5 sebab kenapa drama ‘Death’s Game’ perlu diberi perhatian dan ditonton

14 Disember 2023— Pengarah Ha Byung-hoon, Seo In-guk, Park So-dam, Kim Ji-hoon, Choi Si-won, Sung Hoon, Kim Kang-Hoon, Jang Seung-jo, Lee Jae-wook , Go Youn-jung, Kim Jae-Wook, dan Kim Mee-kyung telah berkumpul di sidang akhbar tempatan di Seoul sempena drama terbaru mereka “Death’s Game” yang akan bersiaran. Drama fantasi ini berkisarkan tentang penjelmaan semula Choi Yee-jae (Seo In-guk) yang sentiasa menyangka kematian adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Death (Park So-dam) kemudian menghukumnya untuk dijelmakan semula melalui 12 kitaran kehidupan yang berbeza dan Yee-jae mesti menghentikan kematian mereka yang akan berlaku.

Siri ini akan tersedia di Prime Video di Malaysia dan lebih daripada 240 negara dan wilayah di seluruh dunia. Bahagian 1 siri ini ditayangkan pada 15 Disember 2023 (Jumaat) dengan Bahagian 2 akan dikeluarkan pada 5 Januari. Jom ambil tahu sebab musabab kenapa anda tidak mahu terlepas dari menonton siri ini.

1. Dibanjiri dengan ramai pelakon bertaraf bintang

[Dari Atas Kiri: Seo In-guk, Park So-dam, Kim Ji-hoon, Choi Si-won, Sung Hoon, Jang Seung-jo, Lee Jae-wook, Lee Do-hyun, Go Youn-jung, Kim Jae Wook]

Death’s Game boleh dikatakan menampilkan barisan pelakon bertaraf bintang, terkemuka dan popular untuk tahun ini. Setiap pelakon mempunyai pengalaman masing-masing dalam menerajui drama popular. Sejujurnya, walaupun hanya seorang daripada pelakon ini sudah cukup untuk melihat siri ini.

Saya mula mengerjakan skrip pada Januari tahun lalu. Semasa menulisnya, saya mempunyai pelakon tertentu dalam fikiran. Saya memikirkan tentang pelakon yang saya mahu bekerjasama dan pelakon yang akan mendapat respons tentang betapa bagusnya lakonannya itu.

– Pengarah Ha Byung-hoon

Yang pasti PD nim dah berjaya mendapatkan barisan pelakon yang mantap  dan menarik perhatian!

2. Kepelbagaian Watak

[Dari Atas Kiri: Seo In-guk, Kim Ji-hoon, Choi Si-won, Kim Kang-hoon, Lee Jae-wook, Lee Do-hyun]

Dengan pelakon yang begitu terkemuka dan menakjubkan, anda boleh mengharapkan pada pelbagai watak yang menarik. Memandangkan Yee-jae dijelmakan semula dalam 12 kehidupan yang berbeza, kita dapat melihat kehidupannya sebagai 12 orang yang berbeza.

Pengarah Ha Byung-hoon menjelaskan, “Setiap pelakon memainkan dua peranan dalam satu: satu sebagai watak asal mereka dan satu lagi sebagai Yee-jae yang menjelma semula menjadi watak asal.”

Setiap kehidupan yang dijelmakan semula datang dari semua lapisan masyarakat. Senarai panjang watak termasuk waris konglomerat, mangsa buli, banduan, model dan banyak lagi. Ia akan menjadi menarik untuk melihat siapa yang akan dijelmakan semula oleh Yee-jae seterusnya.

3. Kemunculan semula Park So-dam

Terdahulu, pelakon ‘Parasite’ Park So-dam disahkan menghidap kanser tiroid papillary pada 2021 dan ‘Death’s Game’ menandakan kepulangannya ke skrin kecil. Dia turut berkongsi tentang pengalamannya.

Sejujurnya, proses pemulihan adalah sukar. Saya rasa orang yang ada pengalaman yang sama seperti saya akan faham bagaimana rasanya.

– Park So-dam

Pelakon itu juga turut berkongsi tentang proses lakonannya dan bagaimana pengarah mempercayainya serta memberikan keberanian untuknya menggalas watak itu. Dia juga berterima kasih kepada pengarah, Seo In-guk, dan semua pelakon kerana bertimbang rasa dan membantunya semasa penggambaran.

4. Lakonan Yang Realistik

[Sung Hoon, Jang Seung-jo, Lee Jae-wook]

Apabila ditanya tentang perbezaan siri ini daripada webtoon asal, Pengarah Ha Byung-hoon berkata, “Saya rasa kami mahu menjadikan adegan realistik dan ini akan membezakan kami daripada webtoon. Contohnya, adegan terjun udara, adegan pergaduhan, dan adegan bermotosikal semuanya nyata. Mereka mungkin kelihatan seperti CG, tetapi pelakon benar-benar merakam aksi mereka.

Sung Hoon mendedahkan, “Saya sebenarnya melompat kira-kira 13 kali ketika merakam adegan terjun udara.” Jang Seung-jo berkongsi, “Terdapat banyak adegan di mana saya menunggang motosikal, jadi saya mendapatkan lesen.” Lee Jae-wook juga turut menceritakan tentang bekerja dengan pasukan lagak ngeri yang dikenali untuk adegan pergaduhan dan bagaimana pengarah itu bersedia dengan teliti dan menyediakan rujukan yang berguna. Tidak sabar betul rasanya untuk melihat adegan ini!

5. Mesej yang ingin disampaikan

[Dari kiri : Seo In-guk, Park So-dam, Kim Ji-hoon, Choi Si-won, Sung Hoon, Kim Kang-hoon, Jang Seung-jo, Lee Jae-wook, Go Youn-jung, Kim Jae-uck, Kim Mee-kyung, Ha Byung-hoon]

Akhirnya, para pelakon juga membincangkan mesej siri ini. Seo In-guk bercakap tentang bagaimana mesej menghargai kehidupan sangat kuat dan jelas. Park So-dam menambah, “Semasa anda menonton siri kami, saya fikir anda akan dapat bercakap secara perlahan-lahan tentang kehidupan anda dengan orang di sekeliling anda. Saya fikir ia akan membuatkan anda berfikir tentang kehidupan harian anda dan siapa anda sebagai seorang individdu.” Kim Ji-hoon membuat kesimpulan, “Terdapat banyak kandungan hari ini. Di tengah-tengah semua kandungan, masa anda sangat berharga. Saya harap anda akan meluangkan masa anda dengan menonton siri Death’s Game kami dan semoga anda ada masa yang bermakna.”

Jadi jangan angan lepaskan peluang untuk tonton Death’s Game, hanya pada di Prime Video bermula 15 Disember 2023! Sebelum itu, jom saksikan trailer “Death’s Game” di bawah.

loading...