Kang Daniel mendedahkan beliau memakai baju seberat 10kg ketika berdansa untuk menjayakan video klip single terbaru, “Waves” dendangannya bersama Simon Dominic dan Jamie Park, akuinya di dalam satu kenyataan di dalam instagram-nya sebentar tadi.
Tidak dapat dipastikan bagaimana bajunya boleh seberat sebegitu memandangkan luarannya hanya kelihatan berbelang dengan bertatahkan manik-manik dan batu permata. Namun, Kang Daniel dilihat sedikit termengah-mengah ketika menari mengenakan pakaian tersebut dan “kecacatan” tariannya itu ditutupi dengan aksi menghentak kaki terhadap takungan air lecak di bawahnya.
“Waves” merupakan single pertama dikeluarkan oleh Kang Daniel sempena pelancaran album mini ke-2, Magenta. “Waves” juga ialah lagu keempat dikeluarkan oleh Kang Daniel untuk tahun 2020 ini selepas lagu promosi “For The Love of Korea”, duet bersama Zico serta Touching dan 2U masing-masing daripada album terdahulu, Cyan. Magenta boleh didapati pasaran mulai 3 Ogos 2020.