Song Kang Ho lakar sejarah dinobat ‘Pelakon Lelaki Terbaik’ dan Park Chan Wook rangkul ‘Pengarah Terbaik’ di Festival Filem Cannes ke-75

Pelakon Song Kang Ho baru sahaja mencipta sejarah filem Korea di Festival Filem Cannes yang ke-75!

Pada 28 Mei waktu tempatan, Festival Filem Cannes ke-75 telah mengumumkan para pemenang anugerah pada tahun ini.

Apa yang menarik, Song Kang Ho memenangi Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem “Broker,” sekaligus menjadikannya lelaki Korea pertama yang pernah memenangi anugerah lakonan di festival filem bersejarah itu. Filem “Broker” yang diarahkan oleh pengarah Jepun Hirokazu Koreeda adalah mengenai sebuah keluarga Korea yang mencari rumah untuk bayi yang ditinggalkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghargai filem Korea,” kata Song, yang juga membintangi filem “Parasite”, yang menjadi filem Korea pertama yang pernah memenangi Palme d’Or yang berprestij (hadiah utama Festival Filem Cannes) pada tahun 2019. Tahun lalu, Song Kang Ho mencipta sejarah dengan menjadi pelakon lelaki Korea pertama yang berkhidmat sebagai juri di Festival Filem Cannes ke-74.

Sementara itu, Park Chan Wook memenangi Pengarah Terbaik untuk filemnya “Decision to Leave,” menjadikannya pengarah Korea kedua dalam sejarah Cannes yang memenangi hadiah itu. (Orang Korea pertama yang memenangi Pengarah Terbaik di Festival Filem Cannes ialah Im Kwon Taek, yang membawa pulang anugerah itu tepat 20 tahun lalu untuk filem bersejarahnya “Chihwaseon.”)

Walaupun tahun ini merupakan kali pertama Park Chan Wook memenangi anugerah Pengarah Terbaik, dua daripada filemnya sebelum ini telah memenangi anugerah di Cannes: filem ikoniknya “Oldboy” memenangi Grand Prix di Festival Filem Cannes pada tahun 2003, manakala filem “Thirst” memenangi Hadiah Juri pada tahun 2009.

Tahniah diucapkan kepada Song Kang Ho dan Park Chan Wook.

Sumber : (1), (2), (3), (4)

loading...