[Gempar] Jungkook disahkan positif Covid-19, berkemungkinan sukar untuk sertai BTS di Grammy Awards

Jungkook BTS disahkan positif Covid-19 menurut satu kenyataan dikeluarkan di Weverse hari ini.

“Pada 27 Mac 2022 sewaktu berangkat ke Amerika Syarikat, keputusan Covid-19-nya menunjukkan negatif,” kata jurucakap agensinya, Big Hit Ent.

“Bagaimanapun sebaik saja tiba di Las Vegas, Jungkook mula batuk-batuk dan kemudiannya disahkan positif. Kami akan menjaga kesihatannya sepanjang tempoh kuarantin,” ujar agensi itu. Samada Jungkook dibenarkan untuk terlibat di dalam aktiviti bersama BTS nanti bergantung kepada ketetapan yang dibuat oleh kerajaan tempatan. Ini bermakna Jungkook mungkin sukar untuk menyertai BTS di majlis Grammy yang akan berlangsung pada 4 April 2022 (waktu Malaysia) ini.

Sebelum ini, Jungkook telah terlebih dahulu berlepas ke Amerika Syarikat bersama staf Big Hit untuk menyelia sebarang kelengkapan persiapan bagi menjayakan persembahan BTS di majlis Grammy Awards ke-64. 

Selain Jungkook, JHope juga sedang mengkuarantinkan dirinya sekurang-kurangnya untuk beberapa hari selepas dijangkiti Covid-19 tempoh hari menyebabkan beliau tidak dapat mengikuti rakan-rakan BTS berlepas ke Amerika Syarikat semalam. Sebaik saja tempoh kuarantinnya tamat, Jhope akan menyertai BTS kemudian.

Sementara itu, BTS tercalon di dalam satu-satunya kategori Best Pop Duo/Group Performance menerusi lagu Butter, serta bakal bersaing dengan Lady Gaga duet Tony Bennet, Justin Bieber, Coldplay dan Doja Cat duet SZA di dalam kategori sama. Ini kali kedua mereka tercalon di dalam kategori yang sama.

BTS juga dijangka akan membuat persembahan dan bakal menyusuli dengan konsert jelajah di Las Vegas pada 8,9, 15 dan 16 April 2022 depan.

Sumber: hankyung

loading...