Darari & SBS Business Proposal, lagu Kpop & drama Korea paling digemari oleh rakyat Malaysia sepanjang Mac 2022

Darari oleh TREASURE dan SBS Business Proposal masing-masing diangkat sebagai lagu Kpop dan drama Korea paling digemari rakyat Malaysia sepanjang bulan Mac 2022 lalu.

Berpandukan kepada kaji selidik yang dibuat menerusi Kmania TOP Stars Mac 2022, Darari oleh TREASURE berjaya memperolehi undian sebanyak 32% mengatasi Stay Alive oleh Jungkook (Prod. Suga BTS) (17.5%), Maniac oleh Stray Kids dan Tomboy oleh (G)I-DLE yang terikat di kedudukan sama (13.6%). Darari yang merupakan lagu selingan daripada bahagian B album The Second Step : Chapter One’ dendangan TREASURE ini telah berjaya menangkap gegendang pendengar, dan akhirnya menjadi ‘sleeper hit’ mengatasi penangan single utama mereka, ‘Jikjin’ hingga menjadi siulan rakyat Malaysia.

Manakala untuk drama paling digemari rakyat Malaysia pula ialah SBS Business Proposal (50%) yang semestinya menjadi kegemaran penonton Kdrama ketika ini, dengan kemampuannya mengekalkan ‘rating’ melebihi 10% sepanjang ditayangkan beberapa minggu lalu. SBS Business Proposal ialah sebuah drama bertemakan percintaan pejabat, yakni percintaan antara seorang CEO yang cukup sempurna dari segi rupa dan perwatakannya dengan seorang pekerja biasa yang menjadi janji temunya.

Tambahan lagi, Netflix sebagai penyiar bersama yang tersohor tika ini telah membantu populariti drama ini sehingga membuatkan semakin ramai lebih mudah untuk menontonnya di seluruh dunia. Menyimpul empat drama Korea paling popular sepanjang Mac 2022 lalu ialah SBS Business Proposal (50%), Netflix All of Us Are Dead (17.3%), tvN Military Prosecutor Doberman (12.5%), dan tvN Twenty-Five Twenty One.

Sumber: Kmania

loading...