Bingkisan kenangan indah bersama abang CEO tampan, Luo Zheng di Malaysia

Luo Zheng dilihat amat bertuah kerana memiliki pakej lengkap sebagai selebriti.  Bukan saja memiliki wajah yang tampan dan tinggi lampai, malah bakat dan keterampilannya di layar tv, berjaya meletakkan dirinya berada di dalam kelas yang tersendiri. Namun, jangan dilupa, Luo Zheng juga boleh menyanyi dengan baik. Teruja kerana mendapat sambutan mesra dari peminatnya di Malaysia membuatkan beliau merasa terharu dikenali dan dihargai atas usaha kerasnya. Meski kini namanya meniti populariti, pelakon ini tetap merendah diri . 

Pelakon dan juga Duta VIP iQIYI Antarabangsa, Luo Zheng akhirnya tiba di Malaysia pada petang 23 Ogos 2023. Kehadirannya disambut mesra oleh kelab peminat Luo Zheng di Malaysia. Pertama kali bertemu, sudah pasti akan membuatkan keadaan menjadi sunyi seketika kerana masing-masing terkesima untuk mencerna adakah pelakon kesayangan mereka kini benar-benar berada di depan mereka. Sungguhpun begitu, peribadi Luo Zheng yang peramah dan ceria walau tampak malu sedikit diawalnya sedikit sebanyak membuatkan peminat senang berada disampingnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Luo Zheng kini dalam siri jelajah Luo Zheng VIP Asia Tour yang mana Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Thailand. Beberapa aktiviti menarik telah disusun oleh iQIYI Malaysia dengan kerjasama Alpha Access untuk pelakon yang diberi julukan Mr. CEO itu dek kerana seringkali membawakan watak CEO.

Sesi temuduga Media bersama Luo Zheng

Pada 25 Ogos, satu sidang akbar bersama para media telah diadakan. Luo Zheng seakan teruja bertemu dengan pengamal media di Malaysia yang menjadi orang tengah dalam menyampaikan perkembangan kerjayanya kepada peminat. Beliau juga sempat mempelajari beberapa perkataan mudah dalam Bahasa Malaysia seperti ‘Saya sayang awak’, ‘Terima kasih’, ‘Apa Khabar’ dan ‘Saya rindu awak’.

Apa yang menarik, Luo Zheng turut mengenakan sepersalinan baju melayu berwarna hijau, sekaligus mempamerkan karismanya yang tampan, segak dan mempersona. Pendek kata, rata-rata media kagum melihatnya. Sememangnya Luo Zheng sangat ceria, merendah diri dan sentiasa tersenyum.

Ketika ditanya apakah tiga perkataan yang dapat menggambarkan Luo Zheng, lantas beliau menjawab ceria, tegas dan peramah.  Mengakui sangat gembira bertemu peminat ketika menyambut ketibaannya di lapangan terbang, Luo Zheng menyifatkan peminatnya sangat comel, manis dan peramah. Biarpun dilihat Luo Zheng seorang yang ceria, namun sebenarnya beliau seorang yang pemalu. Ditanya setebal mana rasa malu itu, dia memberitahu kalau berjumpa dengan orang ramai ditempat awam, rasanya seperti mahu menyorok. Beliau juga turut berkongsi keterujaannya melawat KLCC dan pemandangan di sana pada waktu malam sangat cantik selain telah mencuba beberapa makanan Malaysia seperti mee kari, sate dan nasi lemak.

Luo Zheng yang juga boleh menyanyi turut ditanya antara bidang lakonan dan nyanyian, yang mana akan diutamakannya. Menurut Mr. CEO idaman ramai ini, dia akan tumpukan bidang lakonan terlebih dahulu. Beliau ingin mengukuhkan nama sebagai pelakon disamping mempertingkatkan kemahiran lakonannya sebelum terjun ke cabang seni yang lain. Luo Zheng juga turut memberitahu beliau ingin dikenali sebagai seorang yang bekerja-keras, sentiasa berusaha untuk berjaya dan seorang yang versatile.

Sesi bertemu peminat bersama Luo Zheng

Pada 26 Ogos, bertempat di Sunway Velocity Mall, telah diadakan sesi bertemu peminat bersama Luo Zheng. Untuk sesi pertama ianya diadakan secara terbuka, jadi orang awam boleh melihat pelakon itu secara dekat. Ramai yang bersorak tatkala pelakon itu naik ke pentas, sekaligus lensa-lensa kamera berkedipan disegenap ruang bagi memotret gambar si tampan yang segak bergaya.

Apa yang istimewa, Luo Zheng turut menyanyikan runut bunyi dari drama terbarunya “You From The Future” bersama peminat yang bertajuk “The Future You”. Lagu tersebut adalah nyanyian asal beliau sendiri disamping gandingannya dalam drama itu iaitu Ji Mei Han. Tak sangka, ramai peminat turut ikut serta bernyanyi bersama di mana setengah dari mereka asyik menghayati lantunan suaranya. Untuk pengetahuan, ramai peminat di Malaysia mula mengenali Luo Zheng sejak beliau menyertai rancangan survival “Idol Producer” lagi dan itu yang membuatkan Luo Zheng bertambah terharu.

Selain itu, kelab peminat Luo Zheng di Malaysia berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada pelakon itu dan kesemua ahli kelab turut mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan bersama.

Sesi bertemu peminat secara tertutup diadakan pada sebelah petang dan ianya tertakluk kepada pemenang bertuah yang dipilih pihak iQIYI Malaysia. Dikalangan mereka yang bertuah itu, ada di antara mereka dipilih secara rawak untuk menjadikan mereka lebih bertuah  kerana berpeluang mendapatkan peluang istimewa bersama Luo Zheng.

Antaranya mengiringi pelakon itu masuk ke dalam dewan, menyertai permainan yang disediakan, memenangi poster yang ditandatangan secara langsung, bergambar secara 1:1 dan bergambar secara berkumpulan. Memang menarik kerana anda tidak akan mendapat kesempatan seperti ini dikebanyakkan sesi bertemu peminat yang lain.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Luo Zheng juga sempat memberikan beberapa pick up line sehinggakan membuat peminatnya bersorak. Antaranya, kalau saya roti, awak telur. Kalau awak takda, saya kosong. Dan kalau awak teh tarik, saya tertarik dengan awak. Gigih juga Luo Zheng belajar pick up line. Teringat akan satu soalan ditanya peminat, apakah ciri-ciri wanita idaman Luo Zheng yang mana pada mulanya dia menyatakan mahu yang comel dan manis. Namun, setelah itu dia memberitahu dia tidak meletakkan syarat kepada rupa paras tetapi lebih mengutamakan kepada komunikasi dua hala antara pasangan. (aww sangat sweet)

Bahagian paling menarik dan menyentuh perasaan apabila ditayangkan sebuah video ucapan daripada kelab peminat kepada Luo Zheng. Turut dipaparkan dalam video itu adalah momen-momen Luo Zheng ketika menyertai variety show iQIYI “Idol Producer”. Perkara itu menyebabkan hati Luo Zheng tersentuh kerana peminat masih bersamanya sejak daripada program itu sehingga kini dan mengingatkan momen itu juga Luo Zheng telah berjuang sehabis baik untuk mencapai tahap dikala ini. Melihatkan kemesraan dan sokongan yang diterima dari peminat di sini, Luo Zheng tidak segan silu menyatakan akan kembali semula ke Malaysia. Luo Zheng juga turut merakamkan ucapan terima kasihnya buat peminat di Malaysia yang sentiasa menyokongnya dan akan berikan yang terbaik dalam kerjayanya di masa depan.

Istimewa dari Luo Zheng, pelakon itu mengenakan pakaian costume katak dan menari tarian viral ‘Queen Card’ dari (G)I-DLE dan lagu tema “Idol Producer”. Memang nampak comel Luo Zheng walaupun dalam persalinan costume katak.

Sebelum acara berakhir, kesemua yang hadir berpeluang untuk sertai sesi hi-5 bersama Luo Zheng. Semua momen-momen bersama Luo Zheng akan menjadi kenangan yang terindah dan termahal buat mereka semua.

Apa yang pasti, baik peminat mahupun dipihak KMania, kami sangat berpuas hati dengan pengurusan acara, pihak keselamatan serta MC yang bertugas yang berjaya menghidupkan suasana ceria. Paling utama, kami sangat berterima kasih kepada iQIYI Malaysia kerana menghadirkan Luo Zheng ke negara ini Tanpa anda, impian kami untuk bertemu Luo Zheng hanya akan kekal sebagai sebuah mimpi. 

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan YouTube untuk  mendapatkan berita serta perkembangan dari Korea termasuk China, tempatan dan juga Thailand serta lebih video menarik mengenai Luo Zheng di Malaysia!

loading...