Pada 2 Feb 2022 lalu, Kim Chaewon mengumumkan bahawa dia sedang mengemukakan rayuan saman fitnah terhadap Lee Hyunjoo kerana mempercayai bahawa siasatan polis bersifat tidak adil kepada dirinya.
“Sebelum ini, aku failkan saman fitnah terhadap defendan kerana menyebarkan maklumat palsu mengenaiku, termasuklah dakwaan buli atau bercinta dengan pengurus kami. Polis telah memutuskan defendan tidak bersalah, maka aku dalam proses untuk kemukakan rayuan mengenepikannya,” ujar Chaewon.
Alasan Chaewon berbuat demikian kerana menyangka siasatan polis disifatkan tidak adil kepada dirinya. Testimoni ahli-ahli APRIL, agensi, pengurus APRIL, serta cikgu koreografi dianggap tidak boleh dipakai di dalam siasatan polis kerana berkait rapat dengan plaintif, malah bukti yang diserahkan oleh defendan iaitu diarinya serta testimoni daripada bekas pelatih turut disahkan sebagai palsu. Defendan juga tidak datang untuk memberikan keterangan tentang hubungan plantif dengan pengurusnya, maka tidak boleh disahkan samada dakwaan plantif bercinta dengan pengurusnya itu adalah betul atau tidak.
“Aku berusaha keras untuk mengumpulkan bukti-bukti testimoni daripada rakan-rakan terdekat untuk mendedahkan fakta sebenar, tetapi hampa, apa yang aku dapat hanyalah keputusan ‘tidak bersalah’. Tak mahu lagi dituduh buat kenyataan palsu, aku akhirnya kemukakan rayuan,” tambahnya lagi.
Berbanding dengan Lee Naeun yang berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah, Chaewon agak bergelut untuk mengenepikan dakwaan Hyunjoo itu sebaliknya. Berhubung kes mahkamah tidak dapat diselesaikan melibatkan kedua-dua bekas ahli APRIL ini, APRIL akhirnya diumumkan pembubarannya oleh DSP Media pada 28 Jan 2022 lalu.