemui bukti briket arang menyala di dalam kereta Lee Sun Kyun, seterusnya menunjukkan bahawa kematiannya mungkin bunuh diri.

Lee Sung Kyun telah disiasat sejak Oktober lalu kerana dakwaan penyalahgunaan dadah, secara konsisten menafikan tuduhan itu. Di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan, Lee telah meminta ujian poligraf (ujian pengesan pembohongan atau lie detector test)  daripada polis semalam (26hb) untuk mengesahkan siapa yang bercakap benar.

Pada 23hb, semasa siasatan polisnya yang ketiga, Lee menyatakan, “Saya harap polis akan bertindak dengan bijak dalam menentukan siapa antara saya dan pemeras ugut yang mempunyai kredibiliti dalam kenyataan mereka.”

Lee merupakan seorang pelakon prolifik dalam TV dan filem Korea sejak dua dekad yang lalu, dan telah membintangi filem komedi seram “Sleep” tahun ini. Dia terkenal di peringkat antarabangsa kerana peranannya sebagai Park Dong Ik dalam filem arahan Bong Joon-ho, “Parasite” yang telah memenangi Oscar.

Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Lee Sun Kyun.

Pesanan : Jika anda memerlukan seseorang yang ingin berbual, jangan malu dan segan untuk memulakan tindakan serta mendapatkan bantuan. Semak SINI untuk mengetahui Hotlines yang boleh anda capai dan sekiranya perkhidmatan tersebut tidak terdapat di negara anda, sila hubungi talian kecemasan.

Sumber : 1 | 2

loading...